S’pura Bina 6 “Multi Role Combat Vessels”. Berat 10,000 Tan Setiap Sebuah?
Kapal-kapal Multi Role Combat Vessels (MRCV) Tentera Laut Republik Singapura (RSN) itu direkabentuk untuk berfungsi sebagai kapal induk (mothership) dan boleh mengoperasikan sistem dengan pemandu (manned) dan tanpa pemandu (unmanned) dalam keadaan yang fleksibel dan bersepadu, selain berkemampuan untuk menyokong pelbagai misi dan keberkesanan kombat yang maksimum.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Singapura telah menganugerahkan kontrak rekabentuk dan pembinaan enam buah kapal perang dipanggil “Multi Role Combat Vessels” (MRCV) untuk Tentera Laut Republik Singapura (RSN).
Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat ST Engineering Marine Ltd, yang merupakan anak syarikat kepada Singapore Technologies Engineering Ltd (ST Engineering).
Keenam-enam buah kapal MRCV itu akan dibina di kemudahan ST Engineering Marine di Singapura, dengan kapal-kapal perang itu mula diserahkan kepada Tentera Laut Singapura bermula pada tahun 2028.

Kapal-kapal MRCV itu direkabentuk untuk berfungsi sebagai kapal induk (mothership) dan boleh mengoperasikan sistem dengan pemandu (manned) dan tanpa pemandu (unmanned) dalam keadaan yang fleksibel dan bersepadu.
Ia berkemampuan untuk menyokong pelbagai misi dan keberkesanan kombat yang maksimum.
“Kontrak ini mengesahkan kemampuan kami dalam merekabentuk dan membina kapal-kapal tentera laut yang besar dan kompleks,” kata Presiden Perniagaan Marin di ST Engineering Ng Sing Chan dalam satu kenyataan.
Kapal-kapal MRCV yang baru itu akan menggembleng segala kesan berangkai teknologi digital, untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Singapura bagi operasi yang lebih pantas dan lebih berkesan, kata beliau.
Ia juga menunjukkan kemampuan dan komitmen syarikat dalam menyokong Kementerian Pertahanan Singapura di dalam bidang rekabentuk, pembinaan, operasi dan sokongan, menurut Sing Chan lagi.
Sementara itu, portal pertahanan antarabangsa Naval News melaporkan bahawa agensi Kementerian Pertahanan Singapura, Defence Science and Technology Agency (DSTA) telah menandatangai Memorandum Persefahaman dengan syarikat Saab untuk bekerjasama dalam merekabentuk kapal-kapal MRCV itu.

Kapal-kapal itu akan menggunakan teknologi Artificial Technology (AI) dan Data Analytics untuk merealisasikan hasrat untuk melihat MRCV itu untuk menjadi kapal dengan tahap teknologi digital yang tinggi.
Comments are closed.