Russia Bakal “Hadiahkan” Pesawat Su-35 Mesir Kepada Iran
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4++ buatan Russia itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dijangka mula menerima pesawat pejuang Su-35 daripada Russia pada awal tahun depan selepas sekumpulan juruterbangnya dihantar ke Russia untuk menjalani latihan mengendalikan pesawat generasi 4++ itu.
Pegawai-pegawai Amerika Syarikat yang mendedahkan perkara itu berkata, latihan yang diterima oleh juruterbang-juruterbang Iran itu menunjukkan kerjasama pertahanan lebih erat antara Teheran dengan Moscow.
Mereka juga berkata Iran dijangka akan menerima pesawat Su-35 pada awal tahun depan.
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4++ buatan Russia itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
Sejak beberapa bulan lepas, Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.
Pegawai-pegawai perisikan Amerika Syarikat percaya Iran sedang bersiap-sedia untuk menghantar peluru-peluru berpandu balistik buatan industri pertahanan negara itu ke Ukraine untuk digunakan oleh tentera Russia.
Sejak kebelakangan ini, Russia telah menjadikan Iran serta Korea Utara sebagai sumber bekalan senjatanya berikutan sekatan ekonomi yang ketat oleh masyarakat antarabangsa telah membantutkan operasi industri pertahanannya.
Sekatan ekonomi oleh Barat itu juga menjejaskan usaha Russia untuk menyelenggara sistem pertahanannya.
Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.
Pada masa yang sama, negara-negara pro-Amerika di Timur Tengah juga gusar akan kehadiran pesawat-pesawat moden Tentera Udara Iran yang akan memberikan saingan terhadap pesawat moden mereka.
Kali terakhir Iran membeli pesawat pejuang adalah pada pertengahan 1990-an apabila ia memperolehi sejumlah pesawat MiG-29 Fulcrum.
Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.
Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.
Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
September lepas, komander Tentera Udara Iran Brig Jen Hamid Vahedi mengesahkan bahawa Iran sedang di dalam perbincangan aktif dengan Russia berkenaan perolehan pesawat baru.
Iran dijangka akan menjadi pemilik baru kepada 24 buah pesawat Su-35SE yang sebelum ini dibina untuk Tentera Udara Mesir.
Mesir enggan menerima pesawat-pesawat pejuang itu kerana bimbang akan kesan daripada CAATSA serta tekanan diplomatik daripada Washington.
Sebahagian daripada pesawat Su-35 milik Mesir itu kini tersadai di kemudahan pemasangan pesawat milik KNAAPO di Russia dan bersedia berpindah-milik kepada Tentera Udara Iran. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore