Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tawaran Siapa Paling Menarik Dalam Tender FLIT/LCA TUDM?

Syarikat-syarikat yang bersaing di dalam tender Kementerian Pertahanan dianggar bernilai RM4 billion itu mengemukakan pelbagai tawaran yang menarik kepada Malaysia terutamanya melibatkan pemindahan teknologi.

0 8,497

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persaingan untuk membekalkan 18-36 pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) nampaknya semakin sengit.

Syarikat-syarikat yang bersaing di dalam tender Kementerian Pertahanan dianggar bernilai RM4 billion itu mengemukakan pelbagai tawaran yang menarik kepada Malaysia terutamanya melibatkan pemindahan teknologi.

Tawaran siapa yang paling menarik setakat ini? (berdasarkan maklumat-maklumat awam yang ada)

Setakat ini, daripada maklumat-maklumat awam admin mendapati tawaran daripada Korea Aerospace Industries (KAI) adalah yang paling menarik dan komprehensif berbanding pesaing-pesaingnya.

KAI menawarkan “final assembly line” bagi pesawat FA-50 Block 20 itu di Malaysia, pusat Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO), pembangunan Full Mission Simulator selain komitmen menerima pembayaran sehingga 50 peratus dalam bentuk komoditi dan produknya.

FA-50
Pesawat LCA FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries.

 

Selain itu, KAI turut menawarkan varian terkini pesawat FA-50 iaitu Block 20 amat mengujakan. Varian hanya sedikit sahaja kurang daripada varian MRCA yang baru sahaja didedahkan kepada umum pada pameran udara di Seoul baru-baru ini.

Terbaru sebagaimana yang kita tahu melibatkan gergasi aeroangkasa dan pertahanan Turki, Turkish Aerospace Industries (TAI) yang menawarkan pesawat latihannya, “Hurjet” di dalam tender Kementerian Pertahanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil yang berada di Malaysia baru-baru ini berkata, pihaknya menawarkan untuk mengeluarkan 15 pesawat “Hurjet” itu di Malaysia manakala tiga buah lagi di Turki.

Temel Kotil itu berkata, pengeluaran pesawat “Hurjet” di Malaysia bertujuan mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

“Kami (TAI) mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu (Hurjet) kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik.” katanya.

Hurjet
Pesawat FLIT/LCA “Hurjet” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

Beliau berada di Malaysia untuk menyaksikan pembukaan pusat kejuruteraan dan rekabentuk milik TAI pertamanya di Asia Tenggara yang terletak Cyberjaya.

Apa yang mungkin menjadi “kelemahan” kepada tawaran TAI adalah pesawat “Hurjet” itu sendiri kerana ia masih dibangunkan lagi dan penerbangan pertama hanya dapat dijangkakan pada tahun depan.

Selepas beberapa tahun, barulah “Hurjet” boleh dikatakan sebagai aktif. Tak pasti samada TUDM atau Kementerian Pertahanan akan menanggung risiko membeli pesawat yang masih di dalam proses pembangunannya.

“Hurjet” masih lagi pesawat prototaip, manakala pesawat FA-50 sudah pun digunakan oleh beberapa buah negara termasuk Tentera Udara Korea Selatan.

Tentera Udara Filipina telah pun menggunakan pesawat FA-50 miliknya dalam konflik di Marawi dan selatan Filipina serta misi-misi pengawasan udara di Laut China Selatan, menjadikan pesawat itu sebagai “battle-proven”.

Ia hanya meningkatkan kredibiliti pesawat FA-50 itu dalam pesaing utama dalam tender Kementerian Pertahanan itu.

Tejas
Pesawat Tejas keluaran HAL

 

Selain KAI dan TAI,  dalam laporan media tempatan juga menyatakan bahawa Hindustan Aeronautics Limited (HAL) turut menawarkan untuk menubuhkan pusat MRO pesawat “Tejas” di Malaysia sekiranya negara memilih pesawat itu.

Setakat ini, itu yang diketahui tentang tawaran daripada HAL itu selain kemampuannya untuk menerima 50 peratus pembayaran atau RM2 bilion pembelian pesawat di dalam bentuk minyak kelapa sawit atau produk-produknya.

Bagi syarikat-syarikat pembuat pesawat yang lain, admin tidak tahu apa yang ditawarkan oleh mereka kepada kerajaan Malaysia kerana tiada maklumat awam setakat ini, so kita tidak boleh nilaikan tawaran mereka.

Gripen E
Gripen-E

 

Cuma, China sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan dijangka menawarkan “pakej yang menarik” bagi memastikan Malaysia memilih pesawat mereka sama ada L-15B atau JF-17 yang diusahakannya dengan Pakistan.

Untuk tawaran pesawat MiG-35, ia tidak perlu pening kepala kerana MRO telah sedia-ada kerana rakannya adalah ATSC yang turut menyediakan kepakaran itu untuk pesawat-pesawat Sukhoi Su-30MKM kita.

Manakala bagi Gripen, tiada maklumat mengenai  tawaran mereka.

FLIT/LCA
Pesawat MiG-35 Russia,

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...