Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Perlumbaan” Senjata Nuklear Antara Arab Saudi dan Iran

“Kita bimbang sekiranya mana-mana negara memperolehi senjata nuklear,” kata Putera Mahkota Arab Saudi Mohamed bin Salman dan menambah, sekiranya Iran berjaya membangunkan senjata nuklear maka “kita terpaksa mendapatkan senjata nuklear juga.”

0 2,276

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi menyatakan dengan jelas bahawa negara itu akan berusaha mendapatkan bom nuklear sekiranya negara tetangganya terutama Iran berjaya membangunkan bom nuklear mereka sendiri.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh pemerintah de facto negara Timur Tengah itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohamed bin Salman.

“Kita bimbang sekiranya mana-mana negara memperolehi senjata nuklear,” kata beliau dan menambah, sekiranya Iran berjaya membangunkan senjata nuklear maka “kita terpaksa mendapatkan senjata nuklear juga.”

Kenyataan oleh Mohamed Salman itu meningkatkan lagi kebimbangan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat serta sekutu utamanya, Israel bahawa program nuklear awam Arab Saudi bakal ditukar ke program ketenteraan sekiranya berhadapan dengan ancaman daripada Iran.

Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, Arab Saudi sedang berusaha untuk membangunkan teknologi nuklearnya dan berhasrat untuk membina loji nuklearnya yang pertama.

Nuklear
Mohamed bin Salman

 

 Arab Saudi dilapor mahukan Amerika Syarikat “memberikan” teknologi nuklear untuk awam kepadanya sebagai balasan terhadap persetujuannya untuk menjalin hubungan diplomatik dengan seteru lama, Israel.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Mohamed bin Salman telah menyatakan permintaan negara itu terhadap akses teknologi nuklear ketika bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken di Riyadh baru-baru ini.

Walaupun berdepan dengan desakan demi desakan daripada Riyadh untuk teknologi nuklear awam,namun Amerika Syarikat dikatakan tetap berkeras untuk tidak berkongsi teknologi itu dengan  Arab Saudi.

Untuk memperolehi teknologi nuklear daripada Amerika Syarikat, pentadbiran Presiden Jo Biden perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada kongres negara itu, sebelum ia dibenarkan untuk berkongsi teknologi itu dengan Arab Saudi.

Kongres Amerika Syarikat yang dikuasai oleh pelobi-pelobi Yahudi, hampir pasti akan menghalang sebarang perjanjian yang akan menyaksikan Arab Saudi memperolehi teknologi nuklear daripada Washington.

Nuklear
Stesen janakuasa nuklear yang sedang dibina di Emiriah Arab Bersatu,

 

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga bakal menerima tentangan hebat sekiranya bersetuju untuk membenarkan Amerika Syarikat berkongsi teknologi nuklear dengan Arab Saudi.

Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Tenaga Atom Israel Ariel Eli Levite melahirkan kebimbangannya bahawa persetujuan membenarkan Arab Saudi memperolehi teknologi nuklear akan mencetus perlumbaan senjata nuklear di Timur Tengah.

Kebimbangan Israel adalah risiko loji tenaga nuklear Arab Saudi itu menjadi sasaran kumpulan-kumpulan pengganas.

Satu lagi kebimbangan Tel Aviv berkait-rapat dengan kemungkinan reactor awam di loji nuklear itu ditukar untuk menjalankan operasi berkaitan ketenteraan.

Levite itu menuduh Arab Saudi bahawa negara itu bukan sahaja berminat dengan teknologi nuklear untuk penjanaan kuasa elektrik tetapi juga teknologi pengkayaan uranium (uranium enrichment) untuk tujuan ketenteraan.

Bagaimanapun bagi Arab Saudi, jika Amerika Syarikat enggan memberikannnya akses kepada teknologi nuklear, ia boleh berpaling kepada negara-negara lain yang turut memiliki teknologi nuklear awam.

Nuklear

Baru-baru ini,  China National Nuclear Corp (CNNC) dilapor oleh media Wall Street Journal (WSJ) telah mengemukakan tawaran untuk membina sebuah loji janakuasa nuklear di wilayah timur Arab Saudi berhampiran dengan sempadan negara itu dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Luar China tidak mengesahkan laporan oleh WSJ, tetapi jurucakapnya berkata,  Beijing akan terus menjalin kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang termasuk tenaga nuklear.

Ia bagaimanapun berkata akan tetap mematuhi peraturan antarabangsa yang mengawal industri tenaga nuklear itu.

Arab Saudi bercadang membina 16 buah loji janakuasa nuklear di negara itu untuk tempoh 25 tahun pada kos US$80 bilion dalam usahanya untuk mengurangkan kebergantungannya kepada minyak dan gas, walaupun rizab minyak dan gas oleh negara Arab Saudi itu adalah kedua terbesar di dunia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...