Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Sistem Pertahanan Udara Pantsir-S1 Milik Russia Dikesan di Pangkalan Tentera Amerika di California

(VIDEO) Tujuan sistem pertahanan udara Russia Pantsir-S1E itu berada di sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat adalah berkemungkinan besar untuk terus menjalani “bahan kajian” oleh pihak tentera negara itu.

0 2,773
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sistem pertahanan udara yang menggabungkan peluru berpandu dan meriam anti-pesawat Russia, Pantsir-S1E, telah dikesan di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di California.
Gambar-gambar dan video ketika sistem pertahanan udara Russia itu diangkut ke pangkalan tentera udara Amerika Syarikat di California itu telah tersebar di media-media sosial.
Tujuan sistem pertahanan udara Russia Pantsir-S1E itu berada di sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat adalah berkemungkinan besar untuk terus menjalani “bahan kajian” oleh pihak tentera negara itu.
Sistem pertahanan udara Russia itu  dilaporkan telah dirampas di Libya pada Jun 2020, sebelum dibawa ke pangkalan tentera Amerika di Ramstein, Jerman, menggunakan pesawat pengangkut tentera C-17 milik Tentera Udara Amerika Syarikat.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, salam satu misi khas sekitar pertengahan tahun 2020, anggota komando Amerika Syarikat telah bertindak “menyeludup keluar” sistem pertahanan udara Pantsir-S1 buatan Russia itu daripada Libya dalam usaha mereka untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sistem pertahanan udara berprofil tinggi kebanggaan Moscow itu.
Pada ketika itu, sistem pertahanan udara terbabit sedang berada dibawah kawalan panglima tentera tempatan atau Libyan National Army (LNA) dikenali dengan nama Jeneral Khalifah Haftar yang “membelinya” daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selain dapat memberikan Amerika Syarikat maklumat-maklumat teknikal yang penting berkenaan sistem pertahanan udara buatan Russia itu, “rampasan” oleh anggota komando Amerika itu juga dapat memastikan sistem itu tidak jatuh ke tangan kumpulan militan dan ekstremis Islam.
Menurut akhbar Britain “The Times”, misi khas itu yang dilaksanakan pada Jun 2020 itu terpaksa menggunakan pesawat pengangkut strategik C-17A Globemaster Amerika Syarikat berikutan saiz “barangan seludup” yang terlalu besar.
Pesawat pengangkut Tentera Udara Amerika Syarikat itu terpaksa melakukan penerbangan ke Lapangan Terbang Zuwarah yang terletak di barat Tripoli bagi membolehkan mereka mengangkut sistem peluru berpandu Pantsir S-1 dan terbang semula ke pengkalan udara tentera Amerika Syarikat di Ramstein, Jerman.
Di Pangkalan Tentera Ramstein, Jerman yang merupakan pangkalan tentera utama Amerika di Eropah itulah pakar-pakar teknikal tentera negara itu telah “membogelkan” sistem pertahanan udara buatan Russia itu bagi membolehkan mereka mempelajari sistem berkenaan.
Sistem Pantsir-S1 yang menjadi perhatian Amerika Syarikat itu terdiri daripada enam peluru berpandu dan dua meriam 30mm, selain sistem radar dan sistem elektronik serta penderianya yang lain.
Sistem itu dibangunkan untuk menggantikan sistem pertahanan udara “Tunguska”.

Pantsir

Pantsir
Anggota kumpulan bersenjata Libya bersama-sama sistem pertahanan udara Pantsir S-1 yang berjaya dirampas.
Peluru berpandu terbabit boleh menembak sasaran sehingga jarak 20km dan di ketinggian 50,000 kaki.
Sistem pertahanan udara “Pantsir” bukan sahaja digunakan oleh Russia di Libya, tetapi juga di Syria dan kini di Ukraine.
Apa sahaja yang dipelajari oleh Amerika Syarikat hasil rampasannya sistem pertahanan udara Pantsir di Libya sudah pasti sudah digunakan oleh negara itu dan tentera Ukraine ketika menentang Russia pada konflik negara Eropah Timur itu pada ketika ini.
Apa yang dapat dipelajari oleh pihak Amerika Syarikat selepas mereka memperolehi sistem Pantsir S-1 ini?
Antaranya, mereka dapat tahu material yang digunakan membina sesetengah komponen seterusnya dapat memberitahu tentang kemampuan industri pertahanan Russia itu sendiri.
Selain itu, Amerika Syarikat juga dapat membangunkan sistem counter-measures untuk menangani ancaman, taktik, teknik serta SOP daripada pengetahuan yang dipelajari daripada sistem Pantsir S-1 ini .
—  DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.