Kesemua Pesawat Pejuang India Termasuk Rafale Ditembak Jatuh Oleh J-10C, PL-15E — Menteri Luar Pakistan
Awal hari ini, Angkatan Tentera Pakistan mendakwa mereka telah berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India terdiri daripada tiga buah Rafale, sebuah MiG-29 dan sebuah Su-30MKI tidak lama selepas India melancarkan serangan peluru berpandu terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai “infrastruktur pengganas” di Pakistan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Ini merupakan pengakuan terbuka oleh anggota kanan pentadbiran kerajaan Pakistan tentang kejayaan mereka menembak jatuh pesawat pejuang generasi 4.5 kebanggaan Tentera Udara India pada hari pertama konflik terbuka di antara kedua-dua negara berkuasa nuklear itu.
Sementara itu wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Ia merupakan pesawat pejuang Rafale pertama yang ditembak jatuh dalam mana-mana konflik, kata pegawai berkenaan.
Awal hari ini, Angkatan Tentera Pakistan mendakwa mereka telah berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India terdiri daripada tiga buah Rafale, sebuah MiG-29 dan sebuah Su-30MKI tidak lama selepas India melancarkan serangan peluru berpandu terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai “infrastruktur pengganas” di Pakistan.
Sehingga kini, India belum memberikan komen terhadap dakwaan kehilangan lima buah pesawat pejuang miliknya itu, termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale.

Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Cubaan saluran berita Amerika Sarikat, CNN untuk mendapatkan komen daripada syarikat Dassault Aviation tentang penembakan jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India buatannya itu, gagal selepas syarikat itu “mendiamkan diri”.
Sementara itu media-media sosial telah mengeluarkan gambar-gambar yang secara tidak langsung mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah daripada pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India itu telah ditembak jatuh.
Serpihan salah sebuah daripada pesawat pejuang Rafale India dengan nombor siri BS-001 telah ditemui di satu lokasi itu di Aklian Kalan di Bathinda sekaligus mengesahkan dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh pesawat pejuang termoden India itu.
Laporan menyatakan bahawa juruterbang pesawat pejuang Rafale India itu terselamat selepas menggunakan kerusi injalnya dan di bawa ke hospital.
Bathinda juga menempatkan sebuah skuadron pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India.
Pesawat pejuang Rafale dengan nombor siri BS-001 yang ditembak jatuh oleh Pakistan itu merupakan pesawat pejuang Rafale pertama diterima oleh Tentera Udara India daripada 36 buah yang diperolehinya daripada Perancis.

Kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale India itu sedikit sebanyak telah mencalar imej pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini diibaratkan seperti “goreng pisang panas” dengan negara-negara di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Mediterranean berlumba-lumba untuk membelinya.
Tidak pasti sama ada kejayaan Pakistan menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale India itu akan menjejaskan jualan dan usaha pemasaran oleh Dassault Aviation untuk menjual lebih banyak pesawat pejuang Rafale di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, saham syarikat Chengdu Aircraft Corporation (CAC) yang bertanggungjawab membangunkan pesawat pejuang J-10C yang didakwa menembak jatuh kelima-lima pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah Rafale semalam, telah melonjak 20 peratus selepas berita tentang kejayaannya itu tersebar.
CAC juga merupakan syarikat aeroangkasa China yang membangunkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” bersama syarikat aeroangkasa Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Sementara itu, saham syarikat Dassault Aviation jatuh kira-kira 1.90 peratus selepas berita tentang penembakan jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India itu tersebar meluas di media.
India menandatangani perjanjian pada 2016 untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis yang dianggarkan bernilai US$8.8 billion (RM38.7 billion) atau US$91 juta (RM400 juta) sebuah.
Jika termasuk kerja-kerja menaiktaraf pesawat pejuang itu sebagaimana diminta oleh India, sistem persenjataan, alat ganti dan kira-kira lima tahun kerja-kerja sokongan, maka kos keseluruhan pesawat pejuang buatan Perancis yang dibeli oleh India itu dianggarkan bernilai US$218 juta sebuah (RM959 juta).
Jika meliputi kos inflasi pada tahun 2025, maka kos keseluruhan sebuah pesawat pejuang Rafale yang diperolehi oleh India itu mencecah US$289 juta (RM1.27 billion).
Pakistan telah menerima pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
Enam unit pertama pesawat ini tiba di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, Pakistan, dan secara rasmi ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan (PAF) pada 11 Mac 2022.
Pesawat-pesawat ini membentuk skuadron No. 15 “Cobras”
Perolehan J-10C ini merupakan sebahagian daripada usaha Pakistan untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, khususnya sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat Rafale oleh India.
J-10C adalah pesawat pejuang generasi 4.5 yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik canggih, dan keupayaan untuk membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti PL-15.
Pakistan pada asalnya mengumumkan pembelian 25 pesawat J-10C pada Disember 2021, dengan penghantaran pertama dijadualkan sebelum sambutan Hari Republik Pakistan pada 23 Mac 2022.
Sejak itu, Pakistan telah menerima lebih banyak pesawat J-10C dan dilaporkan sedang dalam rundingan untuk memperoleh sehingga 60 unit keseluruhannya, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
PL-15E merupakan varian eksport kepada peluru berpandu udara-ke-udara PL-15, dengan keupayaan keseluruhannya adalah berkurangan berbanding varian tempatan digunakan oleh Tentera Udara China.
Walaupun ia adalah varian eksport yang memiliki jarak 145km, namun peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E tetap merupakan ancaman yang besar terhadap pesawat-pesawat pejuang India sebagaimana yang berlaku pada hari ini.
Berbanding PL-15E, varian tempatan PL-15 yang digunakan oleh pesawat pejuang Tentera Udara China mampu membedil sasaran sejauh 300km.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).

Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 atau PL-15E yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan di antara 145km hingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh.
Ia bakal mewujudkan cabaran taktikal yang serius kepada Angkatan Udara India (IAF), terutamanya bagi pesawat-pesawat tempur utama seperti Su-30MKI, Rafale, dan Mirage 2000, yang mungkin terpaksa mengubah taktik operasi udara masing-masing.
Keupayaan radar AESA pada PL-15, digabungkan dengan sistem pautan data dua hala, turut membolehkan Pakistan untuk melakukan serangan udara yang lebih tepat dan koordinasi tempur udara yang lebih baik serta berkesan.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 menggunakan sistem pendorongan roket bahan api pepejal dua peringkat (dual-pulse solid-fuel rocket motor), membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang trajektori penerbangan bagi meningkatkan kebarangkalian memintas sasaran udara berprestasi tinggi seperti pesawat pejuang generasi kelima.
Dari segi teknologi pengesanan sasaran, PL-15 dilengkapi radar aktif AESA miniatur berfrekuensi tinggi yang mampu beroperasi secara autonomi, menjadikan peluru berpandu ini sukar untuk dielakkan oleh sistem pertahanan udara sedia ada.


India been silent about this, so embarrassing