Selepas Iran Serang Israel, Russia Kerah Kapal Perang Dilengkapi “Kinzhal” Ke Laut Mediterranean
Kapal friget anti-kapal selam “Marshal Shaposhnikov” yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik "Kinzhal" itu memasuki Laut Mediterranean menggunakan Terusan Suez sebagai sebahagian daripada “latihan”, menurut Kementerian Pertahanan Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah mengerahkan sebuah kapal frigetnya yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” ke Laut Mediterranean, tidak lama selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati terhadap Israel yang meningkatkan lagi risiko merebaknya konflik di rantau itu.
Kapal friget anti-kapal selam “Marshal Shaposhnikov” yang dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik itu memasuki Laut Mediterranean menggunakan Terusan Suez sebagai sebahagian daripada “latihan”, menurut Kementerian Pertahanan Russia.
Ia tidak memberikan sebarang maklumat lanjut tentang pelayaran kapal perang itu, namun berkata bahawa kapal friget itu akan terus menjalankan tugasannya sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.
Laut Mediterranean itu terletak tidak jauh daripada kawasan konflik di Palestin, Syria dan Israel.
Kapal friget Tentera Laut Russia, “Marshal Shaposhnikov” telah ditauliahkan pada 1985 dan pada mulanya adalah kapal perang kelas-Udaloy sebelum ia diklasifikasikan sebagai sebuah kapal friget selepas melalui pelbagai naiktaraf dan usaha-usaha permodenan sistem kombatnya.
Kapal perang seberat di antara 6,200 tan (standard) hingga 7,900 tan (maksimum) itu berada di pelabuhan Safaga di Mesir dan Pelabuhan Massawa di Eritrea, Afrika baru-baru ini selepas menyertai pameran pertahanan DIMDEX 2024 di Doha baru-baru ini.
Awal Januari lepas, kapal friget Armada Pasifik Tentera Laut Russia itu juga terlibat dalam latihan anti-kapal selam di Laut China Selatan.
“Marshal Shaposhnikov” yang bernaung di bawah Armada Pasifik Tentera Laut Russia, itu memiliki panjang 163 meter dan memiliki empat enjin gas turbines bagi membolehkannya mencapai kelajuan 35 knot serta belayar sejauh 10,500 batu nautika (20,000km) membawa krew seramai 300 orang.
Selain peluru berpandu hypersonik “Kinzhal”, kapal friget Tentera Laut Russia itu turut dilengkapi dengan beberapa peluru berpandu lain termasuk peluru berpandu kruis “Kalibr”, “Oniks”, “Zircon” dan “Otvet” serta torpedo dan pelancar roket anti-kapal selam.
Peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” (NATO reporting name AS-24 Killjoy) berkemampuan meluncur selaju 10 Mach sebagaimana didakwa oleh tentera Russia yang menggunakan senjata itu pada konflik di Ukraine.
Dengan jarak operasi sejauh 2,000km, peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” itu berkemampunan dilengkapi dengan peledak konvensional dan nuklear.
Selain sistem persenjataan yang ampuh, kapal perang Russia itu turut dilengkapi dengan pelbagai radar, sistem penderia dan sistem peperangan elektronik.
Kapal perang Russia itu turut membawa dua buah helikopter Ka-27 “Helix” untuk operasi anti-kapal selam.
Pada pertengahan bulan lepas, kapal friget “Marshal Shaposhnikov” dan kapal friget “Varyag” Tentera Laut Russia bersama-sama kapal-kapal perang China dan Iran yang lain telah terlibat dalam satu “latihan keselamatan maritim” di Teluk Oman di Laut Arab.
Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan berkata, latihan maritime yang dinamakan “Security Bond 2024” itu mensasarkan untuk mengukuhkan lagi keselamatan dan kerjasama maritim serantau, pada ketika rantau itu sedang berhadapan dengan ketegangan yang amat meruncing.
Beijing menyatakan bahawa ia mengerahkan kapal destroyer miliknya “Urumqi”, friget “Linyi” dan kapal bekalan “Dongpinghu” untuk menyertai latihan itu.
Sementara itu agensi berita Iran menyatakan bahawa selain ketiga-tiga buah negara terbabit yang menghantar kapal-kapal perang mereka, latihan maritim terbabit juga disertai oleh wakil-wakil daripada Pakistan, Kazakhstan, Azerbaijan, Oman, India dan Afrika Selatan yang akan bertindak sebagai pemerhati.
Ia berkata matlamat utama latihan itu adalah untuk mengukuhkan asas keselamatan di rantau itu dan memperluaskan lagi kerjasama di antara negara-negara yang menyertai latihan maritim itu. — DSA
Comments are closed.