S’pura Tidak Anggap Penerbangan 16 Pesawat Tentera China 31 Mei Lepas “Ancam Keselamatannya”
Memanglah ia “tidak mengancam keselamatan” Singapura, kerana lokasi di mana pencerobohan pesawat China di FIR Singapura itu berlaku hampir dengan ruang udara milik Malaysia dan di dalam FIR Kota Kinabalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden membabitkan penerbangan 16 buah pesawat tentera China (PLAAF) di dalam Flight Information Region (FIR) Singapura pada 31 Mei lepas ditakrifkan oleh Singapura sebagai “tidak mengancam keselamatan” republik itu, kata menteri pertahanannya Ng Eng Hen.
Memanglah ia “tidak mengancam keselamatan” Singapura, kerana lokasi di mana pencerobohan pesawat China di dalam FIR Singapura itu berlaku hampir dengan ruang udara milik Malaysia serta di dalam FIR Kota Kinabalu.
Pesawat-pesawat tentera China itu dikesan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah balik.
Sebagai tindak balas, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengerahkan pesawat pejuang ringan Hawk 209 daripada Pangkalan Udara Labuan untuk memintas pesawat-pesawat tentera China itu yang terdiri daripada pesawat pengangkut IL-76 dan Y-20.
Insiden itu telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan Malaysia-China dengan Kuala Lumpur memanggil duta China serta menghantar notis diplomatik bagi membantah tindakan pesawat tentera China itu.
“Singapura adalah sebuah negara yang kecil dengan penduduk yang ramai dan oleh memang terdedah dengan ancaman udara. Tentera Republik Singapura mengekalkan unit pertahana udara dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi.”
“Tentera Udara Singapura melakukan pemantauan 24/7 terhadap ruang udara menerusi radar dan pemantauan udara untuk mengesan pesawat-pesawat mencurigakan dan tidak dikenalpasti yang berada hampir untuk mendatangkan ancaman,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan republik itu.
Menteri Pertahanan Singapura itu berkata demikian bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh dua anggota Parlimen negara itu mengenai kemasukan 16 pesawat tentera China ke dalam FIR Singapura pada 31 Mei lepas.
Katanya, Singapura berhadapan dengan 350 insiden “ancaman udara” setiap tahun dan kejadian pada 31 Mei lepas itu tidak ditakrifkan sebagai ancaman kepada Singapura.
FIR Singapura diuruskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan ia meliputi ruang udara Singapura, sebahagian Indonesia dan Laut China Selatan.
Katanya, mana-mana pesawat awam yang mahu melalui di FIR Singapura perlu mengemukakan pelan penerbangan mereka kepada CAAS, tetapi pesawat tentera tidak tertakluk kepada peraturan itu di bawah undang-undang antarabangsa.
CAAS kata menteri pertahanan itu tidak menerima sebarang pelan penerbangan daripada pesawat tentera China itu atau berkomunikasi dengan mana-mana pesawat milik tentera udara China itu.
Laporan media di Malaysia sebelum ini mengatakan pihak ATC Malaysia telah menghubungi pesawat tentera China itu apabila ia memasuki FIR Kota Kinabalu tetapi pesawat tentera asing itu mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang respons.
Akibat daripada kegagalan memberi respons terhadap pertanyaan daripada ATC Malaysia, TUDM telah mengarahkan pesawat pejuangnya untuk memintas/visual identification pesawat-pesawat tentera China itu.
Comments are closed.