Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Usaha Turki Peroleh F-16 Terhalang Lagi, Kongres Amerika Keluar Syarat Baru

Syarat terbaru yang dikemukakan oleh 29 senator Republikan dan Demokrat Amerika Syarikat itu mahukan Turkiye bersetuju terlebih dahulu terhadap kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO, sebelum Ankara dibenarkan membeli varian terkini pesawat pejuang F-16 itu dan kit pemodenan itu.

0 1,509

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha Turkiye memperolehi 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan pesawat pejuang itu terhalang lagi, selepas sekumpulan senator Amerika Syarikat meletakkan syarat baru sebelum menyetujui penjualan yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM80 bilion).

Syarat terbaru yang dikemukakan oleh 29 senator Republikan dan Demokrat Amerika Syarikat itu mahukan Turkiye bersetuju terlebih dahulu terhadap kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO, sebelum Ankara dibenarkan membeli varian terkini pesawat pejuang F-16 itu dan kit pemodenan itu.

“Sebaik sahaja kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO dipersetujui oleh Turkiye, Kongres Amerika Syarikat boleh menimbangkan penjualan pesawat pejuang F-16. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penjualan itu dikaji semula,” menurut surat yang ditujukan oleh kumpulan senator itu kepada Presiden Jo Biden.

Ia merupakan kali pertama Kongres Amerika Syarikat mengaitkan kedua-dua isu itu.

Turkiye merupakan negara anggota NATO dan pengguna terbesar F-16 di luar Amerika Syarikat dengan 250 buah pesawat, sebahagian besarnya dibina sendiri secara berlesen oleh industri pertahanan negara itu.

F-16
F-16 Turki

 

Syarat terbaru yang dikemukakan oleh senator-senator Amerika itu bakal menyebabkan kemarahan Turkiye yang sebelum ini telah pun menyatakan bahawa isu kemasukan Sweden dan Finland ke dalam NATO tidak patut dikaitkan dengan penjualan pesawat F-16.

Namun apa yang terjadi adalah, senator-senator terbabit telah mengaitkan isu penjualan pesawat dengan kemasukan kedua-dua negara Nordic dalam NATO, sekaligus merumitkan lagi usaha Turkiye untuk membeli pesawat-pesawat pejuang itu.

Sweden dan Finland telah mengemukakan permohonan secara rasmi untuk menyertai NATO pada 18 Mei tahun lepas, tetapi Ankara mahukan kedua-dua negara itu bertindak tegas terhadap beberapa organisasi dianggap sebagai kumpulan penganas oleh Turki seperti PKK, YPG dan Fetullah Terror Organisation (FETO).  

Ankara mahukan kedua-dua negara itu mengambil tindakan terhadap kumpulan-kumpulan itu sebelum memberikan persetujuan terhadap penyertaan kedua-dua negara ke dalam NATO.

Selain itu, tindakan Sweden membenarkan pelampau agama membakar kitab suci umat Islam di negara itu turut memburukkan lagi hubungan Ankara-Oslo serta menyukarkan lagi kemasukan negara itu ke dalam NATO.

Usaha Turkiye membeli pesawat-pesawat F-16 itu berhadapan dengan syarat demi syarat oleh anggota Kongres Amerika Syariat, bermula daripada menghendaki Ankara memberikan komitmen bahawa pesawat pejuang itu tidak digunakan untuk mencerobohi Greek.

Kini, penjualan pesawat F-16 itu dikaitkan pula dengan penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO pula.

Sementara itu Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan memberikan amaran bahawa kegagalan Washington membekalkan pesawat F-16 kepada Ankara mempunyai “harga yang tingg.”

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Jurucakap presiden Ibrahim Kalin berkata Turkiye mempunyai pilihan lain jika Amerika enggan menjual pesawat F-16.

Pentadbiran Erdogan juga pernah berkata bahawa Turki bersedia membeli pesawat pejuang daripada beberapa negara lain termasuk Eurofighter Typhoon, Rafale dan Su-35 sekiranya Washington berkeras untuk mengenakan syarat itu.

 Spekulasi tentang kemungkinan Turkiye membeli pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu semakin hangat apabila pegawai-pegawai kanan tentera udaranya telah mengunjungi sebuah pangkalan udara Royal Air Force (RAF) untuk melihat dengan lebih dekat operasi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu. — DSA

Comments
Loading...