Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bersediakan TUDM Tangani Percerobohan Pesawat Pejuang Moden China?

Walaupun pesawat subsonik Hawk 208 itu berjaya memintas 16 pesawat pengangkut tentera China dalam insiden pada 31 Mei lepas, tetapi pada masa yang sama ia turut menimbulkan persoalan apa akan terjadi sekiranya Beijing mengerah pesawat-pesawat pejuangnya yang lebih moden dan lebih pantas.

0 5,439

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada 31 Mei lepas, sebanyak 16 buah pesawat pengangkut tentera China daripada jenis IL-76 dan Xian Y-20 melakukan penerbangan provokatif berhampiran ruang udara Malaysia, memaksa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengerah pesawat pejuang ringannya, Hawk 208 daripada Pangkalan Udara di Labuan untuk memintas dan “shadow-nya.”

Ia adalah antara insiden pencerobohan paling besar China terhadap Malaysia beberapa tahun  kebelakangan ini dan ia telah memeranjatkan TUDM,

Walaupun pesawat subsonik Hawk 208 yang mula memasuki perkhidmatan TUDM pada 1996 itu berjaya memintas pesawat pengangkut tentera China itu, tetapi ia pada masa yang sama ia turut menimbulkan persoalan apa akan terjadi sekiranya Beijing mengerah pesawat-pesawat pejuangnya yang lebih moden dan lebih pantas.

Mampukah pesawat-pesawat Hawk 208 yang berpengkalan di  Labuan itu menangani cabaran berhadapan dengan pesawat-pesawat supersonik China seperti J-20, J-10 atau J-11/J-16, Sukhoi Su-30 atau Sukhoi Su-35, sekiranya China mengulangi “provokasi” udara sebagaimana yang berlaku pada 31 Mei lepas?

Untuk meminta bantuan daripada pesawat-pesawat pejuang kita seperti Su-30MKM yang berpengkalan di Gong Kedak atau F/A-18D Hornet di Butterworth (kedua-duanya terletak di Semenanjung), mereka mungkin akan mengambil sedikit masa untuk tiba di perairan Sabah atau Sarawak.  

TUDM
Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM (gambar kredit Bernama)

 

Menurut majalah terkenal Amerika Syarikat “Forbes”, walaupun pesawat Hawk 208 TUDM itu berjaya memintas dan “shadow” pesawat-pesawat pengangkut China itu dalam insiden yang berlaku pada 31 Mei lepas,  tetapi keadaan mungkin berlainan pada masa-masa akan datang.

” Walaupun pesawat Hawk berjaya memintas dan “shadow” pesawat-pesawat China yang terdiri daripada pesawat pengangkut Y-20 dan IL-76, tetapi TUDM mungkin tidak bernasib baik selepas ini, sekiranya Beijing menghantar pesawat-pesawat yang lebih berkemampuan dan supersonik.

“Pesawat-pesawat Hawk TUDM mungkin tidak mampu mengejar mereka (pesawat-pesawat pejuang China yang lebih moden dan supersonik,” kata penulis majalah “Forbes” terbabit, David Axe. 

Sementara itu, seorang ahli akademik tempatan berkata, penerbangan 16 buah pesawat tentera China berhampiran ruang udara negara termasuk di Beting Patinggi Ali pada 31 Mei lepas menunjukkan potensi risiko Beijing menggunakan kekuatan tentera udaranya untuk menguasai Laut China Selatan, terutamanya di perairan Malaysia.

Professor madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Adam Leong Kok Wey dalam penulisannya di Royal United Services Institute (RUSI),   Beijing kini mula menggunakan kekuatan udara untuk menguasai Laut China Selatan.

Selama ini, perhatian banyak tertumpu terhadap penggunaan kapal-kapal sama ada pengawal pantai China atau bot-bot militia oleh China untuk menguasai Laut China Selatan, tetapi penerbangan provokatif pada 31 Mei itu mungkin menunjukkan Beijing mula menggunakan kekuatan udaranya pula untuk menguasai Laut China Selatan terutamanya yang berhampiran dengan Malaysia.

“Negara-negara littoral dan kuasa-kuasa besar yang berpegang kepada rules-based order di Laut China Selatan perlu mengakui (perkembangan baru ini),” kata beliau.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Selain itu katanya, kehadiran pesawat-pesawat China itu mungkin untuk menguji sistem pertahanan udara Malaysian serta reaksi politiknya.

Keduanya, China mungkin sedang menguji kemungkinan untuk melaksanakan operasi airborne sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan tuntutannya.

“Secara hipotetikal, China boleh menggunakan pesawat tenteranya untuk mengangkut anggota marin dan peralatan untuk menduduki ciri-ciri maritim (pulau, batuan dan terumbu karang) yang tidak berpenghuni di Laut China Selatan serentak. Ia kemudiannya akan melakukan pembinaan platform, struktur dan asas di ciri-ciri maritim ini sambil dibantu oleh kapal-kapal,”

— 

Professor madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Adam Leong Kok Wey

TUDM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu pada Eksesais ABABIL 2021. (gambar TUDM)

 

Pada 31 Mei lepas, 16 pesawat tentera China terdiri daripada pesawat Ilyushin Il-76 dan Xian Y-20 terbang di ruang udara Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) dan Beting Patinggi Ali sehingga kira-kira 60 batu daripada pantai Sarawak.

Selepas gagal menjawab pertanyaan daripada menara kawalan, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengerahkan pesawat Hawk 208 untuk memintas, menyebabkan pesawat-pesawat tentera China itu berpatah balik.

Pesawat-pesawat China itu terbang dalam formasi taktikal di perairan yang didakwa oleh China sebagai milikinya di bawah konsep “Nine Dash Line.”

Menurut Adam, penerbangan pesawat-pesawat China berhampiran ruang udara Malaysia pada 31 Mei itu mungkin adalah “suatu perubahan taktik.”

Perubahan taktik itu mungkin kerana pergerakan kapal-kapal China di Laut China Selatan terlalu dipantau, menyebabkannnya menukar taktik kepada penggunaan pesawat-pesawat tentera pula untuk mengukuhkan kekuasaannya di Laut China Selatan itu (terutamanya di perairan Malaysia).

Penggunaan kekuatan udara oleh China untuk menguasai sesuatu perairan itu bukanlah sesuatu yang baru kerana Beijing telah menggunakan pesawat-pesawatnya di kawasan perairan Senkaku yang dimiliki oleh Jepun dan di Taiwan.

China
Pesawat-pesawat J-16 Shenyang Tentera Udara China.

 

China mengerah pesawat-pesawat seperti pengebom H-6K, TU-154, Su-30 dan Shenyang J-11 untuk terbang di ruang udara Kepulauan Senkaku.

Tahun lepas, terdapat 675 penerbangan pesawat tentera China di sekitar Kepulauan Senkaku, menurut Adam, manakala di Taiwan pula,  dari Januari hingga Oktober 2020 pihak berkuasa pulau itu mengerah pesawat-pesawatnya untuk memintas pesawat China sebanyak 2,972 kali di kawasan ADIZ Taiwan.

Pada 2020,  Taiwan membelanjakan US$1 bilion untuk operasi pemintasan pesawat-pesawat China dan kini hanya mengerah radar dan sistem pertahanan udaranya untuk memantau pencerobohan oleh Beijing itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...