Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Didakwa Gagal Maklum Jadual Pembayaran Baru Kos Program KF-21 “Boramae”

Media Korea Selatan mendakwa Indonesia telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan terhadap program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

0 5,222

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia didakwa telah gagal memberitahu Korea Selatan jadual pembayaran baru bagi program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae”, sekaligus menimbulkan persoalan tentang komitmen negara Asia Tenggara itu terhadap program itu.

Perkara itu didedahkan oleh agensi perolehan senjata Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA).

Bulan lepas, Menteri bertanggungjawab terhadap DAPA,

KF-21
Salah satu pesawat prototaip KF-21 “Boramae” dengan bendera kedua-dua negara terpampang di badan pesawat generasi 4.5 itu.

 

Eom Dong-hwan berkata bahawa Jakarta telah bersetuju untuk memaklumkan tentang tarikh baru pembayaran itu pada akhir Jun bagi meredakan kebimbangan tentang kegagalan Indonesia membayar kos pembangunan pesawat pejuang itu.

Jurucakap DAPA berkata, sebagai rakan kerjasama program Indonesia sepatutnya sudah memberikan tarikh jadual pembayaran itu namun sehingga kini ia telah gagal untuk berbuat demikian.

Agensi Korea Selatan itu sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Indonesia.

“Kita akan memberikan reaksi balasa selepas bertemu dengan pihak Indonesia, seperti mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai (Indonesia),” kata Lt Kol You Hyoung-keun pada pertemuan dengan media.

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.

Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu yang dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion).

KF-21
Bendera Indonesia “hilang” pada prototaip pesawat pejuang KF-21.

 

Menurut DAPA,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

Indonesia hanya telah menjelaskan kira-kira 30 peratus daripada bayaran yang perlu dibuatnya kepada Korea Selatan.

Media Korea Selatan mendakwa Indonesia telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan terhadap program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

Bagaimanapun laporan oleh portal pertahanan Janes beberapa bulan lepas menyatakan bahawa Indonesia telah mula melakukan pembayaran semula selepas tiga tahun.

Portal itu mengatakan bahawa pada 1 Nov tahun lepas, Indonesia telah melakukan pembayaran sebanyak US$6.63 juta (RM26.52 juta).

Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

KF-21
Pesawat KF-21 dengan empat butir peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” BVR ketika melakukan penerbangan sulung tahun lepas.

 

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.67bilion (RM26.7bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.

Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21.

KF-21
Varian dua tempat duduk KF-21

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young ketika ditemuramah oleh media tempatan di LIMA 2023 dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.

“Saya percaya, ya, pesawat KF-21 lebih daripada mungkin mampu untuk menggantikan mereka (F/A-18D dan Su-30MKM) kerana waktu persaraan kedua-dua pesawat itu adalah hampir sama dengan waktu dimana pesawat KF-21 itu akan mula beroperasi,” kata beliau dalam temuramah itu.

 Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...