Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Buat Perairan Di Pasifik, Laut China Selatan Sibuk Dan “Semakin Berbahaya”

Kita menjangkakan perairan di Indo-Pasifik termasuk di Laut China Selatan yang bersempadan dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia - bakal menjadi lebih sibuk dan sudah semestinya “lebih berbahaya” di dalam tahun-tahun yang akan mendatang, dengan kehadiran lebih banyak kapal selam termasuk kapal-kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia dan SSN-AUKUS milik Australia itu.

0 1,457

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula dari tahun 2030-an, perairan di Laut China Selatan dan Indo-Pasifik akan menjadi lebih sibuk dan sudah semestinya “lebih berbahaya” dengan lebih banyak negara serantau mengoperasikan kapal selam termasuk lima buah kapal selam terpakai berkuasa nuklear kelas-Virginia yang bakal dimiliki oleh Australia.

Dikenali sebagai kelas SSN-774, kapal selam kelas-Virginia itu direkabentuk oleh syarikat General Dynamics Electric Boat dan dibina oleh Huntington Ingalls Industries dan dikategorikan sebagai fast attack submarines yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu kruis serta torpedo.

Ia merupakan kapal selam terkini Amerika Syarikat, yang direkabentuk untuk melaksanakan pelbagai spektrum misi di laut lepas dan misi-misi littoral termasuk peperangan anti-kapal selam serta pengumpulan maklumat perisikan. 

Kapal Selam

Dianggar bermilai di antara US$2.8 bilion (RM11.2 bilion) hingga US$3.4 bilion (RM13.6 bilion) setiap sebuah, Tentera Laut Amerika Syarikat memiliki 21 buah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia dalam armadanya.

Bermula dengan kapal selam terpakai kelas-Virginia yang dimiliki daripada Amerika Syarikat, Australia seterusnya akan membina kapal-kapal selam berkuasa nuklear yang baru berdasarkan kepada rekabentuk kapal selam kelas-Astute United Kingdom dan teknologi propulsion dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Dinamakan SSN-AUKUS, kapal selam berkuasa nuklear baru Australia itu dijangka akan mula beroperasi pada 2040-an.

Bersama-sama dengan kapal selam berkuasa nuklear pelbagai kelas Amerika Syarikat, kapal -kapal selam terpakai kelas-Virginia dan SSN-AUKUS milik Australia itu akan menangani sikap agresif tentera China serta sekutu utamanya, Russia di Laut China Selatan dan perairan di Indo-Pasifik.

China yang juga sedang meningkatkan bilangan kapal-kapal selam nuklearnya, akan berhadapan dengan saingan baru di Indo-Pasifik selain Amerika Syarikat iaitu Australia.

Kita menjangkakan perairan di Indo-Pasifik termasuk di Laut China Selatan yang bersempadan dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia – bakal menjadi lebih sibuk dan sudah semestinya “lebih berbahaya” di dalam tahun-tahun yang akan mendatang, dengan kehadiran lebih banyak kapal selam termasuk kapal-kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia dan SSN-AUKUS milik Australia itu.

Kapal Selam

Selari dengan peningkatan bilangan kapal selam sama ada konvensional mahupun berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan serantau, maka risiko berlakunya insiden-insiden tidak diingini di rantau kita juga akan mengalami peningkatan mendadak.

Bagi Malaysia, negara telah pun mengeluarkan amaran seawal tahun 2021 tentang penggunaan perairan negara oleh kapal-kapal selam berkuasa nuklear milik asing, berkemungkinan kerana kita telah pun menjangkakan wujudnya kerjasama ketenteraan AUKUS di antara Australia, United Kingdom dan Australia terutamanya berkenaan penggunaan kapal selam nuklear oleh sebuah negara jiran.

Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana kapal perang dan kapal selam berkuasa nuklear perlu mendapatkan “kebenaran khas” daripada Menteri Pertahanan sebelum dibenarkan memasuki perairan negara ini.

Menteri Pertahanan pada ketika itu, Hishammuddin Hussein berkata bahawa persetujuan daripada Menteri Pertahanan perlu diperolehi oleh kapal-kapal selam dan kapal perang berkuasa nuklear sebelum mereka dibenarkan memasuki perairan Malaysia.

“Saya akan mempertimbangkannya (permohonan) secara ‘case by case’ basis,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen pada 2021 itu.

Persetujuan khas Menteri Pertahanan Malaysia untuk memasuki perairan negara ini katanya, juga meliputi mana-mana kapal selam atau kapal perang nuklear yang berhasrat memasuki pelabuhan negara ini.

Nuklear
Kapal selam nuklear Amerika,USS West Virginia timbul di Laut Arab (Central Command)

 

Syarat itu turut meliputi mana-mana kapal-kapal selam dan kapal perang nuklear yang mahu mengadakan latihan ketenteraan dengan mana-mana aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menurut Hishammuddin.

“Sekiranya kapal selam atau kapal perang berkuasa nuklear mahu memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat memasuki pelabuhan Malaysia atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama dengan Malaysia…”

“… maka persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mestilah diperolehi dimana saya akan menimbangkannya secara case by case basis.”

Beliau berkata, Australia harus menghormati prinsip ini dan menghormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia, termasuk di bawah ‘United Nations Convention on the Law of the Sea’ (UNCLOS) dan ‘Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty’ (SEANWFZ). — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...