Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Tejas” Sasar Mesir Pula, Tapi Berdepan Cabaran FA-50 Block 20

Syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) daripada India telah menawarkan pesawat pejuang ringan Tejas Mk1A kepada Mesir, tetapi usahanya berhadapan dengan cabaran hebat daripada Korea Aerospace Industries (KAI) yang mengetengahkan pesawat FA-50 Block 20 untuk kontrak Mesir itu. Selain HAL dan KAI, syarikat-syarikat daripada Itali dan China turut menunjukkan minat.

0 2,633

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa syarikat pembuat pesawat pejuang antarabangsa sedang berusaha dengan keras untuk “memikat” hati Mesir yang mempunyai keperluan untuk 100 buah pesawat pejuang ringan/latihan lanjutan (FLIT/LCA) bagi menggantikan pesawat-pesawat FLIT/LCA miliknya yang telah berusia.

Negara Arab itu dijangka mengumumkan pemenang kontrak itu pada tahun depan.

Kontrak bagi 100 buah pesawat FLIT/LCA Mesir itu dianggap lumayan kerana adalah kontrak kedua terbesar di pasaran pada ketika ini bagi pesawat-pesawat terbabit, dibelakang Amerika Syarikat yang mempunyai keperluan untuk 250 buah pesawat pejuang ringan/latihan lanjutan.

Tejas
Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Salah sebuah syarikat yang telah pun menyatakan minat untuk memenuhi keperluan Mesir itu adalah Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) daripada India yang menawarkan pesawat pejuang ringan Tejas Mk1A kepada negara Arab itu.

HAL mahu mencari pasaran eksport Tejas yang pertama.

Syarikat HAL itu bukan sahaja menawarkan Tejas kepada Mesir tetapi telah bertindak menjadikan tawarannya lebih menarik dengan cadangan untuk mewujudkan kemudahan produksi dan pembuatan (production and manufacturing) pesawat itu di negara Arab berkenaan.

Bukan sahaja pesawat Tejas, tetapi HAL sebagaimana dikatakan oleh media Mesir, turut menawarkan kemudahan produksi bagi helikopter.

Selain Tejas, New Delhi turut menawarkan helikopter yang dihasilkan industri pertahanannya seperti Advanced Light Helicopter (ALH) dan Light Combat Helikopter (LCH) kepada Mesir.

Media-media negara Arab turut menyatakan bahawa perbincangan telah diadakan di antara kedua-dua negara.

FA-50
FA-50

 

Panglima Tentera Udara Mesir juga dikhabarkan akan ke India tidak lama lagi untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan produksi dan pembuatan pesawat Tejas.

Negara Arab itu yang boleh diibaratkan sedang “membeli-belah” dengan hebat sistem persenjataan daripada kapal perang kepada pesawat pejuang amat menitikberatkan produksi tempatan dan pemindahan teknologi dalam apa-apa rundingan pembelian senjata daripada luar.

Bagaimanapun dengan “kegagalan” yang dihadapi oleh pesawat Tejas di Australia, Filipina, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), HAL sememangnya berhadapan dengan tugasan yang berat untuk memenangi kontrak di Mesir.

Ini ditambah pula dengan kehadiran pesaing-pesaing lain terdiri daripada pesawat FLIT/LCA seperti FA-50 daripada Korea Selatan, L-15 daripada China dan M-346 daripada Leonardo.

Selepas kejayaan menjual 48 buah pesawat FA-50 kepada Poland beberapa minggu lalu, syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) kini mensasarkan pula Mesir sebagai pelanggan untuk pesawat FLIT/LCA.

L-15
Pesawat L-15 buatan China.

 

Syarikat pembuat pesawat Korea Selatan itu dikatakan menawarkan pesawat FA-50 Block 20 kepada Mesir, sama seperti varian pesawat itu yang ditawarkan kepada Poland.

Tidak diketahui kombinasi bilangan di antara pesawat pejuang ringan dan pesawat latihan lanjutan yang dikehendaki oleh negara Arab itu.

KAI berpendapat bahawa pesawat FA-50 mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk dipilih oleh Tentera Udara Mesir kerana faktor persamaan dengan pesawat F-16 yang digunakan oleh negara Afrika Utara itu.

Tentera Udara Mesir merupakan diantara negara pengguna pesawat F-16 terbesar dunia dengan 160 buah pesawat dan persamaan lojistik di antara kedua-dua pesawat (F-16 dan FA-50) dijangka akan memudahkan pemilihan KAI oleh pentadbiran Kaherah.

Seorang pegawai kanan KAI, Lee Bong-geun berkata, syarikat Korea Selatan itu menawarkan produksi bersama dan usaha pemasaran bersama sekiranya Mesir memilih pesawat FA-50 yang dibangunkan mereka.

M-346
M-346FA

 

DNA dan teknologi Amerika Syarikat pada pesawat FA-50/T-50 itu adalah amat “tebal” berikutan kerjasama erat di antara KAI dengan Lockheed Martin (syarikat sama dibelakang F-16) dalam pembangunan pesawat pejuang ringan itu.

Mesir dikatakan mahu menggantikan pesawat-pesawat pejuang/latihannya yang berusia termasuk Alpha Jet, Mirage 5E dan juga Mirage 2000.

Pasukan aerobatik Black Eagles daripada Tentera Udara Korea Selatan yang menggunakan pesawat T-50B turut melakukan pertunjukan pada Pyramid Air Show 2022 yang berlangsung di Kaherah baru-baru ini.

Penyertaan pasukan aerobatik itu adalah salah satu usaha pemasaran oleh syarikat Korea Selatan untuk menarik perhatian Mesir terhadap kemampuan pesawat FA-50 itu, sesuatu yang biasa dilakukan oleh pasukan aerobatik asing ketika LIMA.

Selain HAL dan KAI, China turut menawarkan pesawat FLIT/LCA “L-15” kepada Mesir.

FA-50
Dua buah FA-50 Tentera Udara Filipina

 

Persaingan daripada L-15 Hongdu tidak boleh dipandang ringan oleh KAI dan Tejas kerana pada awal tahun ini ia berjaya membuat kejutan dengan menawan hati kerajaan UAE untuk membeli 12 buah pesawat FLIT/LCA itu.

UAE akan menambah pegangan pesawat itu kepada 48 buah pesawat L-15 beberapa tahun akan datang.

Pihak UAE dijangka membeli pesawat FLIT/LCA itu daripada China National Aero-Technology Import and Export Corporation (CATIC).

India
India turut menawarkan Advanced Light Helicopter (ALH) kepada Mesir sebagai sebahagian daripada pakej penjualan pesawat Tejas kepada negara Arab itu.

 

TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE  SECURITY ASIA:  

Google Play

Buat masa ini, tidak diketahui nilai pembelian pesawat FLIT/LCA oleh UAE itu tetapi pesawat L-15 itu dianggarkan bernilai di antara US$10 juta hingga US$15 juta per-unit, menurut maklumat daripada pihak industri.

Nilai per-unit pesawat pejuang itu menjadikan ia lebih murah berbanding pesawat-pesawat pejuang lain buatan syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan Eropah.

Pesawat L-15 itu disifatkan oleh pemerhati sebagai antara terbaik didalam kelasnya. — DSA

 

Jom follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

 

 

Comments
Loading...