Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Tambah Lagi Kapal Selam Type 218SG Buatan Jerman

Perolehan terbaru itu membawa kepada jumlah keseluruhan kapal selam Type 218SG dimiliki oleh Tentera Laut Singapura kepada lima buah. (tidak termasuk kapal-kapal selam terpakai daripada kelas-Challenger dan kelas-Archer)

0 7,680

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala Malaysia masih lagi “tersekat” di angka dua, Singapura dilaporkan terus menambah perolehan sebuah lagi kapal selam, Type 218SG yang dibangunkan oleh syarikat Jerman,  Thyssenkrupp Marine Systems (TMS) untuk tentera lautnya.

Perolehan terbaru itu membawa kepada jumlah keseluruhan kapal selam Type 218SG dimiliki oleh Tentera Laut Singapura kepada lima buah. (tidak termasuk kapal-kapal selam terpakai daripada kelas-Challenger dan kelas-Archer)

Kapal selam Type 218SG adalah kapal selam yang di-custom built untuk keperluan Tentera Laut Singapura sahaja dan menurut para penganalisis pertahanan ia merupakan kapal selam paling moden serta berkeupayaan di rantau Asia Tenggara.

Laporan mengenai perolehan terbaru kapal selam oleh negara jiran selatan kita itu telah didedahkan oleh portal berita Jerman, DW.com yang mengatakan ia adalah sebahagian daripada eksport sistem pertahanan Jerman bernilai Euro 5 bilion sebelum Angela Merkel menamatkan perkhidmatannya sebagai Canselor Jerman.

Selain meluluskan penjualan sebuah kapal selam Type 218SG kepada Singapura, Merkel turut memberi lampu hijau kepada penjualan tiga buah kapal perang serta 16 buah sistem pertahanan  udara kepada Mesir.

Type 218SG

Keseluruhan penjualan yang diluluskan oleh Canselor Jerman itu membawa jumlah keseluruhan penjualan sistem pertahanan oleh Jerman bagi tahun 2021 kepada Euro 9.04 bilion, berbanding jumlah tertinggi yang pernah dicatat sebelum ini iaitu Euro 8 bilion pada 2019.

Merkel kini telah diganti oleh Olaf Scholz.

Kapal selam pertama Singapura daripada jenis Type 218SG “RSS Invincible” yang dilancarkan pada 2019 sedang menjalani ujian di Kiel, Jerman dan dijangka diserahkan kepada republic itu pada tahun depan selepas tertangguh akibat COVID-19.

Tiga lagi kapal selam terbaru Singapura daripada jenis Type 218SG iaitu Impeccable, Illustrious dan Inimitable iaitu “adik-adik” kepada RSS Invincible juga sedang dibina di Limbungan Kapal TMS di Kiel, Jerman pada ketika ini.

Ketiga-tiga kapal selam Singapura itu dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Singapura bermula pada tahun 2024-2025 dan seterusnya,.

Kemasukan RSS Invincible dan “tiga beradiknya yang lain” bakal melonjakkan kemampuan bawah permukaan Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Type 218SG

Menteri Pertahanannya Dr Ng Eng Hen dilaporkan berkata sebelum ini bahawa memandangkan tentera-tentera laut India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia sedang berusaha untuk membesarkan lagi angkatan kapal selamnya, maka, tindakan Singapura memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG daripada Jerman adalah “langkah yang tepat.”

Katanya, memandangkan Singapura terletak di dua laluan perdagangan terpenting dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, maka kapal-kapal selam miliknya itu akan memastikan laluan perdagangan dunia itu terus boleh digunakan bukan sahaja untuk republik itu tetapi juga seluruh dunia.

Daripada kenyataan Menteri Pertahanan Singapura itu, kita dapat meneka bahawa kapal-kapal selam terbaru Singapura itu akan menjadikan Laut China Selatan dan Selat Melaka sebagai “their playground” di mana mereka akan beroperasi untuk memastikan Sea Line of Communication (SLOC) itu sentiasa “open for business.”

Kapal-kapal selam Type 218SG diesel-elektrik (SSK) milik Singapura itu dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP).

Singapura menandatangani kontrak untuk membeli empat buah kapal selam dengan syarikat Jerman itu pada 2013 dan 2017.

Type 218SG
Kapal selam Type 218SG Singapura yang pertama, “RSS Invincible” sedang menjalani ujian di laut di Kiel, Jerman.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...