Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Terjun Di Laut Dengan Kaki, Tangan Diikat

Semua ujian piawaian fizikal itu berjaya dilepasi 25 pelatih kursus asas Pasukan Khas Laut (Paskal) Siri 70/2021, baru-baru ini sebelum secara rasmi bergelar komando PASKAL.

4,140

Artikel ini telah disiarkan oleh akhbar HARIAN METRO pada 4 September, 2021.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Ujian wajib lulus apabila mereka perlu terjun di laut dalam keadaan kaki dan tangan diikat sebelum menggunakan kudrat untuk berenang ke pantai.

Malah, mereka perlu terjun ke laut lengkap memakai peralatan tempur beserta fin pada ketinggian lebih lima meter dari helikopter Super Lynx.

Semua ujian piawaian fizikal itu berjaya dilepasi 25 pelatih kursus asas Pasukan Khas Laut (PASKAL) Siri 70/2021, baru-baru ini sebelum secara rasmi bergelar komando PASKAL.

Walaupun sukar namun latihan ‘tidak masuk akal’ dan ekstrem selama lima bulan selain ujian ketahanan ‘minggu neraka’ (Hell Week) tanpa henti 72 jam berjaya dilepasi semua mereka sebelum disarungkan beret ungu Paskal.

Difahamkan kursus Paskal merangkumi beberapa peringkat di antaranya peringkat pemanasan, peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, peringkat pelarian dan pelolosan serta ujian ketahanan akhir mental dan fizikal.

Paskal
Down Proofing

 

Bagi peringkat pemanasan iaitu pemilihan awal, pelatih perlu berenang di kolam sejauh 500 meter dalam masa kurang 10 minit dan berlari sejauh 6.8 kilometer (km) dalam masa kurang 30 minit bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Latihan fizikal yang keras dan mencabar diutamakan supaya pelatih kursus berupaya melepasi cabaran dan rintangan seterusnya.

Antara ujian kecergasan perlu dilakukan sepanjang kursus adalah tekan tubi, bangkit tubi, mendagu, sit up, lompat setempat, latihan lapan serangkai dan pelbagai teknik yang perlu dipraktikkan.

Mereka kemudian perlu melepasi ujian peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, peringkat pelarian dan pelolosan serta ujian ketahanan akhir mental dan fizikal.

Setiap pelatih mestilah mempunyai semangat juang serta keyakinan dan sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan yang mencabar.

Paskal
Kredit TLDM

 

Turut menjadi cabaran terbesar apabila pelatih perlu melepasi latihan ketahanan ‘tawanan perang’ apabila setiap mereka didedahkan dengan keadaan dan situasi sebenar ditawan musuh.

Mereka akan merasai setiap penyeksaan dan penderitaan memeritkan sepanjang ditawan musuh yang berusaha mendapatkan maklumat serta rahsia pertahanan Negara.

Praktikal ‘tawanan perang’ itu menguji semangat pelatih supaya tidak sewenang-wenangnya menceritakan segala rahsia negara yang disimpan sebagaimana termaktub dalam ikrar kesatria yang kelima iaitu – Menyimpan Rahsia Negara Dengan Seketat-ketatnya.

Kursus Asas Paskal Siri 70/2021 ini disertai seramai 97 pelatih membabitkan seorang pegawai dan 96 anggota lain-lain pangkat bermula 24 Mei hingga 27 Ogos lalu.

Paskal
Kredit TLDM

 

Bagaimanapun hanya 25 pelatih berjaya mengharungi cabaran itu dan dianugerahkan beret pada majlis penutup Kursus Asas Paskal Siri 70/21 di Pusat Latihan Kemahiran Air, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Majlis itu turut disempurnakan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Pasukan Khas Laut, Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib; Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Muda Datuk Anuar Alias dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Mohd Ajis.

Paskal selaku pasukan elit TLDM diakui antara unit komando terbaik dan disegani di negara ini dan di peringkat antarabangsa.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.