Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas Mesir Batal Beli Su-35, Amerika Tawar Jual F-15

Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi kepada Mesir jika negara Timur Tengah itu meneruskan rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-35 (Flanker-E) daripada Russia itu.

0 1,747

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tidak lama selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia akibat ancaman sekatan ekonomi daripada akta CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act), Amerika Syarikat pula “masuk jarum” dengan menawarkan pula penjualan pesawat F-15 kepada Kaherah.

Penjualan pesawat pejuang F-15 kepada Mesir itu telah disahkan oleh pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Komander US Central Command (USCENTCOM) Jeneral Frank Mckenzie mendedahkan penjualan pesawat pejuang F-15 itu kepada Mesir ketika memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Persenjataan Senat negara itu di Washington.

F-15EX

“Di dalam kes membabitkan Mesir, kami mempunyai berita yang baik iaitu kami akan menjual pesawat pejuang F-15,” katanya sambil menambah bahawa keputusan menjual pesawat itu kepada Kaherah diambil selepas rundingan yang “sukar dan lama.”

Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi kepada Mesir jika negara Timur Tengah itu meneruskan rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-35 (Flanker-E) daripada Russia itu.

Mesir sudah tentu tidak mahu membuat Amerika Syarikat marah kerana setiap tahun ia menerima bantuan ketenteraan (military aid) daripada Washington sebanyak US$1.3 bilion (RM5.2 bilion).

F-15EX
Pesawat F-15EX dibangunkan oleh syarikat Boeing.

 

Bantuan ketenteraan itu digunakan oleh kerajaan Jeneral Fateh el-sisi untuk membeli peralatan-peralatan tentera daripada Amerika Syarikat.

Sementara itu, varian pesawat F-15 yang bakal dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Mesir dipercayai adalah varian yang terkini seperti F-15SA (Arab Saudi),  F-15QA (Qatar) dan F-15EX (yang akan dibekalkan kepada Tentera Udara Amerika Syarikat).

Pesawat F-15 yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Mesir juga dipercayai adalah varian yang sama sebagaimana akan digunakan oleh Tentera Udara Indonesia iaitu F-15ID.

Arab Saudi
Pesawat-pesawat pejuang F-15 Tentera Udara Arab Saudi.

 

Baru-baru ini, Washington memberikan kelulusan kepada Jakarta untuk membeli sekurang-kurangnya 36 buah pesawat F-15ID dianggarkan bernilai US$13.9 bilion (RM55.6 bilion).

Mesir sedang berusaha menggantikan pesawat-pesawat pejuang lamanya yang dibeli sama ada negara-negara Barat atau Russia.

Pada 2015, Kaherah memperolehi 24 buah pesawat pejuang Rafale dan pada tahun lepas menambah 30 lagi buah pesawat pejuang buatan Perancis itu bagi menjadikan bilangan keseluruhan pesawat Rafale yang dimiliki Mesir kepada 54 buah.

F-15 Eagle

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sementara itu laporan daripada Israel juga mengatakan bahawa negara Yahudi itu menyokong penjualan pesawat F-15 Amerika Syarikat kepada Mesir.

Menurutnya, adalah lebih baik Mesir menggunakan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat daripada pesawat pejuang buatan Russia atau China. — DSA

 

Comments
Loading...