(VIDEO) Rakaman Video Empat Saat Papar Lebih Jelas Pesawat Pejuang Generasi Ke-6 China
(VIDEO) Kemunculan mengejut J-36 di ruang awam telah mencetuskan spekulasi, sama ada rakaman itu adalah suatu kebocoran maklumat tidak disengajakan — atau sebenarnya satu strategi psikologi yang dirancang rapi oleh pihak tentera China bagi menghantar mesej strategik kepada pihak luar.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, satu video berdurasi empat saat telah menjadi viral di platform-platform media sosial di China kerana ia memaparkan dengan jelas pesawat pejuang generasi ke-enam China, J-36 yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dalam aksi-aksi terakhirnya sebelum melakukan pendaratan di sebuah pusat pembangunan pesawat yang rahsia.
Rakaman video berkualiti rendah yang dirakam dari dalam sebuah kenderaan awam itu jelas menunjukkan kelibat pesawat pejuang generasi ke-enam J-36 itu sedang menuruni daripada ruang udara di atas lebuh raya bandar yang sesak.
Insiden itu berlaku ketika pesawat itu membuat pendekatan terakhir untuk mendarat di Kemudahan Pembuatan Pesawat Chengdu, sebuah kompleks aeroangkasa rahsia di wilayah Sichuan yang dipercayai menjadi nadi kepada pembangunan pesawat tempur generasi akan datang negara itu.
Terletak kira-kira enam batu nautika dari pusat bandar Chengdu, kemudahan ini telah lama beroperasi penuh kerahsiaan, membangun dan menghasilkan pelbagai prototaip ketenteraan canggih di bawah seliaan Aviation Industry Corporation of China (AVIC).
Kemunculan mengejut J-36 di ruang awam telah mencetuskan spekulasi, sama ada rakaman itu adalah suatu kebocoran maklumat tidak disengajakan — atau sebenarnya satu strategi psikologi yang dirancang rapi oleh pihak tentera China bagi menghantar mesej strategik kepada pihak luar.
Walaupun China terkenal sebagai negara yang mengawal dengan ketat maklumat ketenteraan daripada bocor, namun sudut penggambaran dan ketepatan masa rakaman video pendek itu mencetuskan teori bahawa ia mungkin telah diluluskan di peringkat tertinggi dalam hierarki industri ketenteraan negara itu.
Penganalisis berpendapat bahawa pendedahan sebegini mungkin disengajakan untuk menyampaikan mesej strategik, khususnya di tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Beijing dan Washington, terutamanya berkait program “Next Generation Air Dominance” (NGAD) Amerika Syarikat dan pembangunan pesawat pejuang generasi ke-enam Beijing.
Pemain Video
00:00
00:00
Walauapapun, rakaman video berdurasi pendek itu telah memaparkan dengan jelas rekabentuk pesawat pejuang generasi ke-enam China itu, sesuatu yang jarang-jarang berlaku dalam beberapa bulan ini sejak ia sibuk menjalani pelbagai ujian penerbangan.
Dengan NGAD dijangka mengubah landskap peperangan udara masa depan, kemunculan J-36 secara terbuka ini boleh dianggap sebagai suatu cara untuk China menyatakan bahawa ia juga berada di landasan yang kukuh dalam perlumbaan teknologi pesawat pejuang generasi ke-enam.
J-36 pertama kali melakukan penerbangan pada 26 Disember 2024, namun penerbangan sulung itu tidak diumumkan secara rasmi oleh media kerajaan, walaupun ia merupakan pencapaian penting dalam usaha China merapatkan jurang teknologi dengan kuasa aeroangkasa Barat.
Berdasarkan pemerhatian awal, J-36 berukuran sekitar 72 kaki panjang dengan rentang sayap 66 kaki, menjadikannya setara dengan saiz dan prestasi NGAD milik Amerika Syarikat serta rekaan Tempest/FCAS dari Eropah.
Ketika ini, ujian berskala penuh ke atas pesawat J-36, yang dikategorikan sebagai pesawat pejuang berat pelbagai peranan sedang dijalankan.
Ujian ini dilaporkan adalah untuk menilai Sistem Kawalan Data Elektronik (EDCS) serta keupayaan pesawat generasi keenam itu melaksanakan pelbagai mod penerbangan.

Selain itu, sistem kawalan persenjataan turut diuji, termasuk radar AESA dengan modul pengesanan sisi dan reka bentuk fuselage pesawat.
Pesawat generasi keenam China ini menggunakan konfigurasi tanpa ekor dengan sayap delta berkembar serta dilengkapi tiga enjin turbofan untuk peningkatan kemampuan berbanding hanya dua enjin oleh program pesawat pejuang generasi keenam Barat.
Ia dilaporkan oleh para penganalisis sebagai berkemampuan mencapai kelajuan maksimum sehingga 2,900 kilometer sejam pada ketinggian 11,500 meter, selain boleh melakukan penerbangan supersonik pada kelajuan sekitar 2,100 hingga 2,200 kilometer sejam.
J-36 dilaporkan mempunyai ketinggian operasi maksimum antara 20,000 hingga 21,000 meter,manakala daripada segi keupayaan persenjataan, J-36 mampu membawa beban tempur antara 10 hingga 13 tan.
Laporan terkini menunjukkan bahawa pesawat pejuang J-36 bakal dilengkapi avionik berasaskan kecerdasan buatan (AI), sensor canggih serta keupayaan untuk beroperasi bersama dron, sejajar dengan trend global pesawat pejuang generasi keenam.
Dengan ciri-ciri ini, J-36 berpotensi menjadi pesaing utama kepada program Next Generation Air Dominance (NGAD) Amerika Syarikat serta projek Global Combat Air Programme (GCAP) dan Future Combat Air System (FCAS) di Eropah.
