Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Type 218SG Singapura, Paling Moden dan Berkeupayaan Di Rantau?

Antara ciri-ciri utama rekabentuk kapal selam terbaru Singapura jenis Type 218SG itu adalah kemampuannya untuk melaksanakan misi-misi oleh pasukan khas menerusi kelengkapan "Horizontal Multi Purpose Airlock."

0 8,774

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun depan, Tentera Laut Singapura dijangka menerima kapal selam Type 218SG miliknya yang pertama daripada empat yang dipesan daripada syarikat Jerman, Thyssenkrupp Marine Systems Shipyard (TKMS) .

Kapal selam Type 218SG tentera laut republik itu yang pertama itu telah pun dinamakan “RSS Invincible”,   dan bagi penganalisis kapal selam serantau, kapal selam terbaru milik Singapura itu  merupakan aset bawah permukaan air yang  paling moden, paling besar daripada segi saiznya dan berkeupayaan di Asia Tenggara.

Rekabentuk kapal selam terbaru Singapura  yang direkabentuk khusus untuk republik  itu dikatakan hampir sama dengan kapal selam Dolphin-2 Tentera Laut Israel (berkemungkinan sistem sensor dan lain juga adalah sama).

Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam terbaru Singapura itu, “RSS Invincible” boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang kini dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.

Pada ketika ini, kapal selam RSS Invincible yang telah pun dilancarkan pada 2019, kini sedang menjalani ujiannya di laut.

Type 218SG
Kapal selam terbaru Singapura,”RSS Invincible” di Limbungan kapal di Kiel, Jerman.

 

Tiga lagi kapal selam terbaru Singapura daripada jenis Type 218SG iaitu Impeccable, Illustrious dan Inimitable iaitu “adik-adik” kepada RSS Invincible juga sedang dibina di Limbungan Kapal TKMS di Kiel, Jerman pada ketika ini.

Ketiga-tiga kapal selam Singapura itu dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Singapura bermula pada tahun 2024-2025 dan seterusnya,.

Kemasukan RSS Invincible dan “tiga beradiknya yang lain” bakal melonjakkan kemampuan bawah permukaan Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Type 218SG

Menurut Menteri Pertahanannya Dr Ng Eng Hen dilaporkan berkata bahawa memandangkan tentera-tentera laut India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia sedang berusaha untuk membesarkan lagi angkatan kapal selamnya, maka, tindakan Singapura memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG daripada Jerman adalah “langkah yang tepat.”

Katanya, memandangkan Singapura terletak di dua laluan perdagangan terpenting dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, maka kapal-kapal selam miliknya itu akan memastikan laluan perdagangan dunia itu terus boleh digunakan bukan sahaja untuk republik itu tetapi juga seluruh dunia.

Daripada kenyataan Menteri Pertahanan Singapura itu, kita dapat meneka bahawa kapal-kapal selam terbaru Singapura itu akan menjadikan Laut China Selatan dan Selat Melaka sebagai “their playground” di mana mereka akan beroperasi untuk memastikan Sea Line of Communication (SLOC) itu sentiasa “open for business.”

Satu lagi yang menarik tentang kapal selam terbaru Tentera Laut Singapura ini adalah ia direkabentuk khas untuk membolehkan ia beroperasi dengan penuh berkesan di laut-laut yang cetek dan sibuk dengan kapal-kapal komersial, sebagaimana yang terdapat di perairan di sekitar rantau Asia Tenggara yang sememangnya sibuk dengan laluan maritim perdagangan.

“Antara ciri-ciri utama rekabentuk kapal selam terbaru Singapura ini adalah kemampuannya untuk melaksanakan misi pasukan khas,” menurut pakar kapal selam, H I Sutton di dalam portal berita pertahanan, Navalnews.com

Beliau merujuk kepada sistem Horizontal Multi Purpose Airlock yang boleh melancarkan torpedo, penyelam dan pasukan-pasukan khusus (komando) kerana antara tugasnya utama yang digariskannya bakal dilaksanakan oleh kapal selam itu adalah menangani ancaman kumpulan-kumpulan pengganas.

Kapal selam Singapura itu juga dikatanya mempunyai opsyen untuk dilengkapkan dengan Vertical  Multi Purpose Airlock bagi melancarkan peluru berpandu secara menegak, dengan ada penganalisis mengatakan Singapura sedang mempersiapkan tentera lautnya untuk mengoperasikan peluru berpandu kruis “Tomahawk” sekiranya diperlukan.

Walaupun begitu, buat masa ini kapal-kapal selam terbaru Singapura itu berkemungkinan besar akan dilengkapkan dengan peluru berpandu “Harpoon.”

Kesemua kapal selam terbaru Singapura itu mempunyai berat 2,000-2,200 tan (apabila di bawah permukaan) dan kelajuan 15 knot.

Ia memiliki panjang 70 meter dan lebar lebih 6 meter.

Type 218SG

Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.

Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.

Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...