Tentera India Tunjukkan Serpihan Peluru Berpandu BVR PL-15E, Dron Buatan Turkiye Milik Pakistan
Gambar-gambar yag ditunjukkan hari ini sekaligus mengesahkan penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan, terutamanya dalam dakwaan penembakan jatuh lima buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera India pada Isnin telah menunjukkan serpihan-serpihan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E buatan China yang digunakan oleh pesawat pejuang Pakistan dan juga dron Songar buatan Turkiye yang ditembak jatuh oleh unit-unit tentera India.
Pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera India mengadakan sidang media buat hari kedua berturut-turut untuk menunjukkan “kejayaan” anggota tentera mereka dalam Operasi Sindoor untuk menangani tentera Pakistan
Gambar-gambar yag ditunjukkan hari ini sekaligus mengesahkan penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan, terutamanya dalam dakwaan penembakan jatuh lima buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.
Dua lagi buah pesawat pejuang Tentera Udara India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.
New Delhi bagaimanapun sehingga kini masih belum mengesahkan ia telah kehilangan lima buah pesawat pejuangnya itu termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation.
Pengarah Operasi Udara India, Air Marshal A.K. Bharti menegaskan bahawa keberkesanan sistem pertahanan udara buatan tempatan negara itu, khususnya sistem Akash, yang memainkan peranan penting dalam mematahkan ancaman dari udara dilancarkan oleh Pakistan.
“Sistem kami yang telah teruji di medan sebenar terbukti berkesan sepanjang masa,” katanya sambil menekankan kepentingan sokongan belanjawan dan dasar kerajaan yang diterima sejak kebelakangan ini bagi memperkukuh keupayaan tersebut.
Beliau juga berkata penemuan serpihan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E di India itu juga membuktikan bahawa peluru berpandu itu gagal menemui sasaranya, berlainan dengan apa yang didakwa oleh tentera Pakistan.
“Anda boleh melihat daripada skrin tentang serpihan peluru berpandu itu (PL-15E), “ kata beliau, sambil menambah bahawa tentera India berjaya memintas peluru berpandu PL-15E itu dan menembak jatuhnya.
Namun begitu, Bharti yang juga merupakan Pengarah Operasi Udara India tidak mengulas lanjut mengenai objek yang disasarkan oleh peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E buatan China.
Terdahulu, Pakistan mengakui telah menggunakan peluru berpandu PL-15E yang merupakan varian Eksport dalam pertempuran udara terbaharu dengan India, dalam usaha yang dilihat cuba meningkatkan ketegangan dengan negara jiran itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 dibangunkan oleh AVIC (Aviation Industry Corporation of China).
Satu perbezaan ketara antara varian eksport (PL-15E) digunakan oleh Tentera Udara Pakistan dan varian tempatan (PL-15) digunakan oleh Tentera Udara China adalah jarak bedilan, dengan jarak bedilan varian eksport PL-15E sebagaimana dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan adalah sekitar 145 km manakala bagi varian tempatan sebagaimana digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China adalah sekitar 300 km.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 buatan China merupakan peluru berpandu jarak sederhana hingga jauh (BVRAAM) yang dilengkapi dengan sistem panduan radar aktif (active radar homing), mampu mengesan dan memintas sasaran pada jarak sehingga kira-kira 200 hingga 300 kilometer, bergantung pada profil penerbangan dan keadaan taktikal.
Ia menggunakan sistem pendorongan roket bahan api pepejal dua peringkat (dual-pulse solid-fuel rocket motor), membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang trajektori penerbangan bagi meningkatkan kebarangkalian memintas sasaran udara berprestasi tinggi seperti pesawat pejuang generasi kelima.
Dari segi teknologi pengesanan sasaran, PL-15 dilengkapi radar aktif AESA miniatur berfrekuensi tinggi yang mampu beroperasi secara autonomi, menjadikan peluru berpandu ini sukar untuk dielakkan oleh sistem pertahanan udara sedia ada.
Peluru berpandu ini juga mempunyai kemampuan pautan data dua hala (two-way datalink) yang membolehkan pembetulan trajektori secara real-time oleh pesawat pelancar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal di medan tempur.

Dengan panjang sekitar 4 meter, berat kira-kira 200 kilogram, serta kelajuan maksimum sekitar Mach 4, PL-15 dianggap sebagai salah satu ancaman terbesar kepada dominasi udara pihak lawan, termasuk menjadi pencabar langsung kepada peluru berpandu udara-ke-udara generasi terkini seperti AIM-120D AMRAAM dari Amerika Syarikat dan Meteor dari Eropah.
Sementara itu Bharti turut mengatakan bahawa Pakistan telah melancarkan sejumlah besar dron terhadap India, bagaimanapun ia berjaya dipatahkan menerusi pengoperasian sistem anti-dron dan pertahanan udara buatan tempatan India.
“Beberapa gelombang dron dan pesawat udara tanpa pemandu tempur (UCAV) yang digunakan oleh Pakistan turut berjaya ditumpaskan menerusi sistem ‘soft kill’ dan ‘hard kill’ anti-UAS (unmanned aerial system) yang dibangunkan dalam negara, serta tindakan pantas anggota pertahanan udara India yang terlatih,” katanya.
Pihak DGMO turut mendedahkan serpihan dron buatan Turki, Songar yang telah berjaya ditembak jatuh oleh pasukan India.
Dron Songar ialah sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAV) bersenjata yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turki, ASISGUARD.
Ia merupakan dron bersenjata pertama yang dihasilkan secara tempatan dan telah dimasukkan ke dalam inventori Angkatan Tentera Turki (TAF) pada tahun 2020.
