Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Rekabentuk Kapal Korvet Kelas-Ada Pilihan TLDM Untuk LMS Batch II?

Hasil daripada perbincangan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, syarikat pembina kapal daripada Turki, STM telah mengemukakan rekabentuk kapal korvet kelas-“Ada” yang turut digunakan oleh Tentera Laut Turki pada ketika ini. Tentera Laut Turki memiliki empat buah kapal perang kelas-Ada.

0 3,140

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan akan ke Turkiye tidak lama lagi bagi memulakan langkah pertama perolehan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II daripada lapan yang dirancang untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tiga buah LMS Batch II untuk TLDM itu dijangka akan mula dibina pada tahun ini atau tahun depan manakala selebihnya lagi akan dibina pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 TLDM buatan China yang hanya dilengkapi meriam kecil, kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM itu akan bersaiz lebih besar dan lebih berat serta dilengkapi dengan keupayaan kombatan seperti peluru berpandu anti-kapal dan sistem peluru berpandu pertahanan udara.

LMS
Rekabentuk kapal korvet “Ada” yang ditawarkan oleh syarikat STM dari Turki untuk program perolehan kapal LMS Batch II TLDM.

 

Sebab itulah nilai keseluruhan kapal-kapal LMS Batch 11 itu dijangka bernilai lebih RM6 bilion berbanding hanya RM1 bilion untuk pembinaan empat buah kapal LMS Batch 1.

Antara syarikat luar negara yang telah pun menyatakan minat mereka untuk menyertai projek pembinaan kapal-kapal LMS Batch II  milik TLDM itu adalah STM daripada Turki.

Sebagaimana diberitahu oleh pengarah pembinaan tentera laut syarikat itu, Mehmet Selahettin Deniz kepada sebuah media pertahanan antarabangsa tahun lepas, hasil daripada pembincangan syarikat itu dengan TLDM, maka ia telah diminta untuk mengemukakan rekabentuk bersesuaian dengan kapal LMS itu.

Hasil daripada perbincangan dengan TLDM  itu, syarikat STM telah mengemukakan rekabentuk kapal korvet kelas-“Ada” yang dioperasikan oleh Tentera Laut Turki pada ketika ini.

Tentera Laut Turki mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-Ada pada masa ini manakala kapal kelas yang sama juga sedang dibina untuk Tentera Laut Ukraine.

Ada

 

Kapal korvet kelas-Ada ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-Ada ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-Ada memiliki berat 2,400 tan.

NSM
Peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang dijangka akan melengkapi kapal-kapal LMS Batch II TLDM.

 

Kapal perang kelas-Ada ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon atau Atmaca yang dibangunkan oleh Turki sendiri. 

Terdapat laporan mengatakan bahawa kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) buatan firma Kongsberg daripada Norway, sebagaimana yang dilakukan oleh TLDM terhadap kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang sedang dibinanya.

Kapal kelas-Ada juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...