Rusia Sedia Lupuskan Kapal Pengangkut Pesawat Tunggalnya Admiral Kuznetsov Sebagai Besi Buruk

Kapal Pengangkut Pesawat Terakhir Rusia Bakal Dilupus: Simbol Impian Soviet yang Kian Pupus

0
Dalam satu peringatan jelas mengenai semakin suramnya kemampuan Rusia untuk menonjolkan kuasa lautnya, Moscow kini dilapor bersedia melupuskan satu-satunya kapal pengangkut pesawatnya, Admiral Kuznetsov yang sudah usang sebagai besi buruk.
Langkah ini bakal meninggalkan Kremlin tanpa sebarang kapal pengangkut pesawat yang operasional — pada ketika Tentera Laut Amerika Syarikat terus menguasai lautan dengan armada 11 kapal pengangkut pesawat moden yang mampu mendominasi mana-mana perairan dunia.
Laporan daripada akhbar pro-Kremlin, Izvestia, mendedahkan bahawa Rusia akhirnya bersedia untuk menamatkan riwayat Admiral Kuznetsov — simbol terakhir impian sayao penerbangan era Tentera Laut Kesatuan Soviet — selepas hampir lapan tahun usaha naik taraf yang gagal, tragedi berulang dan kos yang terus meningkat.
Memetik sumber yang “berpengetahuan”, Izvestia mendakwa Tentera Laut Rusia bersama United Shipbuilding Corporation (USC) kini hampir memutuskan untuk menghentikan sepenuhnya program baik pulih Admiral Kuznetsov, satu langkah yang bakal menamatkan terus keupayaan sea-based airpower Moscow di saat aset-aset maritimnya berdepan tekanan luar biasa di Laut Hitam, Artik dan kawasan lain.
Penamatan khidmat Admiral Kuznetsov ini turut disokong tokoh kanan Tentera Laut Rusia yang kini menganggap kapal pengangkut pesawat tradisional sebagai “sasaran” yang mahal dan perlahan dalam era sistem peluru berpandu jarak jauh, hypersonic glide vehicle dan swarm drone.
Laksamana Sergei Avakyants, bekas komander Armada Pasifik Rusia dan suara berpengaruh dalam komuniti maritim Moscow, memberitahu Izvestia bahawa Tentera Laut Rusia “tidak memerlukan kapal pengangkut pesawat dalam bentuk klasik untuk jangka panjang.”
Avakyants menegaskan kapal pengangkut pesawat adalah peninggalan era peperangan laut lama kerana “ia boleh dimusnahkan dalam beberapa minit dengan senjata moden,” sekali gus mendedahkan betapa terdedahnya “pangkalan udara terapung” di era serangan berketepatan tinggi dan next-generation kill chain.
Kuznetsov
Kapal pengangkut pesawat Russia, Admiral Kuznetsov sedang diperbaiki dan dimodenkan.
“Ia senjata laut (kapal pengangkut pesawat) yang sangat mahal dan tidak berkesan,” tegas Avakyants.
“Masa depan milik pembawa sistem robotik dan pesawat tanpa pemandu.
Dan jika keputusan diambil untuk tidak meneruskan pembaikan, satu-satunya pilihan ialah membawa Admiral Kuznetsov ke limbungan sekerap (sebagai besi buruk).”
Dibina pada 1982 dan siap sepenuhnya pada 1991, Admiral Kuznetsov pernah menjadi lambang kebanggaan Blue-Water Navy Tentera Laut Soviet yang ingin menyaingi Tentera Laut Amerika, tetapi kini menjadi cermin kepada kemerosotan industri pembinaan kapal Rusia pasca-Soviet.
Apabila Admiral Kuznetsov dimasukkan ke dry dock pada 2017 untuk program naik taraf besar-besaran, sasaran asal adalah untuk memanjangkan hayat operasi sehingga sekurang-kurangnya satu dekad lagi bagi memberi Tentera Laut Rusia satu kapal pengangkut pesawat yang boleh menandingi keupayaan power projection armada laut biru Barat.
Menurut TASS, kapal ini sepatutnya memulakan sea trial pada musim bunga 2024 dengan kemasukan semula ke perkhidmatan aktif pada penghujung 2025 — satu jadual yang kini kelihatan tidak realistik.
Tahun-tahun kegagalan teknikal, kebakaran maut dan tragedi berulang menjadikan Admiral Kuznetsov bahan sindiran penganalisis tentera laut yang sering menggelarnya sebagai “kapal perang yang disumpah” Tentera Laut Rusia.
Sejak ditauliahkan, kapal seberat 58,000 tan ini — diklasifikasikan secara rasmi sebagai aircraft-carrying cruiser untuk mengelak sekatan Montreux Convention bagi laluan di Selat Turkiye — lebih banyak menghabiskan masa di pangkalan daripada belayar, berpunca daripada masalah kronik kekurangan dana dan penyelenggaraan.
Russia
Kapal pengangkut pesawat Russia, Admiral Kuznetsov
Pemerhati pertahanan sering berseloroh bahawa jika kapal pengangkut pesawat Admiral Kuznetsov berjaya melepasi pemecah ombak, itu pun sudah dianggap sebagai kemenangan taktikal.
