Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kemelut Kapal Selam Thailand-China Tiada Penyelesaian, Kontrak Mungkin Dibatal

Masalah timbul disebabkan sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap China yang menyaksikan Beijing dilarang sama sekali dari menggunakan sebarang alatan atau komponen ketenteraan diperbuat oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk enjin kapal selam buatan Jerman yang ia telah berjanji dengan Thailand untuk dipasang pada kapal selam pertama negara Asia Tenggara itu.  

0 2,036

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kontrak pembelian kapal selam di antara Thailand dan China berkemungkinan dibatalkan selepas syarikat negara China itu mengakui ia telah gagal melengkapkan kapal selam S26T kelas-Yuan itu dengan enjin buatan Jerman sebagaimana yang dipersetujui terlebih dahulu dalam kontrak ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Kegagalan syarikat itu, China Shipbuilding and Offshore International Co (CSOC) membekalkan enjin diesel MTU396 buatan syarikat Jerman, MTU untuk digunakan pada kapal selam yang dijualnya kepada Thailand membuatkan masa depan kontrak itu kini terumbang-ambing.

Menurut kenyataan jurucakap Tentera Laut Thailand Pokkrong Monthatphalin sebagaimana dipetik oleh Bangkok Post, pihak CSOC mengakui ia telah menggunakan segala saluran untuk memastikan syarikat Jerman itu membenarkan enjinnya digunakan untuk kapal selam Thailand itu tetapi menemui jalan buntu.

S-26T
Kapal selam buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand pada 2024.

 

Syarikat China itu juga mengakui bahawa ia telah mengadakan pertemuan dengan syarikat pembuat enjin daripada Jerman itu dan menggunakan saluran diplomatik serta hubungan kerajaan dengan kerajaan dalam usahanya untuk menyelesaikan kemelut itu.

Jurucakap Tentera Laut Thailand itu juga berkata,  syarikat CSOC telah menawarkan untuk menggunakan enjin diesel CHD620 buatan China pada kapal selam Thailand yang sedang dibinanya itu tetapi Bangkok tidak bersetuju.

Thailand tidak bersetuju kerana enjin diesel buatan China itu tidak pernah digunakan oleh mana-mana negara di dunia pada ketika ini.

Tentera Laut Thailand mengatakan sebelum enjin diesel itu digunakan ia perlu mematuhi empat syarat utama.

Empat syarat utama itu adalah, enjin itu mestilah perakui untuk digunakan dengan standard yang tinggi, melepasi ujian keselamatan, menerima jaminan untuk perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaran dan terakhir adalah memenuhi keperluan tentera laut Thailand.

Thailand
Pertemuan antara Naib Presiden CSOC, Liu Song dengan Ketua Staff Tentera Laut Thailand Laksamana Sirisawat Tharoengsak di bangkok semalam, (gambar Bangkok Post)

 

Bangkok menandatangani kontrak pembelian kapal selam daripada China pada 2017 dengan kos lebih RM1 bilion dengan kapal selam itu sepatutnya diserahkan kepada Thailand pada tahun 2024.

 Naib Presiden CSOC Liu Song turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Staff Tentera Laut Thailand Laksamana Tharoengsak Sirisawat di Bangkok.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberikan tempoh selama dua buah sehingga 9 Ogos ini untuk menyelesaikan kemelut itu.

Pada April lepas,Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha memberi amaran keras bahawa beliau akan membatalkan pembelian kapal selam daripada China sekiranya Beijing gagal mematuhi syarat di dalam kontrak itu terutamanya melibatkan enjin kapal selam.

Prayut mahukan kapal selam pertama Thailand yang dibeli daripada China itu dipasang dengan enjin buatan syarikat Jerman, MTU Friedrichshafen GmbH sebagaimana dipersetujui dalam kontrak pembelian.

Kapal Selam
Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha beri amaran akan batal perjanjian pembelian kapal selam dari China. (Bangkok Post)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Thailand supaya berusaha yang terbaik tetapi sekiranya Beijing tetap gagal mematuhi kontrak,  maka negara Asia Tenggara itu bersedia untuk membatalkan pembelian kapal selam itu daripada China.

Masalah timbul disebabkan sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap China yang menyaksikan Beijing dilarang sama sekali dari menggunakan sebarang alatan atau komponen ketenteraan diperbuat oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk enjin kapal selam buatan Jerman yang ia telah berjanji dengan Thailand untuk dipasang pada kapal selam pertama negara Asia Tenggara itu.  

Sebab itulah syarikat China Shipbuilding and Offshore International Co (CSOC)  yang sedang membina kapal selam pertama Thailand itu gagal mendapatkan enjin diesel buatan Jerman, sekaligus menyebabkan terjadinya kemelut enjin kapal selam di antara kedua-dua negara ketika ini. — DSA

Comments
Loading...