Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iveco Defence Tampil “VBTP-MSR Guarani” Untuk Ganti Condor, Sibmas

Perolehan 400 buah kereta perisai 6x6 itu adalah untuk menggantikan kereta perisai Condor dan Sibmas yang telah ditamatkan perkhidmatan oleh Tentera Darat Malaysia.

0 3,896

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iveco Defence dilaporkan menjadi syarikat pertahanan antarabangsa terbaru menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk memperolehi kira-kira 400 buah kereta perisai 6×6 yang dijangka dibuka tidak lama lagi.

Perolehan 400 buah kereta perisai 6×6 itu adalah untuk menggantikan kereta perisai Condor dan Sibmas yang telah digunakan oleh Tentera Darat Malaysia sejak 1980-an.

Syarikat Iveco Defence itu dikatakan bakal mengemukakan kenderaan berperisai VBTP-MSR Guarani yang dibangunkan oleh syarikat Itali, Iveco Defence itu dengan Kementerian Pertahanan Brazil untuk menggantikan kenderaan EE-11 Urutu pada 2015.

Di dalam bahasa Portugis, VBTB-MSR itu membawa maksud  “Viatura Blindada Transporte de Pessoal – Média de Rodas; Armored Personnel Carrier Vehicle – Medium Wheeled Type” tetapi ia juga dipanggil “Guarani”.

Kontrak telah pun ditandatangani oleh Iveco Defence dan Kementerian Pertahanan Brazil pada 2007 dengan pembangunan kenderaan berperisai “Guarani” pula bermula pada ketika dengan menjelang tahun 2019 sejumlah 400 kenderaan berperisai itu telah pun diserahkan kepada Tentera Darat Brazil.

Guarani

Tentera Darat Brazil mempunyai keperluan sebanyak 2,000 kenderaan perisai “Guarani”itu bagi menggantikan kenderaan perisai yang digunakan oleh tentera darat negara itu seperti EE-9 Cascavel dan EE-11 Urutu.

Memandangkan kenderaan perisai “Guarani” ini dibangunkan secara bersama oleh Iveco Defence dengan Kementerian Pertahanan Brazil, maka tahap local content-nya adalah tinggi iaitu pada kadar 60 peratus.

Armor kenderaan perisai ini boleh menahan tembakan senjata kecil serta serpihan bedilan artilleri, manakala untuk pertahanan tambahan ia boleh dipasangkan dengan add-on armor dan berbentuk V-shaped hull bagi mengelakkan kecelakaan akibat bedilan periuk api.

Guarani

Kenderaan perisai “Guarani” yang memiliki berat 16.7 tan itu boleh dipasang dengan beberapa jenis senjata daripada mesingan “remote-control weapon station” seperti 7.62mm, 12.7mm dan pelancar grenad 40mm atau mortar 120mm.

Terdapat juga varian kenderaan berperisai itu yang dilengkapkan dengan meriam 30mm serta peluru berpandu anti-kereta kebal tetapi pilihan sebenarnya adalah ditangan pelanggan akhir di dalam kes ini Tentera Darat sekiranya mereka memilih “Guarani” sebagai pilihan.

“Guarani” yang dilengkapkan dengan Battle Management System (BMS) boleh membawa dua orang krew dan sembilan anggota tentera yang lengkap bersenjata.  

Guarani

Kenderaan perisai ini memiliki enjin Iveco Cursor 9 turbocharge yang memberikan ia 393 kuasa kuda.

Syarikat Korea Selatan, Hyundai Rotem, yang merupakan anak syarikat kepada konglomerat terkenal negara itu, Hyundai, mengesahkan bahawa ia telah menawarkan kenderaan berperisainya, “K806” untuk program perolehan kenderaan perisai 6×6 oleh Kementerian Pertahanan Malaysia untuk kegunaan Tentera Daratnya.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki kira-kira 186 buah kenderaan Amphibious Infantry Fighting Vehicle (AIFV) Sibmas buatan syarikat Belgium dan 460 buah Radzpanzer Condor buatan syarikat pertahanan, Jerman.

Rotem
Kenderaan Perisai K806 yang dibangunkan oleh syarikat Hyundai Rotem.

 

Kenderaan perisai “K806” dijangka berhadapan dengan beberapa pesaing dalam usahanya untuk memenangi kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia termasuk calon utama iaitu firma FNSS daripada Turki, yang telah pun bertapak lama di negara ini.

Selain syarikat Turki, syarikat-syarikat daripada Kanada iaitu General Dynamics Land Systems (Canada)  dan Indonesia, P.T Pindad juga menunjukkan minat menerusi kenderaan perisai PINDAD ANOA.

— DSA

 

Klik Untuk Download dan Install Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.defencesecurityasia.dsanews

Google Play

 

Comments
Loading...