(DEFENCE SECURITY ASIA) — Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong meminta supaya kerajaan menyiasat “kehilangan” dana RM1 bilion yang sepatutnya digunakan bagui projek pembinaan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Liew yang juga ahli Dewan Negara berkata, dakwaan kehilangan dana daripada projek itu amat serius.
“Setelah pihak-pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan, kerajaan juga wajar mempertimbangkan suntikan dana demi memastikan projek ini boleh disiapkan bagi kegunaan tentera laut untuk terus memelihara kedaulatan perairan negara.

“Selagi mana tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal ini akan mengalami kelewatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
September lepas, Liew memberitahu Dewan Negara bahawa Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan mendapati RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang dibayar untuk pembinaan kapal LCS itu tidak dapat dikesan.
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz katanya, bersetuju supaya
audit forensik mengenai kehilangan dana itu dilakukan, mengembalikan dana tersebut, dan seterusnya mempertimbangkan suntikan dana untuk menyelamatkan projek terbabit.
“Selain pengiktirafan oleh timbalan menteri pertahanan berkenaan cadangan saya, kerajaan masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek ini.

“Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” katanya.
Pada Ogos lalu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian sedang mempertimbang tiga pilihan untuk menyelesaikan kelewatan penyerahan enam unit LCS, kerana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menyelesaikan sebarang tempahan.
Pilihan itu adalah melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 2 unit LCS, menyiapkan sekurang-kurangnya 2 unit oleh BNS dengan baki kontrak selebihnya, atau penamatan kontrak dengan BNS.
Comments are closed.