Senarai musibah dialaminya menjadi kisah peringatan untuk mana-mana tentera laut yang memandang ringan aspek penyelenggaraan dan kemahiran industri.
Pada 2009, kebakaran ketika operasi di perairan Turki membunuh seorang anak kapal diikuti tumpahan minyak yang melepaskan 300 tan bahan api ke perairan Ireland semasa melaksanakan ulang-bekal.
Menjelang 2012, Admiral Kuznetsov mengalami kerosakan di Bay of Biscay dan terpaksa ditarik pulang oleh bot tunda Chiker yang setia menjadi insurans terhadap reputasi kerosakan enjin  kapal pengangkut pesawat ini.
Ketika ditugaskan di Syria pada 2016-17,  yang merupakan misi tempur sulungnya — ia sepatutnya menjadi pentas untuk mempamerkan kekuatan kuasa tempur udara Tentera Laut Rusia tetapi sebaliknya mendedahkan kelemahan sebenar.
Dua pesawat, MiG-29K dan Su-33, terhempas ketika cuba mendarat, memaksa kapal pengangkut pesawat ini membatalkan operasi di perairan Syria dan berpatah balik ke Tartus.
Pada 2018, kren seberat 70 tan runtuh ke atas dek, membunuh seorang pekerja dan mencederakan empat lagi sambil menebuk lubang besar di dek penerbangan kapal itu — insiden yang menangguhkan lagi program baik pulih.
Pada Disember 2019, kebakaran di bilik enjin semasa kerja kimpalan membunuh dua orang dan mencederakan 14 lagi akibat asap tebal.
Tahun 2022 pula menyaksikan satu lagi kebakaran besar, menjadikan reputasi Admiral Kuznetsov antara kapal perang paling kerap ditimpa malapetaka —  berbanding kelicinan operasi carrier strike group Tentera Laut Amerika yang terkenal dengan kesiapsiagaan dan kawalan perairan yang tinggi dengan 11 buah kapal pengangkut pesawat.
Ketika Rusia terpaksa mengakhiri hayat kapal pengangkut pesawat tunggalnya, Tentera Laut Amerika kekal dominan dengan 11 kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear termasuk kapal pengangkut pesawat kelas-Ford baharu yang bakal membentuk tulang belakang projeksi kuasa Washington dari Indo-Pasifik ke Teluk Oman.
Dengan pesawat pejuang F-35C, dron dan skuadron pesawat peperangan elektronik, kumpulan kapal pengangkut pesawat Amerika ini terus berevolusi untuk menghadapi cabaran maritim abad ke-21 termasuk perluasan kapal-kapal perang dan kapal pengangkut pesawat Tentera Laut (PLAN) China.
China pantas mengembangkan program kapal pengangkut pesawatnya dengan operasi Liaoning dan Shandong manakala kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga, Fujian dijangka melonjakkan PLAN ke tahap blue-water capability yang boleh menyaingi capaian Tentera Laut Amerika.
Di Indo-Pasifik, perimbangan kuasa laut menerusi projeksi kuasa oleh kapal-kapal pengangkut pesawat semakin jelas.
India memperkukuh kuasa dengan INS Vikrant, Royal Navy Britain mengerahkan kapal pengangkut pesawat kelas-Queen Elizabeth untuk menonjolkan kekuasaan NATO, manakala Charles de Gaulle milik Tentera Laut Perancis kekal menjadi asset penting misi pasukan gerak cepat Eropah.
Sebaliknya, Rusia yang pernah bercita-cita menyaingi armada kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika kini terpaksa menerima kenyataan bahawa era itu berakhir di limbungan sebagai besi buruk sekerap.
Tanpa Kuznetsov, impian Moscow untuk menjadi tentera laut dengan kemampuan Blue-Water nampak kosong.
Kremlin dijangka lebih bergantung kepada sayap penerbangan daratan, peluru berpandu jarak jauh, sistem tanpa pemandu (unmanned system) dan teknologi hipersonik untuk menampung kekosongan dalam doktrin maritimnya.
Namun di sebalik janji Kremlin tentang kapal pengangkut dron dan sistem persenjataan otonomi generasi baru, realitinya adalah industri pembinaan kapal Rusia yang terjejas akibat sekatan, salah urus dan jurang teknologi masih belum mampu menghasilkan pengganti kapal pengangkut pesawat Admiral Kuznetsov dalam masa terdekat.
Sementara kumpulan kapal-kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika terus menonjolkan kuasa maritim di kawasan-kawasan konflik dunia — dari Selat Taiwan ke Mediterranean — kapal pengangkut pesawat terakhir Rusia kian hampir ke limbungan sekerap sebagai besi buruk, simbol impian Soviet yang kini hanya tinggal sejarah.

Leave a Reply