Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Cik Su” Tunjuk Taring Pada Singapore Air Show Dua Tahun Lepas

Kehadiran sebuah pesawat Su-30MKM bersama-sama beberapa persenjataannya yang jarang-jarang diperlihatkan telah menarik perhatian pemerhati ketenteraan serantau dan antarabangsa untuk meninjau dengan lebih dekat kemampuan “Cik Su” Malaysia itu.

2,840

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Singapore Airshow dua tahun lepas, sebuah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang  “lengkap bersenjata” telah terlibat dalam pameran statik di republik itu.

Kehadiran sebuah pesawat Su-30MKM bersama-sama beberapa sistem persenjataannya yang jarang-jarang diperlihatkan telah menarik perhatian pemerhati ketenteraan serantau dan antarabangsa untuk meninjau dengan lebih dekat kemampuan “Cik Su” Malaysia itu.

Apa yang menarik perhatian pemerhati ketenteraan adalah barisan senjata yang dibawa oleh Su-30MKM itu.

Untuk pameran static itu, pesawat Su-30MKM itu dilengkapi dengan peluru berpandu KH-31 yang dibangunkan oleh Tactical Missile Corporation (dahulu dikenali dengan nama Zvezda-Strela) atau AS-17 “Krypton” oleh NATO.

Adalah sesuatu yang amat jarang-jarang berlaku di mana TUDM membawa kelengkapan senjatanya seperti peluru berpandu KH-31 untuk pameran mahupun latihan di luar negara.

Su-30MKM
“Cik Su” bersama-sama peluru berpandu KH-31 pada Singapore Air Show 2020. (kredit Twitter)

 

Peluru berpandu KH-31 datang di dalam dua varian – satu adalah varian untuk anti-kapal manakala satu lagi varian adalah untuk tujuan anti-radiasi.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A dilengkapi dengan active radar seeker menggunakan kaedah sea-skimming dalam menuju ke arah sasaran pada kelajuan 2.7 Mach selepas dilancarkan pada kelajuan 3.5 Mach.

Manakala peluru berpandu KH-31P pula bertujuan operasi anti-radiasi untuk memusnahkan radar sama ada yang berpengkalan di darat atau di laut.

Su-30MKM
Cik Su dengan KH-31 (Twitter)

 

Peluru berpandu anti-radiasi KH-31P berupaya membedil sasaran sejauh 60 batu nautika.

Berapa banyak peluru berpandu KH-31 diperolehi oleh Malaysia? Menurut beberapa laporan, negara memperolehi di antara 90 hingga 150 buah peluru berpandu KH-31 (di dalam kedua-dua varian iaitu anti-kapal dan ant-radiasi).

Tetapi sudah semestinya, tiada pihak sama ada Malaysia atau Russia akan mengesahkan mengenai jumlah sebenar peluru berpandu KH-31 yang berada di dalam inventori TUDM.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu KH-31A.

 

Pesawat Su-30MKM telah melakukan ujian pelancaran kedua-dua varian peluru berpandu itu pada 2014.

Selain TUDM, peluru berpandu KH-31 itu turut digunakan oleh pesawat-pesawat Su-30 yang digunakan oleh Indonesia dan China, yang kemudiannya menghasilan varian buatan tempatannya dikenali YJ-91, dibangunkan oleh Hongdu.

Selain peluru berpandu KH-31, pesawat Su-30MKM yang terlibat pada pameran statik di Singapore Airshow 2020 itu turut mempamerkan peluru berpandu Vympel NPO R-77 atau juga dikenali dengan nama AA-12 Adder oleh NATO.

Su-30MKM
Peluru berpandu BVR Vympel R-77.

 

Ia adalah peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (active radar homing) yang setanding dengan AIM-120 AMRAAM Amerika Syarikat.

Jarak effektif peluru berpandu udara-ke-udara R-77 itu adalah di antara 80km sehingga 190km berdasarkan kepada variannya.

Satu lagi kelengkapan yang ditonjolkan oleh pesawat statik “Cik Su” pada Singapore Airshow 2020 itu adalah pod ECM (Electronic Counter Measure) dikenali dengan nama “KNIRTI SAP-518” yang amat sesuai sekali digandingkan dengan peluru berpandu KH-31P.

Su-30MKM
Wingtip ECM pod KNIRTI SAP-518

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Tujuan utama pod ECM KNIRTI SAP-518 adalah untuk jamming sistem elektronik musuh seperti sistem radar dan komunikasi.

Sistem itu telah dibangunkan oleh Kaluzhsky Scientific Research Radio-Technical Institute. — DSA

Comments are closed.