“All Rafale”, Hanya Satu Jenis Pesawat Pejuang Untuk Tentera Udara Perancis
Transisi kepada “All Rafale” bagi Tentera Udara Perancis itu telah disuarakan oleh presiden negara itu, Emmanuel Macron ketika beliau menyampaikan amanat mengenai undang-undang perancangan tentera bagi tahun 2024 hingga 2030 baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perancis bercadang hanya menggunakan pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya menjelang tahun 2030, sekaligus menandakan bahawa ia berkemungkinan besar akan menamatkan khidmat pesawat pejuang Mirage 2000.
Transisi kepada “All Rafale” bagi Tentera Udara Perancis itu telah disuarakan oleh presiden negara itu, Emmanuel Macron ketika beliau menyampaikan amanat mengenai undang-undang perancangan tentera bagi tahun 2024 hingga 2030 baru-baru ini.
“Berhadapan dengan musuh-musuh yang semakin kuat, kita juga perlu bertindak dengan lebih kuat lagi untuk mencapai kesan-kesan ketenteraan dengan lebih cepat lagi.”
“Ini bermakna kita perlu memperkuatkan lagi peralatan (ketenteraan). Kita akan bertukar kepada “All Rafale” dan memastikan pesawat pejuang itu sentiasa pada tahap terbaik di dunia,” kata Presiden Perancis itu.
Pesawat pejuang Mirage 2000 telah dibangunkan oleh Dassault Aviation pada akhir 1970-an.
Pada permulaan tahun 2022, Tentera Udara Perancis dikatakan masih memiliki 106 buah pesawat Mirage 2000 dalam perkhidmatan.
Pada 23 Jun, 2022, Perancis telah mengucapkan selamat tinggal kepada pesawat pejuang Dassault Mirage 2000C, meninggalkan hanya 66 buah pesawat pejuang Mirage 2000D varian serangan darat dan 26 buah pesawat pejuang 2000-5 untuk misi-misi pemintasan.
Bagaimanapun 55 buah pesawat pejuang Mirage 2000D masih menjalani kerja-kerja naiktaraf, dengan keseluruhan program pemodenan itu hanya dijangka selesai sepenuhnya pada tahun 2025.
Tujuan utama program pemodenan pesawat pejuang Mirage 2000D adalah untuk menaiktaraf sistem avionik pesawat, selain bagi membolehkan ia dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara “MICA” bagi menggantikan peluru berpandu “MAGIC.”
Seorang anggota parlimen negara itu, Frank Giletti mempersoalkan tindakan “All Rafale” sebagaimana dinyatakan oleh Macron itu.
“Jika objektif adalah untuk ke arah “All Rafale”, mengapakah kita menumpukan sumber, masa dan kewangan untuk memodenkan 55 buah pesawat pejuang Mirage 2000 itu,” katanya.
Kementerian Pertahanan Perancis menyatakan bahawa pesawat-pesawat Mirage 2000-5 itu akan dibersarakan secara berperingkat dan digantikan dengan pesawat-pesawat pejuang Rafale.
Pesawat-pesawat Mirage 2000 masih lagi relevan, menurut kementerian.
Transisi kepada pesawat Rafale akan hanya membabitkan dua buah skuadron Tentera Udara Perancis yang masih menggunakan varian pesawat air-superioriti Mirage 2000-5.
Pesawat-pesawat Mirage itu berpangkalan di Luxeuil, Corsica dan Djibouti. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.