Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Republik Islam Iran (IRIAF) Telah Terima Dua Buah Su-35SE Dari Russia

Menurut laporan media Jerman "Flugrevue", penyerahan kedua-dua buah pesawat pejuang itu dilakukan dalam satu majlis persendirian di kemudahan pembuatan pesawat Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO) di wilayah timur jauh Russia.

9,859
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Republik Islam Iran (IRIAF) dilaporkan telah pun menerima dua buah pesawat pejuang pertama Sukhoi Su-35SE buatan Russia pada 18 November yang lalu.
Menurut laporan media Jerman “Flugrevue”, penyerahan kedua-dua buah pesawat pejuang itu dilakukan dalam satu majlis persendirian di kemudahan pembuatan pesawat Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO) di wilayah timur jauh Russia.
“Kedua-dua buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 itu telah dicerai-ceraikan (disassembled) kepada beberapa bahagian pesawat sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran menggunakan pesawat pengangkut Tentera Russia Antonov An-124-100,” menurut laporan terbabit.
Selepas tiba di Lapangan Terbang Mehrabad, bahagian-bahagian pesawat pejuang itu akan di bawa ke Pangkalan Tentera Udara di Hamadan untuk dipasang semula, bagi membolehkan Iran memiliki pesawat pejuang generasi 4.5 yang pertama.
Pemilikan pesawat pejuang Su-35SE itu akan membolehkan Iran memulakan permodenan tentera udaranya, yang sehingga kini masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.
Tentera Udara Republik Islam Iran itu masih lagi menggunakan pesawat-pesawat pejuang yang diperolehinya semasa negara itu diperintah oleh Shah Iran sebelum ia digulingkan oleh Ayatollah Khomeini pada 1979.
Su-35
Sukhoi Su-35

Ringkasan Artikel:

Tentera Udara Republik Islam Iran (IRIAF) menerima dua pesawat pejuang Sukhoi Su-35SE dari Russia pada 18 November, menandakan permulaan usaha pemodenan kekuatan udaranya. Pesawat-pesawat ini dihantar dalam keadaan dicerai-ceraikan menggunakan pesawat Antonov An-124-100 dan akan dipasang semula di Pangkalan Udara Hamadan. Iran merancang untuk menggantikan pesawat-pesawat lama seperti F-14 Tomcat dan F-4 Phantom dengan pesawat generasi 4.5 ini, dengan jumlah pesanan meningkat daripada 25 kepada 50 unit.

Kerjasama Iran-Russia turut merangkumi pemasangan berlesen pesawat Su-35 dan Su-30 di Iran, yang berpotensi meningkatkan inventori udara Iran melebihi 100 unit. Langkah ini memberi ancaman kepada dominasi udara negara-negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah. Pangkalan Udara Hamadan sedang dinaik taraf untuk menampung pesawat canggih ini, termasuk pembinaan kubu-kubu penempatan bersaiz besar. Enam pesawat tambahan dijangka tiba dalam masa terdekat.

Ia masih lagi menggunakan pesawat-pesawat pejuang seperti F-14 Tomcat dan F-4 Phantom, kedua-dua buatan Amerika Syarikat.
Menurut laporan media Jerman itu, pada mulanya Iran mahu memperolehi pesawat pejuang Su-35SE itu untuk menggantikan pesawat pejuang F-14 Tomcat yang berpangkalan di Isfahan tetapi pesawat untuk Su-35 Flanker-E itu ditingkatkan daripada 25 buah kepada 50 buah.
Dengan penambahan bilangan pesawat pejuang Su-35 oleh Iran itu kepada 50 buah akan membolehkan tentera udara negara itu menamatkan sebahagian daripada pesawat pejuang F-4 Phantom yang sedang berkhidmat dengan Skuadron Taktikal ke-31 yang berpangkalan di Hamadan.
Beberapa hari lalu, Defence Security Asia melaporkan bahawa Iran akan menerima sebanyak enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia dalam jangkamasa terdekat ini,  berkemungkinan besar akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hamadan sebagaimana dispekulasikan sebelum ini.
Keenam-enam pesawat pejuang generasi 4.5 yang diberikan gelaran “Super Sukhoi” itu akan diterbangkan oleh juruterbang Russia ke pangkalan tentera udara Iran itu, sebagaimana maklumat di dalam platform media sosial.
Enam buah pesawat pejuang Su-35 itu dipercayai adalah daripada kumpulan pertama daripada beberapa kumpulan pesawat pejuang Su-35 yang berkemungkinan besar akan dihantar oleh Russia kepada Iran di dalam tempoh bulan-bulan dan tahun mendatang ini.
Iran
Gambar satelit Pangkalan Udara Hamadan di Iran
Kehadiran pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Hamadan itu adalah selari dengan kerja-kerja pembinaan beberapa kubu penempatan pesawat yang sedang rancak dilakukan di Pangkalan Tentera Udara Iran di Hamadan itu.
Baru-baru ini, laporan media pertahanan antarabangsa hasil pengamatan gambar-gambar satelit menyatakan saiz kubu-kubu penempatan pesawat yang sedang dibina di Pangkalan Udara Hamadan itu bersaiz besar, membawa kemungkinan ia adalah untuk menempatkan pesawat-pesawat pejuang yang lebih besar dan lebih canggih.
Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa terdapat kubu-kubu yang sedang dibina itu berkemungkinan adalah untuk menempatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang bakal diterima oleh Iran daripada Russia di dalam tempoh terdekat.
Media antarabangsa melaporkan baru-baru ini bahawa Iran telah diberikan kebenaran oleh Russia untuk memasang pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 secara berlesen di dalam negara Parsi.
Jika laporan itu terbukti benar, langkah pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 buatan Russia itu bakal meningkatkan lagi kemampuan udara Teheran yang dilihat “terbelakang” berbanding cabang-cabang ketenteraannya yang lain.
Iran
Pesawat pejuang F-4 Phantom milik Iran
Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.
Kerjasama di antara Iran dan Russia berkenaan pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 dalam negara itu merupakan suatu “berita buruk” kepada beberapa negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana kekuatan udara yang selama didominasi mereka kini bakal dicabar oleh Teheran. — DSA

Comments are closed.