Tentera Russia Terima Hadiah Wang Tunai RM648 Ribu Tembak Jatuh F-16 Pertama Ukraine
Pesawat pejuang F-16 milik Ukraine itu dipercayai ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Russia ketika ia sedang dalam misi pengeboman terhadap kedudukan tentera Russia di wilayah Zaporizhia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota tentera Russia yang dikenalpasti bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pejuang F-16 Ukraine di wilayah Zaporizhia beberapa hari lalu bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah 15 juta Ruble (kira-kira US$145,000) atau RM648,000 daripada seorang ketua pegawai eksekutif negara itu.
Hadiah wang tunai itu telah diumumkan oleh ketua pegawai eksekutif syarikat Russia dinamakan “Fores” Sergei Shmotyev ketika St. Petersburg International Economic Forum (SPIEF) yang berlangsung pada Jun lalu.
Berpangkalan di Urals, syarikat Fores itu bergiat di dalam industri minyak dan gas.
Pesawat pejuang F-16 milik Ukraine itu dipercayai ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Russia ketika ia sedang dalam misi pengeboman terhadap kedudukan tentera Russia di wilayah Zaporizhia.
“Bayaran untuk menembak jatuh F-16 adalah cara kami menyokong anggota tentera (Russia) berani yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari demi keselamatan tanah air. Kami sangat berbangga dengan keberanian tentera kami dan akan terus memberikan segala bantuan yang mungkin,” kata ketua pegawai eksekutif itu.
Beliau yang dikenali sebagai Sergey Shmotyev, merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat Russia,Fores.
Sehingga kini Kementerian Pertahanan Russia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penembakan jatuh F-16 milik Ukraine itu.
Kenyataan mengenai penembakan jatuh F-16 Ukraine itu dibuat oleh ahli politik berpengaruh Russia, Vladimir Rogov.
Sebelum ini, syarikat Fores yang sama juga telah menawarkan bayaran wang tunai yang besar terhadap mana-mana anggota tentera Russia yang berjaya memusnahkan kelengkapan tentera milik musuh termasuk kereta kebal.
Antaranya adalah bayaran kepada mana-mana anggota tentera yang berjaya membuktikan kereta-kereta kebal dibekalkan oleh Barat kepada Ukraine seperti M1A1 Abrams dan juga Leopard.