Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Saudara Menteri Pertahanan Indonesia Turut Terkorban Dalam Insiden KRI Nanggala

Perkara itu disahkan sendiri oleh Prabowo menerusi akaun Instagramnya malam tadi.

1,016

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah seorang krew kapal selam Indonesia, KRI Nanggala yang disahkan terkorban dalam insiden di perairan Laut Bali baru-baru ini adalah saudara kepada Menteri Pertahanan negara itu, Prabowo Subianto.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Prabowo menerusi akaun Instagramnya malam tadi.

Krew kapal selam KRI Nanggala yang merupakan saudara kepada Prabowo itu adalah  Letda Laut (T) Rhesa Tri Sigar yang merupakan anak kepada sepupu beliau, yang juga merupakan pegawai tentera negara itu, Letkol Godfried Sigar.

Sepupu beliau itu, Godfried Sigar merupakan  Kepala Seksi Operasi KOREM 164/Wira Dharma Dili, yang terbunuh di Timor Timur pada 4 Jun 1998.

Ini bermakna kedua anak-beranak sepupu kepada Menteri Pertahanan Indonesia itu adalah anggota tentera dan kedua-dua mereka telah meninggal dunia ketika terlibat dalam operasi ketenteraan.

Prabowo
Prabowo Subianto melawat keluarga saudaranya yang turut terkorban dalam insiden kapal selam, KRI Nanggala. (sumber media sosial)

 

“Salah satu putra terbaik Bangsa, Letda Laut (T) Rhesa Tri Sigar saudara saya yang gugur bersama KRI Nanggala 402, berkorban demi Sang Merah Putih,” menurut Prabowo dalam akaun Instagram-nya malam tadi.

Prabowo berkata beliau telah mengunjungi orang tua Rhesa di Surabaya.

Dalam kunjungan itu, Menteri Pertahanan Indonesia bertemu dengan Ibu Rhesa, Indah Wahyu Arini Retno, dan kakak Rhesa, Kapten Inf Julius Sigar.

Beliau menyatakan akan mengenang Letda Rhesa sebagai perajurit t yang gugur berjuang untuk ibu pertiwi.

“Kami sekeluarga akan selalu mengenang jasamu bagi Indonesia, engkau akan selalu hidup di dalam semangat kami,” kata Prabowo.

nanggala

Panglima Tentera Nasional Indoneisa Hadi Tjahjanto dalam sidang media beberapa hari sebelum ini mengumumkan bahawa seluruh anak kapal KRI Nanggala-402 seramai 53 orang itu telah disahkan meninggal dunia berdasarkan imej-imej dasar laut.

Bangkai kapal selam buatan Jerman berusia lebih 40 tahun itu ditemukan di kedalaman 838 meter di bawah permukaan laut, di perairan Utara Bali dalam keadaan terbahagi kepada tiga bahagian.

“Berdasarkan bukti-bukti autentik tersebut, dapat dinyatakan bahwa KRI Nanggala telah tenggelam dan seluruh awaknya telah gugur,” kata Hadi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.