Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kilang” Dron Berani Mati Iran, “Shahed-131” Bakal Dibina Di Russia

“Ini merupakan kerjasama pertahanan (Russia dan Iran)  yang memudaratkan Ukraine dan kepada negara-negara jiran Iran serta komuniti antarabangsa. Kita akan terus menggunakan segala “peralatan” untuk mendedahkan dan menjejaskan aktiviti (kerjasama pertahanan Russia dan Iran) ini dengan berkongsinya dengan masyarakat dunia,” Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat.

0 3,500

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran bukan sahaja membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine dengan membekalkan dron-dron “berani mati” kepada Moscow, tetapi kini kerjasama itu bakal dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Kedua-dua negara dilaporkan sedang bekerjasama untuk membuka “kilang” pembuatan dron-dron berani mati Iran itu di Russia bagi memastikan bekalan berterusan dron berani mati itu untuk kegunaan jangka masa panjang tentera Russia, sama ada di Ukraine atau di lokasi konflik yang lain.

Usaha mendirikan kemudahan pembuatan dron-dron berani mati Iran di Russia itu dinyatakan oleh jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat Laksamana John Kirby,yang turut mengedarkan gambar-gambar satelit berkenaan lokasi pembuatan dron-dron berani mati Iran di Russia itu.

Shahed
Dron “Shahed-136” buatan Iran

 

Menurut beliau, Iran membantu Russia dengan menyalurkan peralatan dan komponen-komponen penting dalam pembuatan dron-dron berani mati Iran bagi membolehkan kilang pembuatan dron itu didirikan dengan segera di wilayah Yelabuga, Tatarstan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Russia telah menggunakan dron-dron berani mati Iran seperti Shahed-131, Shahed-136 dan Mohajer untuk menyerang pelbagai sasaran di Ukraine seperti bangunan,infrastruktur awam termasuk janakuasa elektrik, pusat simpanan minyak dan lain-lain lagi.

Pegawai Amerika Syarikat menyatakan bahawa kemampuan sistem dron Iran telah meningkat sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi yang disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco kepada serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi dan kini di medan peperangan di Ukraine.

Laporan juga menyatakan pada permulaan penggunaannya di Ukraine, dron-dron berani mati Iran itu telah dioperasikan oleh sekumpulan anggota tentera pengawal revolusi Iran yang diterbangkan khas daripada Iran untuk membantu kempen ketenteraan Russia itu.

Selain menggunakan penerbangan-penerbangan khas, Iran juga menggunakan kapal untuk memindahkan dron-dron berani mati itu serta komponennya menerusi Laut Caspia daripada Amirabad di Iran ke Makhachkala di Russia sebelum digunakan oleh tentera negara itu di Ukraine.

Dron
Dron-dron milik tentera Iran.

 

Walaupun dron-dron berani mati buatan Iran ini memiliki ketepatan yang rendah,tetapi berjaya “menakutkan” tentera dan orang awam Ukraine daripada segi psikologi.

Dron-dron berani keluaran Iran juga dikatakan berjaya menampung kekurangan senjata dialami oleh tentera Russia akibat konflik berintensiti tinggi yang berterusan untuk tempoh tempoh daripada setahun.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat itu lagi, “kilang” pembuatan dron berani mati Iran di Yelabuga,Tatarstan itu dijangka mula beroperasi pada tahun depan.

Yelabuga,Tatarstan itu terletak di timur Moscow.

Laporan tentang cadangan Russia dan Iran untuk mendirikan kemudahan pembuatan dron berani mati Iran di negara itu mula kedengaran pada Disember tahun lepas, tetapi kini kedua-dua negara telah meningkatkan kerjasama bagi merealisasikan rancangan membina kemudahan itu.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa pada Mei lepas, Iran telah menghantar komponen dan peralatan yang bakal digunakan untuk membina “kilang” pembuatan dron berani mati itu.

Shahed-136
Dron berani mati “Shahed-136” sebelum membedil sasaran di Kiev. (AFP)

 

“Ini merupakan kerjasama pertahanan (Russia dan Iran)  yang memudaratkan Ukraine dan kepada negara-negara jiran Iran serta komuniti antarabangsa. Kita akan terus menggunakan segala “peralatan” untuk mendedahkan dan menjejaskan aktiviti (kerjasama pertahanan Russia dan Iran) ini dengan berkongsinya dengan masyarakat dunia,” kata John Kirby itu.

Sejak beberapa bulan lepas,dunia dapat melihat bagaimana kerjasama ketenteraan di antara Russia dan Iran semakin rapat, selepas Teheran membantu Moscow dalam kempen ketenteraannya di Ukraine.

Iran akan menerima pesawat-pesawat pejuang Su-35 daripada Russia hasil kerjasama erat kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, dengan Iran muncul sebagai pembekal utama senjata kepada Russia dalam kempen ketenteraan di Ukraine. 

Negara Parsi itu akan menerima 24 buah pesawat pejuang Su-35, yang merupakan antara pesawat pejuang paling moden Russia pada bila-bila masa tahun ini, yang bakal meningkatkan lagi kemampuan  Tentera Udara Iran yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada pesawat pejuang usang Barat. 

Russia menawarkan kepada Iran kesemua pesawat pejuang itu selepas pembeli asalnya, Mesir berhadapan dengan ancaman sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat di bawah CAATSA jika ia meneruskan pembelian pesawat itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...