Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand “Mengalah”, Kapal Selamnya Terpaksa Guna Enjin China

Selepas mengancam untuk membatalkan pembelian kapal selam daripada China atas isu enjin, Thailand akhirnya "mengalah" dan menandakan ia mungkin berkompromi dengan Beijing. Akhirnya, kapal selam Thailand mungkin tiada pilihan lain selain menggunakan enjin buatan China.

0 9,787

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Selepas berbulan-bulan mengancam untuk membatalkan perjanjian pembelian dua buah kapal selam daripada China berikutan masalah tentang enjin, Thailand akhirnya memberikan petanda bahawa ia bersedia untuk berkompromi dengan Beijing tentang isu itu.

Bangkok memberikan petanda bahawa ia bersedia menerima dua buah kapal selam itu walaupun ia dilengkapi dengan enjin buatan negara, tidak seperti apa yang terkandung dalam kontrak yang menjanjikan enjin buatan Jerman.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Choengchai Chomchoengpaet yang mengatakan bahawa mereka boleh menerima enjin buatan China tetapi ia mestilah bersyarat.

Kapal Selam
Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha beri amaran akan batal perjanjian pembelian kapal selam dari China. (Bangkok Post)

 

“Kami mempunyai tiga syarat yang perlu dipertimbangkan – pertama bahawa enjin (buatan China) itu perlulah selamat. Kedua, Tentera Laut China perlu memberikan jaminan enjin yang akan dipasang pada kapal selam Thailand.”

“Ketiga, perlu ada pampasan terhadap kelewatan berikutan pertukaran enjin itu. Ini adalah syarat-syarat yang penting dalam keputusan sama ada kontrak itu akan diteruskan atau dibatal,” kata beliau dalam satu majlis di wilayah Chonburi di tengah Thailand baru-baru ini.

Pada 2017, Thailand bersetuju untuk membelanjakan kira-kira US$400 juta untuk memperolehi sebuah kapal selam s-26T kelas-Yuan daripada China Shipbuilding & Offshore International Co (CSOC), dengan penghantaran kapal itu dijangkakan pada tahun ini.

Bagaimanapun, perjanjian pembelian kapal selam itu berhadapan dengan masalah selepas syarikat MTU daripada Jerman enggan membekalkan enjinnya, MTU396 kepada China berikutan sekatan senjata oleh Kesatuan Eropah terhadap China, mengakibatkan pembinaan kapal selam pertama itu tertangguh sejak tahun lepas.

S-26T
Kapal selam buatan China sepatutnya diterima oleh Thailand pada 2023.

 

Panglima Tentera Laut Thailand itu berkata kapal selam memerlukan tempoh lebih tahun untuk disiapkan sekiranya kedua-dua mencapai persetujuan tentang isu enjin kapal selam pertama negara Asia Tenggara itu.

Pada mulanya, Thailand menolak tawaran oleh CSOC untuk memasang enjin buatan China, CHD620 pada kapal selam milik negara Asia Tenggara itu dan mahukan syarikat itu memenuhi kontraknya sebagaimana dipersetujui.

Malah pada November tahun lepas, kerajaan Thailand yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu, Prayut Chan-o-cha menyatakan bahawa ia bersedia untuk membatalkan pembelian kapal selam daripada China sekiranya syarat-syarat dalam kontrak itu tidak dipenuhi.

Prayut mahukan kapal selam pertama Thailand yang dibeli daripada China itu dipasang dengan enjin buatan syarikat Jerman, MTU Friedrichshafen GmbH sebagaimana dipersetujui dalam kontrak pembelian.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Thailand supaya berusaha yang terbaik tetapi sekiranya Beijing tetap gagal mematuhi kontrak,  maka negara Asia Tenggara itu bersedia untuk membatalkan pembelian kapal selam itu daripada China.

S-26T
Kapal selam Kelas Yuan “S26T” yang bakal diperolehi oleh Tentera Laut Thailand daripada China.

 

Apa yang kita hendak lakukan dengan sebuah kapal selam yang tidak mempunyai enjin?”

“Sekiranya perjanjian tidak dapat dipenuhi, kita perlu memikirkan sesuatu untuk menyelesaikannya. Bukankah itu caranya untuk kita menyelesaikan masalah itu,” katanya.

CSOC menyatakan bahawa enjin diesel kapal selam buatan China, “CHD 620” adalah sama standard dan keupayaan dengan enjin diesel “MTU 396” yang dibuat oleh firma Jerman,  MTU Friedrichshafen GmbH.

Oleh itu CSOC mahu menggantikan enjin buatan MTU sebagaimana dipersetujui dalam kontrak dengan enjin buatan tempatan tetapi ditolak oleh Thailand. – – DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...