(VIDEO) Tentera Darat Iran Dedah Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Terbarunya “Badr”
(VIDEO) Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal "Badr" mempunyai banyak ciri yang sama dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal HJ-10 buatan China dan Javelin buatan Amerika Syarikat, yang telah digunakan secara meluas dalam konflik di Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Angkatan Tentera Iran telah mendedahkan kepada umum sistem peluru berpandu anti-kereta kebal mudah alihnya yang terbaru dipanggi “Badr” dalam latihan tentera yang dianjurkannya baru-baru ini.
Peluru berpandu anti-kereta kebal Badr direka untuk memberi keupayaan kepada unit-unit tentera daratnya untuk membedil perisai musuh pada jarak jauh.
Ia mempunyai banyak ciri yang sama dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal HJ-10 buatan China dan Javelin buatan Amerika Syarikat, yang telah digunakan secara meluas dalam konflik di Ukraine.
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Badr ini direka untuk menyerang kenderaan musuh dari bahagian atas perisainya, yang kebiasaannya kurang dilindungi, sambil menyediakan keupayaan canggih tembak-dan-lupakan (fire-and-forget).
Peluru berpandu Badr ini merupakan versi yang diubah suai daripada peluru berpandu Almas, dengan pengurangan kaliber daripada 130 mm kepada 110 mm.
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Badr adalah senjata tembak-dan-lupakan yang dikendalikan oleh seorang operator sahaja, dengan jarak operasi sehingga dua kilometer, direka khusus untuk memusnahkan kenderaan berperisai.
Pemain Video
00:00
00:00
Pengurangan kaliber Badr daripada 130mm kepada 110 mm telah menghasilkan reka bentuk yang lebih ringan, membolehkan seorang askar sahaja membawa dan mengendalikan sistem ini tanpa memerlukan bantuan tambahan atau persediaan yang rumit.
Walaupun saiznya lebih kecil, namun peluru berpandu anti-kereta kebal Badr masih mampu menembusi perisai setebal sehingga 60 cm.
Peluru berpandu ini mempunyai tempoh penerbangan selama 13 saat dan berat keseluruhan sekitar 15 kilogram, menjadikannya mudah digunakan.
Dalam satu latihan ketenteraan Iran baru-baru ini di wilayah barat negara itu, sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Badr telah diuji bersama sistem senjata lain.
Latihan tersebut, yang dijalankan di sepanjang paksi Qasr Shirin hingga Naft Shahr, merangkumi operasi bersama menggunakan platform seperti dron Ababil dan Arash Nezaja.
Sistem pesawat tanpa pemandu ini digunakan dalam serangan yang diselaraskan serta misi pemusnahan sasaran, menunjukkan usaha untuk mengintegrasikan peluru berpandu berpanduan tepat dalam operasi ketenteraan.
