Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Sah Kerah Varian Terkini Pesawat Pejuang Su-57M (Modification) Ke Ukraine

Konglomerat aeronautik Russia, United Aircraft Corporation (UAC) secara tidak rasminya telah mengesahkan bahawa pesawat pejuang Su-57 itu telah berganding bahu dengan pesawat-pesawat pejuang Russia yang lain termasuk Su-34 Fullback dan Su-35 Flanker-E di Ukraine.

0 7,736

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Konglomerat aeronautik Russia, United Aircraft Corporation (UAC) secara tidak rasminya telah mengesahkan operasi pesawat pejuang generasi kelima negara itu, Su-57 “Felon” di barisan hadapan di Ukraine.

Ia mengesahkan bahawa pesawat pejuang Su-57 itu telah berganding bahu dengan pesawat-pesawat pejuang Russia yang lain termasuk Su-34 Fullback dan Su-35 Flanker-E di Ukraine.

Dalam satu kenyataan kepada agensi berita TASS, UAC menyatakan bahawa pesawat pejuang termoden negara itu berkemampuan melaksanakan pelbagai misi termasuk ketika berada di bawah suasana yang amat mencabar, berikutan keupayaan halimunan dan ciri-ciri yang lain.

Ia berkata pihak Sukhoi Design Bureau meneruskan kerja-kerja untuk meningkatkan lagi dan meluaskan keupayaan misi pesawat pejuang generasi kelima itu.

Walaupun peningkatan keupayaan pesawat pejuang Su-57 yang beraksi di Ukraine itu tidak dinyatakan, namun pada tahun ini, Sukhoi Design Bureau ada menyatakan bahawa fokus mereka untuk menaiktaraf pesawat pejuang itu secara berperingkat.

Sebagai contohnya, UAC menyatakan bahawa bermula pada tahun ini pesawat pejuang Su-57 itu akan dilengkapi dengan enjin yang baru, Izdeliye 30 yang menjanjikan kuasa tujahan (thrust) dan keberkesanan bahan api berbanding enjin lama, AL-41F1.

Su-57

 

Enjin baru pesawat pejuang Su-57 itu, Izdeliye 30 atau AL-51F1 telah melepasi segala ujian dengan cemerlang, seperti kuasa tujahan 11,000kg dan afterburner sebanyak 18,000kg.

Dengan naiktaraf enjin barunya kini, pesawat pejuang Su-57 itu kini berkemampuan mencapai kelajuan kruis (cruising speed) Mach 2.

Varian pesawat pejuang yang telah dinaiktaraf dengan enjin baru dan pelbagai peningkatan keupayaan yang baru itu dikenali sebagai Su-57M (Modification).

Dengan enjin baru,Izdeliye 30  (AL-51F), pemerhati menyatakan bahawa pesawat pejuang Su-57 itu kini secara sah kini adalah sebuah pesawat pejuang generasi kelima.

Dalam satu lagi peningkatan keupayaan dilaksanakan tahun ini, UAC juga menonjolkan peningkatan kemampuan daripada segi avionik pesawat pejuang itu.

Pesawat pejuang itu kini dilengkapi dengan radar baru yang lebih berkeupayaan,membolehkan ia mengesan sasaran lebih jauh dan kemampuan kesan-jejak (target-tracking) yang lebih ampuh.

Su-57

Selain itu, UAC juga menyatakan bahawa sedang meningkatkan keuapayaan halimunan pesawat pejuang Su-57.

Daripada segi peningkatan kemampuan sistem persenjataan yang dibawanya, pesawat-pesawat Su-57 kini boleh membawa pelbagai sistem persenjataan daripada peluru berpandu  udara-ke-darat kepada peluru berpandu udara-ke-udara seperti peluru berpandu KH-59Mk2 dan R-37M.

Peluru berpandu udara-ke-udara “R-37M”  (RVV-BD) itu boleh menembak jatuh sasaran udara sejauh 300km hingga 400km.

Moscow dikatakan telah meningkatkan penggunaan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti R-37M bagi membolehkan pesawat pejuangnya berada di luar ruang udara tengah dan barat Ukraine yang dikawal ketat oleh sistem pertahanan udara Ukraine serta dipantau rapi oleh pesawat-pesawat amaran awal NATO.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M (RVV-BD) atau AA-13 adalah peluru berpandu moden, dengan komponennya dihasilkan di dalam Russia.

Ia dihasilkan oleh firma Russia terkenal dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-udara iaitu Vympel.

Su-57
“R-37M” 

 

Bagi memusnahkan sasaran-sasaran di darat pula, peluru berpandu udara-ke-darat utama dibawa oleh pesawat Su-57 Russia adalah KH-59Mk2 yang boleh memusnahkan kubu-kubu tentera diperkukuhkan daripada jarak sehingga 300km.

Peluru berpandu KH-59Mk2 itu dilengkapkan dengan kepala peledak penetrator seberat 320kg, malah usaha sedang dijalankan oleh pihak Russia untuk melengkapkannya dengan kepala peledak yang lebih berkuasa dan mampu membedil kawasan yang lebih luas.

Disebabkan kelajuan yang subsonic, peluru berpandu udara-ke-darat KH-59Mk2 mampu menjelajah lebih jauh walaupun saiznya yang lebih kecil.

Selain itu, pesawat pejuang Su-57 juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-radiasi Kh-58UShKE untuk memusnahkan pusat-pusat komunikasi dan radar musuh serta sistem pertahanan udara mereka.

Pesawat-pesawat generasi kelima Russia itu akan dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis bersaiz kecil,  KH-38ME (jarak 400km).

Su-57
“KH-59MK2”

 

Dengan Amerika Syarikat sedang berusaha meningkatkan lagi keupayaan pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 Block 4 dengan pelbagai kelengkapan, Russia juga bertindak sama dengan menaiktaraf pesawat pejuang Su-57 dengan beberapa kemampuan pesawat pejuang generasi ke-enam.

Pesawat Su-57 itu akan dinaiktaraf untuk memiliki kemampuan Artificial Intelligence (AI).

Juruterbang ujian di Sukhoi Design Bureau, Rafael Suleimanove dilaporkan berkata bahawa dengan penggunaan AI pada pesawat pejuang itu, ia akan membolehkan Su-57 “berbuat apa sahaja ketika di udara.”

Mana-mana juruterbang yang pernah menerbangkan pesawat Su-35, akan berupaya untuk menerbangkan Su-57 tanpa masalah. — DSA

 

Comments
Loading...