Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kelemahan” Radar Irbis-E Punca Mesir Batal Beli Pesawat Su-35 Russia?

Selain tekanan kuat Washington dan ancaman CAATSA, terdapat satu lagi sebab dikatakan menjadi punca mengapa Mesir bertindak "membatalkan" pembelian pesawat Sukhoi Su-35 iaitu "kelemahan" teknikal pesawat buatan Russia itu sendiri.

0 2,226

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2018, Mesir menjadi negara pertama di Timur Tengah memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-35 buatan Russia apabila ia menandatangani kontrak bernilai US$3 bilion (RM12 bilion) untuk memperolehi di antara 24 hingga 26 buah pesawat itu.

Malah dikatakan, kilang Sukhoi di Komsomolsk-on-Amur telah menyiapkan 11 buah daripada pesawat pejuang itu, tetapi sehingga kini tiada satu pesawat Su-35 pun diterima oleh Mesir. Mengapa?

Ramai pemerhati mengatakan bahawa punca mengapa Mesir gagal menerima pesawat-pesawat Su-35 itu adalah disebabkan oleh tekanan kuat Amerika Syarikat, yang juga bertindak sebagai penyumbang dana utama kepada Kaherah setiap tahun.

Washington tidak senang kerana sebagai penyumbang dana terbesar kepada Mesir, dianggarkan sebanyak US$3 bilion setiap tahun, kerajaan Mesir dipimpin Jeneral Abdel Fatah El-Sisi pula didakwa bertindak menyalurkan sebahagian daripada dana itu untuk membeli kelengkapan senjata daripada Russia.

Sebab itulah Amerika memberikan tekanan yang kuat kepada Kaherah supaya membatalkan pembelian pesawat Sukhoi Su-35 itu, selain ancaman sekatan ekonomi di bawah undang-undang Countering American Adversaries Through Sanction Act (CAATSA).

Su-35
Pesawat Su-35

 

Bagaimanapun, terdapat juga pemerhati mengatakan tekanan kuat daripada Amerika Syarikat dan ancaman CAATSA,  hanyalah sebahagian daripada punca mengapa Mesir bertindak membatalkan pembelian pesawat Russia itu.

Sebenarnya, terdapat punca lain iaitu melibatkan “kelemahan” pesawat Su-35 itu sendiri berbanding pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Mesir iaitu “Rafale” buatan syarikat Dassault Aviation.

Apa yang dimaksudkan “kelemahan” pesawat Su-35 itu melibatkan sistem radarnya “Irbis-E”.

Dikatakan, pihak Mesir telah menjalankan ujian terhadap kemampuan sebenar radar Passive Electronically Scanned-Array (PESA) “Irbis-E” pesawat Su-35 itu terhadap sistem Electronic Counter-Measures (ECM) pesawat Rafale.

Su-35
Radar PESA “Irbis-E”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Apa yang didapati mereka adalah, sistem ECM Rafale dengan mudah “menundukkan” radar Irbis-E pesawat Sukhoi Su-35 buatan Russia itu.

Terdapat juga dakwaan mengatakan bahawa pesawat Rafale telah dengan mudah “menembak jatuh” pesawat Su-35 dalam satu latihan dimana sistem ECM “Spectra” pesawat buatan Perancis itu telah dengan mudah “jammed” radar Su-35 itu dengan mudah sebelum “menembak jatuh” pesawat Russia itu.

Pegawai-pegawai tentera Mesir dikatakan berang kerana pesawat Su-35 itu masih menggunakan radar PESA sedangkan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 di pasaran telah mengaplikasikan penggunaan radar AESA (Active Electronically Scanned Radar).

Jika mahu pesawat Su-35 itu dilengkapi dengan radar AESA, Mesir perlu membayar lebih dan dikatakan inilah antara punca “kemarahan” negara Arab itu.

Su-35

Memang benar, harga sistem persenjataan Russia ini adalah lebih rendah berbanding buatan negara-negara Barat tetapi kos penyelenggarannya dikatakan “amat cekik darah”, selain prosedur yang amat kompleks dan sukar difahami.

Menurut “orang dalam industry”, ini adalah cara orang Russia buat duit iaitu menjual barangan pada harga yang lebih rendah tetapi “recoup the losses” atau kaut keuntungan menerusi kos penyelenggaran yang tinggi.

Kedua-dua  situasi di atas mengenai Mesir dan pesawat Su-35  itu kekal merupakan suatu dakwaan yang tidak dibuktikan sebagai kebenaran sehingga kini.

Su-35

Bagaimanapun pada tahun lepas,  Mesir menambah pembelian pesawat Rafale sebanyak 30 buah lagi, tidak lama selepas laporan mengatakan negara Arab itu bertindak “membatalkan” pembelian 24 buah pesawat Su-35 daripada Russia itu.

Pembelian 30 lagi buah pesawat Rafale itu menjadikan Mesir memiliki sejumlah 54 buah pesawat pejuang buatan Perancis itu pada ketika ini.

Pada 2015, Kaherah telah memperolehi 24 buah pesawat pejuang Rafale. — DSA

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Comments
Loading...