Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perlukah Kita Pertimbang Pesawat FLIT/LCA China Selepas “Pencerobohan” 31 Mei lepas?

Pemerhati pertahanan mempersoalkan adakah wajar Malaysia menerima tawaran China untuk menjual pesawat-pesawat kombat mereka terutamanya selepas apa yang berlaku pada 31 Mei lepas, dalam apa yang disifatkan ramai sebagai antara insiden ancaman keselamatan paling serius pernah dihadapi negara.

0 2,176

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam persaingan tender Kementerian Pertahanan yang dianggarkan bernilai RM4 bilion bagi 18 buah pesawat Forward Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) , terdapat dua “wakil” China iaitu pesawat JF-17 “Thunder” dan Hongdu L-15B.

Pesawat JF-17 “Thunder” atau FC-1 “Fierce Dragon” itu dibangunkan secara bersama oleh syarikat Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada China dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC) daripada negara Asia Selatan itu.

Manakala bagi pesawat, L-15B pula, ia telah dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Hongdu Aviation Industry Group Ltd (HAIG) dan dipasarkan oleh syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC).

Kedua-dua pesawat itu dibangunkan oleh China, walaupun satu daripadanya ada penglibatan minimal oleh Pakistan.

Penyertaan pesawat-pesawat buatan China di dalam persaingan untuk membekalkan pesawat-pesawat FLIT/LCA kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebenarnya dipersoalkan oleh pemerhati-pemerhati pertahanan antarabangsa.

FLIT/LCA
Pesawat JF-17 “Thunder”

 

Mereka mempersoalkan adakah wajar Malaysia menerima tawaran China untuk menjual pesawat-pesawat kombat mereka terutamanya selepas apa yang telah berlaku pada 31 Mei lepas, dalam apa yang disifatkan ramai sebagai antara insiden ancaman keselamatan paling serius pernah dihadapi negara.

Sejurus daripada insiden pencerobohan pesawat-pesawat China itu, Kementerian Luar telah memanggil duta besar negara itu ke Malaysia dan menyampaikan surat bantahan diplomatik terhadap insiden itu.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China pada ketika itu agak tegang.

FLIT/LCA
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Dalam kejadian pada 31 Mei itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Ia seterusnya terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan berada hanya kira-kira 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak, sekaligus berpotensi mengancam kedaulatan negara.

Seorang lagi penganalisis pertahanan asing berkata, nampaknya cabaran konvensional terbesar yang dihadapi oleh pihak tentera Malaysia pada ketika ini adalah peningkatan “kehadiran” China di Laut China Selatan.

“Nampaknya cabaran konvensional paling besar yang dihadapi oleh tentera Malaysia adalah peningkatan kehadiran China di dalam bentuk kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantainya serta ‘pulau-pulau’ buatan manusia China di Laut China Selatan,” felo kanan di Institut Kajian Polisi Lautan di Tokyo  Fabrizio Bozzato.

Media Amerika Syarikat, “Voice of America” pula memetik kenyataan penganalisis yang berkata bahawa insiden penerbangan 16 pesawat pengangkut tentera China berhampiran ruang udara negara tempoh hari telah mengingatkan Malaysia tentang keperluan mendesak untuknya memiliki pesawat-pesawat kombat yang lebih moden dan lebih banyak.

“Saya merasakan bahawa secara amnya kelengkapan yang dimiliki oleh tentera udara kita (Malaysia) adalah ketinggalan,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun sebagaimana dipetik oleh media terbabit.

FLIT/LCA
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Selain “pencerobohan” yang berlaku di ruang udara, pencerobohan juga berlaku di kawasan perairan negara terutamanya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali dan James Shoal yang kaya dengan sumber asli.

China mendakwa kira-kira 90 peratus daripada Laut China Selatan seluas 3.5 juta kilometer persegi adalah miliknya berdasarkan kepada faktor sejarah.

Dengan pencabulan secara terang-terangan oleh China terhadap kedaulatan Malaysia sama ada di udara dan laut sebagaimana yang berlaku pada 31 Mei lepas, adakah wajar kita mempertimbangkan untuk membeli sistem-sistem persenjataan yang ditawarkan oleh China seperti pesawat-pesawat FLIT/LCA?

Adakah kita mahu “menghadiahkan” China atas pencabulan dan sikap agresif mereka di Laut China Selatan itu?

Tepuk Dada Tanya Selera.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...