Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Usaha Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Sudan Masuki “Fasa Kritikal” – Menteri Luar

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, tetapi enggan menjelaskan dengan lebih lanjut keberadaan mereka di atas faktor-faktor keselamatan.

0 1,407

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Usaha dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di ibu negara Sudan,  Khartoum telah pun dilakukan, ketika pertempuran sengit antara tentera Sudan dan pasukan paramitari, Rapid Support Forces (RFS) meletus kembali selepas gencatan senjata diusaha sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri gagal bertahan.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.

“Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.

Sudan
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

 

“Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini pada Isnin.

Dr. Zambry berkata, Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Dr. Zambry berkata Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara itu.

Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.

Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.

Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

Sudan

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). 

Usaha menyelamat warga asing yang terperangkap di Khartoum diperhebat dengan beberapa negara “berlumba-lumba” untuk membawa keluar rakyat mereka daripada negara bergolak itu selepas gencatan senjata yang diusahakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri gagal bertahan dan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak meletus kembali.

Kedua-dua pihak yang bertelagah, tentera Sudan dan pasukan paramilitari Rapid Support Forces (RSF) tidak menghiraukan gencatan senjata yang diisytihar dan pertempuran sengit berlaku di serata lokasi di Khartoum.

Amerika Syarikat menghantar pasukan khasnya terdiri daripada anggota tentera daripada SEALS dan pasukan khas tentera darat yang lain di bawah pemerintah Pusat Pemerintahan Afrika (AFRICOM) untuk menyelamatkan 70 orang kakitangan di kedutannya di Khartoum.

Komando
Anggota pasukan khas Amerika Syarikat membawa keluar 70 rakyat negara itu yang bertugas di kedutaan Amerika di Khartoum, Sudan.

 

Turut diselamatkan adalah diplomat warga negara asing, tetapi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tidak mendedahkan kewarganegaraan mereka.

Perintah supaya operasi menyelamatkan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Khartoum itu dikeluarkan oleh Presiden Jo Biden.

Menurut laporan, tentera Amerika Syarikat menggunakan tiga buah helikopter Chinook yang berlepas daripada Djibouti untuk mengisi minyak dan singgah sekali lagi di Eritrea, sebelum menuju ke bangunan kedutaan di Khartoum.

“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat itu hanya mengambil masa satu jam untuk melaksanakan operasi menyelamat itu, tanpa melepaskan sebarang tembakan,” menurut laporan. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...