Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Spekulasi Bertiup Kencang Turkiye Bakal Dibenar Semula Beli 100 Buah F-35 Dari Amerika

Spekulasi yang sedang bertiup kencang di Turkiye hasil kenyataan Timbalan Setausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland Januari lalu menyatakan bahawa sekatan CAATSA yang dikenakan oleh Washington terhadap Turkiye itu berkemungkinan akan ditarik balik dan Ankara bakal dibenar meneruskan kembali pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 itu.

6,028

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Banyak spekulasi berkenaan penyertaan Turkiye dalam program pesawat pejuang F-35 sejak timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland pada akhir Januari lepas menyatakan bahawa Washington bersedia “menerima kembali” negara Mediterranean itu ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima itu.

“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.

Kenyataan yang dibuat oleh Nuland itu telah menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan di Turkiye.

Duta Amerika Syarikat ke Turkiye Jeff Flake baru-baru ini menyatakan bahawa Nuland ketika melawat Turkiye Januari lalu telah “mencadangkan jalan penyelesaian” terhadap isu perolehan F-35 oleh negara Mediterranean itu.

F-35 Turkiye
F-35 Turkiye

 

Spekulasi yang sedang bertiup kencang di Turkiye hasil kenyataan Nuland itu menyatakan bahawa sekatan CAATSA yang dikenakan oleh Washington terhadap Turkiye itu berkemungkinan akan ditarik balik dan Ankara bakal dibenar meneruskan kembali pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 itu.

Malah enam daripada 100 buah pesawat F-35 milik Turkiye itu telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi disebabkan sekatan CAATSA oleh Washington itu, maka keenam-enam pesawat itu kini “tersadai” dalam hangar di negara Uncle Sam itu.

Bayaran pendahuluan sebanyak US$1.4 billion (RM5.4 billion) yang Turkiye telah bayar kepada Amerika Syarikat bagi penyertaannya dalam program pembangunan F-35 juga sehingga kini masih berada di dalam pegangan Washington, yang enggan memulangkannya balik.

Malah bukan sahaja Washington enggan memulangkan balik US$1.4 billion wang pendahuluan dibuat oleh Turkiye itu, tetapi Washington juga meminta Ankara membayar US$30 juta kerana mereka terpaksa menyelenggara keenam-enam pesawat F-35 milik negara Mediterranean itu yang kini “tersadai” di Amerika Syarikat itu.

Banyak ketidakadilan dilakukan terhadap Turkiye yang merupakan anggota NATO oleh sebuah lagi negara NATO di dalam isu F-35 itu.

Ini kerana bukan hanya Turkiye yang menggunakan sistem pertahanan udara buatan Russia, kerana “musuh tradisi” Ankara iaitu Greek turut membeli dan mengoperasikan sistem pertahanan udara S-300 tetapi terlepas daripada dikenakan sekatan dibawah CAATSA.

Turkiye
Pesawat F-35 Turkiye masih berada di Amerika Syarikat.

 

Perkara yang sama juga berlaku pada India yang memperolehi sistem pertahanan udara S-400.

Bukan sahaja kedua-dua negara itu, Greek dan India tidak dikenakan sekatan CAATSA oleh Amerika Syarikat kerana  membeli sistem pertahanan udara buatan Russia, tetapi Washington menawarkan penjualan pesawat pejuang kelima F-35 kepada mereka.

Di dalam kes Turkiye, penjualan F-35 kepada negara Mediterranean itu telah ditarik balik selepas sekatan CAATSA dikenakan terhadapnya.

Jika spekulasi yang menyatakan bahawa sekataan CAATSA yang dikenakan oleh Turkiye itu ditarikbalik bagi membolehkan negara Mediterranean itu menyambung kembali pembelian 100 buah pesawat F-35, salah satu persoalan utama dikalangan pemerhati di negara itu adalah – “Apa akan jadi dengan program pembangunan pesawat pejuang ‘KAAN’ Turkiye?

Pesawat pejuang “KAAN” itu baru sahaja melakukan penerbangan sulungnya baru-baru ini dan dijangkakan pada 2028 Tentera Udara Turkiye akan memperolehi 20 buah pesawat generasi kelima itu.

Apa akan jadi kepada “KAAN” sekiranya sekatan CAATSA terhadap Turkiye ditarik balik dan negara Mediterranean itu menyambung kembali perolehan 100 buah F-35 buatan syarikat Lockheed Martin.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400 “Triumf”

 

Beberapa hari lalu, penasihat perhubungan awam Kementerian Pertahanan Turkiye Laksamana Zeki Akturk dipetik oleh media tempatan negara itu sebagai berkata, pada ketika ini tiada perubahan dalam dasar Turkiye mahupun Amerika Syarikat.

Kerajaan Turkiye menurutnya akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat dan mahukan Washington memulangkan kembali wang pendahuluan US$1.4 billion yang telah dibayarnya bagi program pesawat pejuang F-35 itu.

Dalam masa yang sama juga,  Ankara akan meneruskan usaha untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon daripada konsortium negara-negara Eropah.

Apa yang pasti daripada kenyataan pegawai kanan Kementerian Pertahanan Turkiye itu, tidak ada petunjuk bahawa ia berhasrat menyambung kembali pembelian pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat.

Menurut Akturk, fokus Turkiye pada ketika ini adalah untuk meneruskan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima buatan tempatan, “KAAN.” — DSA

Comments are closed.