Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Mula Bina 6 Buah Multi Role Combat Vessels (MRCV), 8,000 Tan Setiap Sebuah

Menurut Tentera Laut Singapura, kapal Multi Role Combat Vessel (MRCV) yang pertama daripaada enam buah dibina akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut republik itu pada 2028 bagi menggantikan kapal-kapal korvet peluru berpandu kelas-Victory

0 3,986

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Tentera Laut Singapura telah memulakan langkah pertama pembinaan kapal perang Multi Role Combat Vessels (MRCV) yang dikatakan bakal menjadi kapal perang terbesar dan terberat pernah dimiliki oleh tentera laut republik itu.

Kapal-kapal MRCV Tentera Laut Singapura itu dilaporkan mempunyai berat di antara 8,000 tan hingga 10,000 tan.

Majlis pemotongan besi (steel cutting ceremony) bagi kapal itu telah diadakan pada 8 Mac lalu sambil disaksikan oleh Panglima Tentera Laut Singapura Laksamana Sean Wat dan juga wakil daripada Defence Science and Technology Agency (DSTA).

DSTA merupakan agensi Kementerian Pertahanan Singapura yang bertanggungjawab terhadap pembinaan kapal-kapal perang Singapura.

Untuk membina enam buah kapal MRCV itu, DSTA bekerjasama dengan syarikat Saab daripada Sweden dan Odense Maritime Technology (OMT) daripada Denmark untuk bersama-sama membangunkan rekabentuk kapal perang MRCV itu.

MRCV

Menurut Tentera Laut Singapura, kapal MRCV yang pertama daripaada enam buah yang dibina akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut republik itu pada 2028.

Kapal-kapal MRCV itu akan menggantikan kapal-kapal korvet peluru berpandu kelas-Victory republik itu yang telah berkhidmat sejak tahun 1989.

“Kapal baru MRCV itu akan berfungsi sebagai ‘mothership’ (kapal induk), berkemampuan mengawal aset-aset tidak berpemandu di udara, permukaan dan bawah permukaan perairan,” menurut Tentera Laut Singapura.

Pada Jun tahun lepas, Kementerian Pertahanan Singapura telah menganugerahkan kontrak rekabentuk dan pembinaan enam buah kapal MRCV untuk Tentera Laut Singapura.

Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat ST Engineering Marine Ltd, yang merupakan anak syarikat kepada Singapore Technologies Engineering Ltd (ST Engineering).

Keenam-enam buah kapal MRCV itu akan dibina di kemudahan ST Engineering Marine di Singapura, dengan kapal-kapal perang itu mula diserahkan kepada Tentera Laut Singapura secara berperingkat bermula pada tahun 2028.

MRCV

Kapal-kapal MRCV itu direkabentuk untuk berfungsi sebagai kapal induk (mothership) dan boleh mengoperasikan sistem dengan pemandu (manned) dan tanpa pemandu (unmanned) dalam keadaan yang fleksibel dan bersepadu.

Ia berkemampuan untuk menyokong pelbagai misi dan keberkesanan kombat yang maksimum.

Bagi sistem persenjataannya, kapal-kapal MRCV yang bakal dibina oleh Singapura itu akan dilengkapi dengan meriam 76mm, sistem pertahanan udara VL MICA dan ASTER serta peluru berpandu anti-kapal “Blue Spear” yang dibangunkan oleh Singapura dan Israel. — DSA

Comments
Loading...