Kapal Perang Russia Lepas Tembakan Amaran Terhadap Kapal Turkiye Di Laut Hitam
Hubungan di antara Turkiye dan Russia yang sebelum ini berada didalam keadaan baik, kini dikatakan semakin terjejas apabila kerajaan Presiden Recep Tayyep Erdogan bertindak menyokong permohonan Ukraine untuk diterima menjadi anggota NATO ketika sidang kemuncak kerjasama tentera Eropah itu di Lithuania beberapa bulan lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal perang Russia melepaskan tembakan amaran terhadap kapal kargo milik syarikat Turkiye tetapi mengibarkan bendera Palau ketika ia sedang belayar di Laut Hitam, dalam satu lagi insiden yang menimbulkan tanda-tanya tentang hubungan semasa di antara Moscow dan Ankara.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, kapal perang Russia itu “Vasily Bykov” melepaskan tembakan amaran selepas kapal kargo itu gagal mematuhi arahannya supaya menghentikan pelayarannya bagi membolehkan pemeriksaan terhadap kargo dibawanya.
Kapal kargo milik syarikat Turkiye yang mengibarkan bendera Palau itu pula dikenali sebagai “Sukro Okan” dan dipercayai sedang menuju ke pelabuhan Izmail di Ukraine.

Bagaimanapun data-data perkapalan menunjukkan kapal milik Turkiye itu kini sedang berada di kawasan pesisir pantai Bulgaria dan sedang menuju ke pelabuhan Sulina yang berada di dalam Romania.
Tidak lama selepas menghentikan pelayaran kapal kargo Turkiye itu, helikopter tentera KA-29 Russia menurunkan anggota-anggota bersenjata untuk melakukan pemeriksaan terhadap kapal dan krewnya.
Selepas berpuashati bahawa kapal kargo Turkiye itu tidak membawa sebarang kargo “dicurigai’, kapal itu dibenarkan untuk meneruskan pelayarannya di Laut Hitam
Pada Julai lepas, Moscow menghentikan penyertaannya dalam kerjasama bijirin Laut Hitam yang menyaksikan Ukraine dibenarkan mengeksport bijirin ke pasaran antarabangsa menerusi Laut Hitam.
Russia menyifatkan semua kapal yang belayar ke Ukraine menggunakan Laut Hitam sebagai berpotensi menyeludup senjata untuk digunakan tentera negara itu.
Ini merupakan kali pertama kapal perang Russia bertindak melepaskan tembakan terhadap kapal-kapal kargo asing yang belayar di Laut Hitam, selepas ia menggantung penyertaannya dalam kerjasama bijirin Ukraine itu.

Kerajaan Ukraine menyifatkan tindakan kapal perang Russia melepaskan tembakan terhadap kapal kargo asing di Laut Hitam merupakan tindakan “pelanunan” oleh sebuah negara.
Comments are closed.