Tentera Darat Malaysia, S’pura “Bertempur” Dalam Eks Semangat Bersatu
Eksesais Semangat Bersatu merupakan eksesais tahunan dan bilateral melibatkan kedua-dua negara antara tentera darat Malaysia dan Singapura.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Eksesais Semangat Bersatu melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Singapura (TDS) secara rasminya melabuhkan tirai latihan yang dilaksanakan di Kawasan Am Felda Ulu Tebrau pada hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bersama rakan sejawatnya, Panglima Tentera Darat Singapura, Brigedier Jeneral Neo Chin Wee David serta delegasi kedua-dua negara hadir menyaksikan ‘Serangan Akhir Batalion’ yang diadakan di kawasan latihan berkenaan.
Eksesais ini merupakan eksesais tahunan dan bilateral melibatkan kedua-dua negara antara TDM dan TDS.
Penglibatan TDM melibatkan Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Rejimen 501 Askar Wataniah (Rej 501 AW) dan Trup Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (Trup 3 Div).
Manakala, penglibatan TDS terdiri dari pegawai dan anggota dari 1st Batalion Singapore Guard.
Eksesais yang bermula pada 18 Mac 2022 ini berkonsepkan ‘Operasi Ofensif’ dengan melaksanakan dua fasa peperangan konvensional.
Sepanjang pelaksanaan eksesais ini, senario pelaksanaan serangan di dalam ‘Fasa Ofensif’ telah dilaksanakan untuk menguji tahap kecekapan dan pengetahuan setiap peserta eksesais dari kedua-dua negara.
PTD dalam ucapannya menjelaskan bahawa latihan ini bertujuan menguji fungsi pasukan infantri dengan penglibatan pelbagai elemen Tempur dan Bantuan Tempur dalam menangani sebarang ancaman di samping mencapai kerjasama bilateral sesama negara.
Justeru, kerjasama hubungan ketenteraan sebegini diharapkan dapat melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai kompetensi yang tinggi serta mampu melaksanakan operasi ofensif dengan secara integrated dan bersama di samping dapat mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama ketenteraan diantara kedua-dua Tentera Darat dengan berkongsi pengetahuan, teknologi peralatan dan kepakaran.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Dalam Perbarisan Penutup Eksesais, acara menanggalkan TOHA telah disempurnakan oleh PTD TDS.
Sebagai mengakhiri Perbarisan Penutup Eksesais turut diadakan sesi pertukaran momento antara Panglima Tentera Darat kedua-dua negara.
Sesungguhnya, latihan bilateral sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu “Pengukuhan Hubungan Pertahanan” dimana ia menumpukan kepada aspek pengukuhan kerjasama pertahanan di peringkat serantau dan antarabangsa. — DSA