Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia-India Rintis Kerjasama Pertahanan Lebih Erat. Tejas????

Adakah "kerjasama pertahanan lebih erat" antara Malaysia dan India itu bakal merintis jalan untuk Malaysia menjadi negara eksport pertama yang menggunakan pesawat pejuang ringan "Tejas" keluaran syarikat pertahanan negara itu, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

5,451

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia dan India bersedia menjalin hubungan pertahanan yang lebih erat lagi pada masa depan, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas mengadakan persidangan secara video call dengan rakan sejawatnya, Shri Rajnath Singh semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun FB milliknya semalam, Hishammuddin berkata, kerjasama erat dalam bidang pertahanan di antara kedua-dua negara itu boleh dilakukan dalam beberapa aspek.

Antaranya kata menteri pertahanan Malaysia itu adalah menerusi “usahasama dari sudut aset sama yang dimiliki angkatan tentera kedua-dua negara”, yang dipercayai merujuk kepada kerjasama penyelenggaraan dan bekalan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tejas

Tentera Udara India juga menggunakan pesawat pejuang Su-30MKI yang hampir sama seperti Su-30MKM yang digunakan oleh Malaysia.

Disebabkan sekatan ekonomi terhadap Russia akibat pencerobohannya di Ukraine, negara-negara pengguna senjata buatan negara itu berhadapan kesukaran untuk memperolehi bekalan alat-alat gantinya.

Malaysia tidak terkecuali dengan Hishammuddin juga pernah berkata bahawa bekalan alat ganti pesawat Su-30MKM hanya cukup untuk tempoh dua tahun.

Sebab itulah katanya, negara akan mendapatkan bekalan alat ganti Su-30MKM daripada negara-negara sumber selain Russia dan ini termasuklah India.

Nampaknya, usaha untuk memastikan 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM itu mendapat bekalan alat ganti yang mencukupi adalah amat-amat penting kepada negara dan Kementerian Pertahanan.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu pada Eksesais ABABIL 2021. (gambar TUDM)

 

Ini adalah kerana pesawat pejuang buatan Russia itu adalah antara aset paling utama TUDM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan ruang udara milik negara sentiasa terjamin dan usaha perlu dilakukan untuk supaya Su-30MKM itu “terus terbang.”

Apatah lagi, keadaan kita yang sememangnya “kekurangan” aset udara.

Media India pun menyedari betapa kita kini dalam keadaan terdesak untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah bekalan alat ganti Su-30MKM.

Baru-baru ini,media negara itu mendakwa pesawat pejuang keluaran industri pertahanan negara itu, “Tejas” adalah calon utama (frontrunner) untuk memenangi tender Malaysia bagi 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).   

Apa yang membuatkan pesawat “Tejas” buatan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) muncul sebagai calon utama untuk memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?

Su-30MKM

Menurut media itu, “Economic Times”,  India bukan sahaja menawarkan pakej kewangan yang menarik bagi membolehkan Malaysia memilih “Tejas” tetapi ia bersama-sama syarikat HAL turut komited dalam memastikan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti bagi 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM.

HAL memiliki pengalaman yang luas dalam hal ehwal penyelenggaran dan bekalan alat ganti pesawat buatan Russia itu kerana India turut mengoperasikan pesawat pejuang yang hampir sama iaitu Sukhoi Su-30MKI.

Adakah persoalan tentang bekalan alat ganti Su-30MKM itu bakal menjadi penentu kepada jenis pesawat FLIT/LCA yang bakal dipilih oleh kita? Kita tengok sahajalah.

India sedang berusaha meningkatkan kerjasama dalam bidang ketenteraan dengan Malaysia, menurut Kementerian Pertahanan India.

Astra
Pesawat Su-30MKI India.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sementara itu, laporan oleh agensi berita nasional, BERNAMA hari ini menyatakan bahawa Mesyuarat Kerjasama Pertahanan Malaysia-India (MIDCOM) yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan akan menjadi platform penting bagi mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, menurut kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan.

Menteri Pertahanan India itu turut mencadangkan sesi lawatan pegawai kanan dari Malaysia bagi meneroka kemudahan dan produk pertahanan India serta menjemput Hishammuddin mengadakan lawatan “pada tarikh yang sesuai untuk membincangkan hubungan pertahanan yang lebih erat dan strategik”. — DSA

Comments are closed.