Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Tauliah Friget “Cheonan”, 13 Tahun Selepas Insiden Berdarah Cheonan

Selepas 13 tahun sudah berlalu, Tentera Laut Korea Selatan pada 19 Mei yang lalu telah mentauliahkan sebuah kapal friget baru yang turut dinamakan “Cheonan”, bersempena nama kapal korvet "Cheonan" yang karam akibat tembakan torpedo dilancar kapal selam Korea Utara, mengorbankan 48 orang anak kapal.

0 1,267

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga belas tahun yang lalu pada 2010,  sebuah kapal korvet Tentera Laut Korea Selatan (ROKS) “Cheonan” telah ditembak dengan torpedo yang dilancarkan oleh kapal selam mini milik Tentera Laut Korea Utara berhampiran sempadan maritim kedua-dua negara.

Tembakan torpedo itu telah menyebabkan kapal korvet “Cheonan” itu seberat 1,200 tan itu karam dan menyebabkan 48 orang anak kapalnya terkorban, serta hampir mencetuskan peperangan di antara kedua-dua negara ‘bersaudara’ itu.

Selepas 13 tahun sudah berlalu, Tentera Laut Korea Selatan pada 19 Mei yang lalu telah mentauliahkan sebuah kapal friget baru yang turut dinamakan “Cheonan”, bersempena nama kapal korvet “Cheonan” yang karam akibat tembakan torpedo dilancar kapal selam Korea Utara.

Cheonan
Kapal korvet “Cheonan” yang menjadi mangsa tembakan torpedo kapal selam mini Korea Utara pada tahun 2010.

 

Kapal friget baru Korea Selatan, “Cheonan” yang dinamakan sempena kapal korvet itu yang malang adalah lebih besar dengan beratnya mencecah 2,800 tan dan dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan untuk berhadapan dengan kapal-kapal perang Korea Utara.

“Membawa semangat patriotisme kesemua 46 krew kapal korvet Cheonan yang terkorban, kapal friget Cheonan akan melaksanakan operasi untuk mempertahankan perairan kami sebagai aset Tentera Laut Korea Selatan, “ kata komander tentera laut negara itu Kim Myung-soo dipetik sebagai berkata.

Antara mereka yang hadir pada majlis pentauliahan kapal friget itu adalah Kapten Choi Won-il yang mengemudi kapal korvet malang itu serta dua krew kapal malang yang bertindak menaikkan bendera sempena majlis pentauliahan itu.

“Saya berharap kapal friget baru, Cheonan akan menghukum Korea Utara jika mereka bertindak agresif sekali lagi,” katanya.

Kapal friget yang baru, Cheonan yang dibina oleh Hyundai Heavy Industries (HHI) adalah barisan kapal-kapal friget baru yang dibina untuk menggantikan kapal-kapal friget 1,500 tan dan kapal korvet 1,000 tan lama milik Tentera Laut Korea Selatan.

Cheonan

Dimulakan pada tahun 2020, Tentera Laut Korea Selatan telah memulakan program untuk membina lapan buah kapal friget baru.

Dengan panjang 122 meter dan berkemampuan mencapai kelajuan 30 knot, kapal friget “Cheonan” itu juga berkemampuan membawa sebuah helikopter untuk misi peperangan anti-kapal selam serta dilengkapi dengan pelbagai sistem sensor dan peluru-peluru berpandu pertahanan udara dan anti-kapal.

Selain itu, kapal friget “Cheonan” itu juga dilengkapi dengan All-weather, All-Sea-Conditions Anti-Submarine Missile System (ASROC) “Hong Sang Eo” yang merupakan torpedo jarak jauh untuk peperangan bawah permukaan.

Cheonan
Kesan robekan torpedo Korea Utara terhadap kapal korvet “Cheonan” Korea Selatan.

 

Bagi mengelak ia menerima nasib yang sama sebagaimana kapal korvet dengan nama yang sama 13 tahun yang lalu, kapal friget yang baru ditauliahkan itu dilengkapi dengan Hull Mounted Sonar (HMS) dan Towed Array Sonar System (TASS) bagi membolehkan ia mengesan kehadiran kapal selam daripada jarak jauh.

Kapal korvet “Cheonan” yang tenggelam akibat serangan torpedo kapal selam 13 tahun yang lalu tidak memiliki sistem sonar pada insiden terbabit. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...