Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Russia Tidak Akan Kehabisan Peluru Berpandu Untuk Serang Ukraine” – Badan Pemikir Amerika

Kesimpulan oleh badan pemikir Amerika Syarikat itu sekaligus menolak laporan oleh agensi-agensi perisikan Ukraine serta Barat yang mendakwa Russia bakal kehabisan peluru-peluru berpandu untuk digunakan dalam serangan terhadap negara jirannya itu akibat sekatan ekonomi dan kawalan eksport yang ketat.

0 4,975

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah badan pemikir Amerika Syarikat, Centre for Strategic and International Studies (CSIS) menyimpulkan dalam satu laporannya bahawa Russia tidak akan kehabisan peluru berpandu untuk operasi ketenteraannya di Ukraine.

Laporan itu menyatakan bahawa adalah tidak realistik untuk menjangkakan Russia akan kehabisan peluru berpandu untuk melaksanakan misi ketenteraannya di Ukraine.

Kesimpulan oleh badan pemikir Amerika Syarikat itu sekaligus menolak laporan oleh agensi-agensi perisikan Ukraine serta Barat yang mendakwa Russia bakal kehabisan peluru-peluru berpandu untuk digunakan dalam serangan terhadap negara jirannya itu akibat sekatan ekonomi dan kawalan eksport yang ketat.

Iskander
Peluru berpandu taktikal “Iskander” buatan Russia.

 

CSIS menyatakan bahawa Russia terus mengekalkan kemampuannya untuk berterusan melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Ukraine.

“Russia berkemungkinan akan terus memiliki berkemampuan untuk membina atau memperolehi kebolehan serangan jarak jauh untuk memusnahkan pusat ketenteraan dan ekonomi Ukraine walaupun berhadapan dengan sekatan dan halangan ekonomi,” menurut laporan itu.

Bukti menunjukkan bahawa stok-stok terkini peluru berpandu Russia dihasilkan selepas tercetusnya konflik dengan Ukraine.

Laporan oleh CSIC itu menyatakan bahawa sekatan ekonomi dan halangan eksport tidak membawa kesan sebagaimana yang dimahukan terhadap kemampuan Russia membina peluru-peluru berpandunya.

“Tiada jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Sekatan ekonomi dan kawalan eksport hanya menghadkan kuantiti dan kualiti aset-aset serangan yang mampu diperolehi oleh Russia, “ menurut laporan itu.

Khinzal
Peluru berpandu hypersonik Khinzal dibawa oleh pesawat pejuang MiG-31 Russia.

 

Mengenai spekulasi bahawa stok peluru berpandu Russia semakin berkurangan, CSIS itu berkata ia berkemungkinan berpunca kerana kekerapan Moscow menggunakan peluru-peluru berpandu jarak jauh dalam konfliknya dengan Ukraine itu.

Walaupun begitu katanya, Russia tetap melancarkan serangan peluru-peluru berpandu terhadap Ukraine,menggunakan peluru berpandu daripada kawasan konflik yang lain.

Ia juga berkata bahawa Moscow telah bertindak mengubahsuai beberapa jenis peluru berpandu darat-ke-udara dan peluru berpandu anti-kapal kepada peluru berpandu serangan darat.

Antara sistem peluru berpandu yang diubahsuai oleh Russia adalah S-300 dan S-400 yang diubahsuai daripada peluru berpandu pertahanan udara kepada sistem peluru berpandu berkemampuan menyerang sasaran darat Ukraine.

Mengenai impak daripada sekatan export komponen mikroelektronik yang penting dalam penghasilan peluru berpandu, laporan CSIS itu menyatakan bahawa Russia terus memperolehi komponen mikroelektronik daripada pihak-pihak ketiga yang “mesra” dengannya.

S-300
Russia telah mengubahsuai sistem pertahanan udara S-300 untuk menyerang sasaran darat.

 

“Perkara ini telah disahkan oleh pihak Ukraine yang mengkaji serpihan dan bangkai peluru-peluru berpandu itu.”

Laporan itu menyatakan bahawa sekatan ekonomi dan kawalan eksport hanya menyukarkan dan membuatkan usaha menghasilkan peluru berpandu itu lebih mahal, sekaligus menghadkan jumlah peluru berpandu yang boleh dihasilkan oleh Moscow.

“Bagaimanapun Russia akan terus mempunyai kemampuan untuk membina peluru berpandu dan dron dan akan terus melancarkannya terhadap Ukraine. Realiti ini tidak akan berubah sehinggalah perang itu tamat,” kata laporan itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...