Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Tahan “Jeneral Armageddon”, Operasi Pembersihan Bermula

Penangkapan Jeneral Sergei Surovikin dan timbalannya Jeneral Yudin, merupakan bukti jelas bahawa Presiden Vladimir Putin dan agensi keselamatan terutamanya FSB mula bertindak balas terhadap pegawai-pegawai kanan tentera Russia yang disyaki membantu kumpulan bersenjata Wagner mencetuskan krisis keselamatan paling teruk dihadapi negara itu sepanjang dibawah pemerintahan Putin.

0 1,821

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak berkuasa Russia dipercayai telah menahan seorang jeneral Angkatan Tentera Russia dan timbalannya kerana dipercayai bersekongkol dengan ketua kumpulan bersenjata Wagner, Yevgeny Prigozhin dalam melancarkan pemberontak bersenjata dan cubaan merampas kuasa minggu lepas.

Sergei Surovikin merupakan bekas jeneral yang bertanggungjawab terhadap tentera Russia di Ukraine pada Oktober tahun lepas hingga Januari tahun ini sebelum tempat beliau diganti oleh Ketua Staf Angkatan Tentera Russia Jeneral Valery Gerasimov.

Sebelum dipertanggungjawabkan untuk mengetuai kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Surovikin merupakan jeneral yang mengetuai kempen tentera udara negara itu di Syria yang dikenali dengan pengeboman membabi-buta pesawat Russia terhadap sekolah-sekolah, hospital dan infrastruktur awam di negara Arab itu.

Surovikin
Jeneral Surovikin bersama Presiden Vladimir Putin

 

Ribuan orang awam di Syria didakwa menjadi mangsa “kekejaman” pesawat-pesawat Tentera Udara Russia di Syria, menurut badan-badan hak asasi manusia antarabangsa.

Media-media di Russia mengelar Surovikin “Jeneral Armageddon” atas tindakan ganasnya di Chechnya, Syria dan Ukraine.

Penangkapan Surovikin, yang merupakan jeneral Tentera Udara Russia serta timbalannya itu merupakan bukti jelas bahawa Presiden Vladimir Putin dan pasukan keselamatannya mula bertindak balas terhadap mereka yang disyaki membantu kumpulan bersenjata Wagner mencetuskan krisis keselamatan paling teruk dihadapi negara itu sepanjang dibawah pemerintahan Putin.

Selain Surovikin dan timbalannya, pasukan keselamatan Russia dipercayai diketuai oleh FSB telah menangkap beberapa pegawai tentera lain yang berkomplot dengan Prigozhin, Surovikin dan timbalannya.

Menurut media tempatan yang memetik sumber-sumber di dalam Kementerian Pertahanan Russua berkata Jeneral Sergei Surovikin dan timbalannya Jeneral Yudin telah ditahan oleh pasukan keselamatan Russia dan dihantar ke pusat tahanan Lefertovo di Moscow.

Surovikin
Surovikin merupakan komander yang bertanggungjawab terhadap kempen udara yang ganas di Syria.

 

Surovikin dan Yudin dikatakan tidak dapat dikesan sejak Sabtu lepas, hari yang sama apabila Prigozhin memimpin ribuan anggota Wagner melancarkan pemberontakan bersenjataan dan cubaan merampas kuasa.

“Kedudukan dengan beliau (Surovikin) adalah tidak baik. Saya tidak boleh bercakap lebih daripada itu,” kata satu sumber Kementerian Pertahanan Russia kepada portal berita Moscow Times, manakalan sumber kedua pula mengesahkan bahawa penangkapan jeneral itu adalah berkaitan dengan tindakan Prigozhin itu.

“Surovikin dan Yudin memilih untuk memihak dengan ketua kumpulan bersenjata Wagner (Prigozhin) semasa pemberontakan bersenjata itu,” kata sumber kedua Kementerian Pertahanan Russia itu.

Media-media tempatan menyatakan sudah tiga hari Surovikin tidak dapat dihubungi oleh anggota keluarganya.

Sementara itu akhbar terkenal Amerika Syarikat, The New York Times mendakwa bahawa Jeneral Surovikin mengetahui awal rancangan Prigozhin dan anggota Wagner untuk melancarkan pemberontakan bersenjata dan cubaan rampasan kuasa terhadap kepimpinan angkatan tentera Russia.

Wagner
Anggota Wagner di bandar Rostov-on-Don, selatan Russia selepas menawan ibu pejabat tentera Russia dalam pemberontakan bersenjatanya.

 

Prigozhin mensasarkan pemberontakan bersenjatanya terhadap Menteri Pertahanan Sergey Shoigu dan Ketua Staf Angkatan Tentera Russia Jeneral Valery Gerasimov.

Selepas memimpin ribuan anggota keselamatan Wagner menawan ibu pejabat Tentera Russia bagi selatan negara itu di Rostov-on-Don dan mara ke Moscow,  Prigozhin secara tiba-tiba mencapai kompromi dengan kerajaan Russia dan menamatkan pemberontakannya secara tiba-tiba.

Dengan Presiden Belarus Alexandr Lukashenka bertindak sebagai orang tengah, ketua kumpulan bersenjata Wagner itu bersetuju untuk hidup dan “buangan” di Belarus. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...