F-35B VSTOL Beri Tentera Udara S’pura Kemampuan Beroperasi Dari “Mana-Mana Ceruk”
Penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar pada 2030, meninggalkan Singapura dengan hanya tiga pangkalan udara iaitu Tengah, Sembawang dan Changi – tetapi hanya dua yang boleh menempat dan mengoperasikan pesawat kombat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menjelang tahun 2030 iaitu kira-kira tujuh tahun daripada sekarang, Tentera Udara Singapura akan kehilangan salah satu pangkalan udara terpentingnya iaitu Pangkalan Udara Paya Lebar.
Pada ketika ini, Pangkalan Udara Paya Lebar menempatkan beberapa skuadron pesawat milik Tentera Udara Singapura seperti C-130 Hercules dan F-15SG “Strike Eagles”.
Penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar pada 2030, meninggalkan Singapura dengan hanya tiga pangkalan udara iaitu Tengah, Sembawang dan Changi – tetapi hanya dua yang boleh menempat dan mengoperasikan pesawat kombat.

Sementara itu,Pangkalan Udara Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk menjadi sebuah penempatan baru dengan 150,000 penduduk.
Bagi sebuah negara yang kecil dengan keluasan tanah yang terhad, ia sememangnya adalah tugas yang sukar untuk mengasingkan sebuah kawasan yang luas untuk aktiviti ketenteraan termasuk pangkalan udara bagi operasi pesawat kombat.
Sebab itulah pada tahun 2019 Singapura memilih untuk memperolehi empat buah varian pesawat F-35B dan beberapa bulan lepas menambah lapan buah lagi F-35B (Vertical Short Take-Off and Landing – VSTOL), varian pesawat F-35 yang boleh berlepas daripada landasan yang amat pendek dan mendarat secara vertikal.
Varian pesawat pejuang F-35B VSTOL buatan syarikat Lockheed Martin yang lengkap dengan segala bom-bom,peluru berpandu dan minyak yang penuh hanya memerlukan landasan sepanjang 200 meter sahaja untuk berlepas, paling pendek bagi sebuah pesawat pejuang moden.
Varian pesawat F-35B VSTOL mula dibangunkan untuk memenuhi keperluan Kor Marin Amerika Syarikat bagi mengoperasi pesawat pejuang yang boleh berlepas dan mendarat daripada Amphibious Assault Ship, membolehkan ia beroperasi di serata pelusuk dunia.

Kemampuan varian pesawat pejuang F-35B VSTOL yang bakal dimiliki oleh republik itu bermula pada tahun 2026 sudah semestinya akan mentransformasi Tentera Udara Singapura, di mana akan mengurangkan kebergantungannya kepada landasan-landasan kapalterbang konvensional yang panjang untuk meluncurkan pesawat-pesawat pejuangnya.
Pesawat-pesawat F-35B VSTOL yang diperolehi oleh Singapura itu bertujuan menggantikan F-16 miliknya yang pada ketika ini sedang dinaiktaraf dengan radar yang baru, datalink, mission computer dan persenjataan bagi membolehkan ia terus beroperasi sehingga pertengahan tahun 2030-an.
Comments are closed.