Ada Antara “Waris Sulu” Terlibat Dalam Insiden Pencerobohan Lahad Datu 2013
Individu yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu yang sah, Datu Omar Ali Datu Bachtiyal, 64, mendakwa sebelum berlakunya pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013, beliau telah didatangi Esmail Kiram II, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa individu yang mendakwa mereka sebagai waris Kesultanan Sulu dan terlibat dalam tuntutan berjumlah RM62 bilion terhadap kerajaan Malaysia, didakwa turut memainkan peranan dalam insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu pada 2013.
Dakwaan itu telah dinyatakan oleh seorang individu dikenali sebagai Datu Omar Ali Datu Bachtiyal, 64, yang mendakwanya sebagai waris Kesultanan Sulu yang sah.
Bercakap kepada agensi berita nasional (BERNAMA), Datu Omar Ali mendakwa sebelum berlakunya tragedi di Kampung Tanduo di Lahad Datu, beliau telah didatangi Esmail Kiram II, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.
Menurut beliau,Esmail telah bertemunya sekitar tahun 2008 dan tahun 2009 di mana beliau telah mengajaknya berjuang menuntut Sabah daripada Malaysia.
Namun Datu Omar telah menolak sekeras-kerasnya rancangan tersebut.
Esmail telah meningggal dunia pada 2015.
Datu Omar mengakui terkejut setelah mengetahui rancangan itu diteruskan beberapa tahun kemudian.
“Kita tahu kemudian daripada surat khabar (rancangan itu diteruskan). Saya sendiri pernah diajak untuk sertai (pencerobohan) Tanduo tetapi menolak,” katanya dalam pertemuan dengan agensi berita nasional itu baru-baru ini.
Tragedi pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu itu berlaku pada Februari 2013 apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari selatan Filipina, mendarat di pantai Kampung Tanduo sehingga mencetuskan pertempuran berdarah.
Seramai 10 anggota pasukan keselamatan negara terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Sri Jayas, Simunul di Semporna , manakala sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu berjaya ditembak mati dalam insiden itu.
Setelah tragedi hitam itu berakhir, Tanduo dijadikan kem tentera pada 15 Mac 2013 di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Pembinaan kem tentera itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memantau anasir jahat, khususnya bagi memastikan insiden pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu itu tidak berulang.
Datu Omar mendakwa dirinya adalah waris daripada salasilah Dayang Dayang Piandao, seorang puteri dan antara pentadbir Kesultanan Sulu pada 1936.
Dayang Dayang Piandao berkahwin dengan Datu Ombra Amilbangsa dan menjadi Sultanah pada 1937 sehingga mangkat pada 1945.
Dalam pada itu, anak bongsu Datu Omar, Datuk Datu Mohd Fadli Fathullah, 36, mendakwa beliau sendiri pernah berhubung dengan Esmail untuk meminta rancangan menceroboh Sabah itu dihentikan, namun tidak diendahkan.
“Dia cakap dengan saya, kau jangan masuk campur, kalau kau mahu ikut, ikut, kalau tidak mahu ikut, jangan masuk campur. Dia cakap begitu, selepas itu dia matikan telefon dan itu kali terakhir saya berhubung dengan dia, saya tidak mahu ini (tragedi Tanduo) berlaku tetapi itulah berlaku juga,” katanya yang mendakwa perbualan itu berlaku pada 2009.
Individu yang mendakwa mereka sebaga waris Kesultanan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Pada 28 Feb 2022, penimbang tara Dr Gonzalo Stampa dilapor telah memberikan ‘final award’ kepada penuntut sebanyak US$14.92 bilion (RM62 bilion).
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Beberapa hari lalu, Mahkamah di Luxembourg telah mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon oleh waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gonzalo Stampa.
Tiga hari lepas, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan oleh mereka berhubung pembatalan pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara kerajaan Malaysia dan Sulu. — DSA
Comments are closed.