Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Perlu Miliki Satelit Tentera Sendiri – ATM

“Kemampuan satelit tentera milik sendiri membolehkan angkatan tentera untuk melihat dengan jelas, berkomunikasi dengan pasti, navigasi dengan tepat, menyerang dengan ketepatan dan beroperasi dengan jaminan. " -- Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin

5,619

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Terdapat keperluan bagi Malaysia untuk memiliki satelit tenteranya sendiri, bukan hanya untuk komunikasi semata-mata tetapi juga untuk tujuan ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) dan amaran awal.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata satelit tentera juga perlu untuk tujuan navigasi dan penjejakan (tracking) bagi membolehkan komunikasi terjamin di mana-mana dan bila-bila masa meliputi semua domain sama ada udara, darat dan laut.

“Ia (satelit tentera) adalah aset yang perlu dimiliki oleh Malaysia.”

“Kemampuan satelit tentera milik sendiri membolehkan angkatan tentera untuk melihat dengan jelas, berkomunikasi dengan pasti, navigasi dengan tepat, menyerang dengan ketepatan dan beroperasi dengan jaminan,” kata beliau dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Asia Defence Journal (ADJ) keluaran Julai-Ogos.

Pada ketika ini menurut beliau, adalah mustahil daripada segi kewangan untuk memiliki satelit-satelit Low Earth Orbit (LEO) dalam bilangan yang banyak sebagaimana dimiliki perkhidmatan Starlink dan One Web berikutan kos perolehannya yang tinggi.

BSEP

 

Pada pertengahan tahun lepas, delegasi BSEP turut berpeluang menyaksikan pelancaran Malaysia East Asia Satellite (MEASAT-3d) di Kouru, French Guyana, Amerika Selatan.

 MEASAT-3d yang dilancar menggunakan roket pelancar Arianespace Ariane 5 dilengkapi dengan beberapa jalur komunikasi untuk menyokong keperluan semasa dan akan datang.

Selain C-Band dan Ku-Band yang biasa digunakan untuk servis direct-to-home (DTH), telekomunikasi dan penghantaran video, MEASAT-3d turut menawarkan Satelit Berkapasiti Tinggi (High-Throughput Satellite – HTS) Ka-Band. 

Sementara itu pada Julai tahun lepas, Singapura telah melancarkan tiga buah satelit ke orbit, dengan dua daripada satelit itu adalah untuk tujuan keselamatan dan pertahanan.

Satu daripada satelit yang dilancarkan oleh Singapura merupakan satelit yang dilengkapi dengan radar menggunakan gelombang radio yang boleh mengambil gambar beresolusi tinggi walaupun  di waktu malam atau dalam keadaan cuaca yang buruk.

Elon Musk
Satelit RazakSat berada di dalam roket Falcon 1 SpaceX sebelum pelancaran. (FB Dr Ahmad Sabirin)

 

Satelit dipanggil “NeuSAR” itu dilengkapi dengan Synthetic Aperture Radar (SAR) bagi membolehkan ia mencerap pelbagai imej di bumi.

Selain “NeuSAR”, Singapura turut melancarkan satelit seberat 360kg yang telah dibangunkan oleh DS-EO, yang merupakan entiti kerjasama di antara Defence Science and Technology Agency (DSTA) dan ST Engineering.

Sama seperti “NeuSAR”,  Satelit Pemerhati Bumi (Earth Observation Satellite) kerjasama di antara DSTA dan ST Engineering itu juga berkemampuan mengambil gambar beresolusi dan berkualiti tinggi bumi tetapi ia bergantung keadaan cuaca dan hanya pada waktu siang.

Pada 2021 pula, terdapat laporan media menyatakan bahawa Vietnam telah memilih syarikat Israel untuk melancarkan satelit pengintip milik negara Asia Tenggara itu ke orbit.

Syarikat Israel Aerospace Industries (IAI) itu dilapor telah berjaya mengalahkan beberapa syarikat antarabangsa ternama dalam bidang pembuatan satelit termasuk Thales Alenia Space,  Airbus Defence and Space dan Lockheed Martin.

Jin
Imej satelit menunjukkan kapal selam Type 093 kelas Shang sedang memasuki kubu bawah tanah di Pangkalan Laut Yulin di Pulau Hainan.

 

Satelit pengintip Vietnam itu atau “high-resolution imaging satellite” itu mempunyai kegunaan sivil dan ketenteraan, dengan pembinaannya dijangka mengambil masa selama beberapa tahun sebelum ia mula beroperasi.

Syarikat IAI dijangka menggunakan pengalamannya dalam membina 16 buah satelit pengintip Israel, “Ofek” (daripada Ofek-1 hingga ke Ofek-16) dalam menjayakan projeknya pembinaan satelitnya dengan kerajaan Vietnam.

Satelite pengintip Vietnam itu akan dikenali dengan nama “VNREDSat-2”, dan direkabentuk untuk mempunyai spesifikasi yang lebih canggih berbanding satelit pemerhatian bumi negara itu yang pertama iaitu “VNREDSat-1”, yang dilancarkan pada 2013.

Antaranya fungsi utama satelit pengintip “VNREDSat-2” milik Vietnam itu kelak apabila ia beroperasi adalah kemampuan melihat objek dan mengambil gambar sehingga tahap kurang daripada 1 meter (spatial resolution of the pixel reaches less than one metre)

Sementara itu Samsuddin juga ditanya tentang senario ancaman siber dan elektromagnetik pada ketika ini, beliau berkata, lanskap peperangan pada masa ini telah berubah.

Satelit
Imej satelit

 

“Peperangan secara fizikal akan hanya berlaku selepas serangan siber dilancarkan untuk memusnahkan kemampuan pusat pemerintahan (command), kawalan (control), komunikasi (communication) dan informasi (information).

“Ruangan siber kini adalah doman yang strategik. Ia tidak akan berakhir. Ia berlaku setiap saat dan daripada semua arah. Tugas kami adalah untuk melindungi sistem kami dan memastikan salinghubungan (connectivity) itu sentiasa berfungsi dan semua sistem boleh diakses pada setiap masa,” kata beliau. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.