Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Serang Pakistan, Islamabad Dakwa 5 Buah Pesawat Pejuang Musuh Ditembak Jatuh Termasuk Rafale

Dalam serangan balas terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan kekerasan oleh India, jurucakap Kementerian Pertahanan Pakistan memberitahu agensi berita Reuters bahawa ia telah berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India setakat ini, termasuk pesawat pejuang termoden India, Rafale.

0 5,866
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India telah melancarkan serangan terhadap apa yang didakwa mereka sebagai “infrastruktur pengganas” di dalam Pakistan hari ini, dengan Angkatan Tentera Pakistan pula mendakwa mereka telah menembak jatuh sehingga lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India dalam serangan balas.
New Delhi mendakwa bahawa serangan tersebut mensasarkan beberapa kedudukan di wilayah Punjab dan wilayah Kashmir di Pakistan.
Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan berkata, “Dalam satu tindakan perang yang terang-terangan dan tidak diprovokasi,” pesawat-pesawat pejuang India telah kekal berada dalam ruang udara negara mereka tetapi “melanggar kedaulatan Pakistan dengan menggunakan senjata jarak jauh (standoff weapons) yang menyasarkan kawasan penduduk awam.”
Sejak beberapa minggu, ketegangan di antara Pakistan dan India memuncak berikutan insiden di Pahalgam di wilayah Kashmir yang ditadbir oleh India yang mengorbankan 26 orang dan didakwa oleh New Delhi dilakukan oleh kumpulan bersenjata disokong oleh Islamabad.
Dalam serangan balas terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan kekerasan oleh India, jurucakap Kementerian Pertahanan Pakistan memberitahu agensi berita Reuters bahawa ia telah berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India setakat ini, termasuk pesawat pejuang termoden India, Rafale.
“Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India yang telah ditembak jatuh oleh Pakistan setakat ini adalah tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI dan sebuah pesawat pejuang MiG-29,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Pakistan itu.
Beliau juga berkata bahawa pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu telah ditembak jatuh ketika ia berada di dalam ruang udara India.

Pakistan

“Setakat ini tiada pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan telah ditembak jatuh,” menurut jurucakap itu sambil menambah bahawa serangan India terhadap enam kedudukan telah telah mengorbankan lapan orang penduduk tempatan.
Terdapat juga dakwaan di kalangan media-media Pakistan bahawa ia telah berjaya menawan tentera India dan tidak pasti sama ada ia merujuk kepada juruterbang Tentera Udara India yang ditembak jatuh itu.
Beliau juga berkata Tentera Udara India telah menggunakan peluru-peluru berpandu kruis SCALP dan bom-bom pintar HAMMER untuk membedil kawasan-kawasan di dalam Pakistan dalam serangan yang berlaku pada waktu malam itu.
“Dua buah pesawat Tentera Udara India telah disahkan berjaya ditembak jatuh,” kata Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry daripada Angkatan Tentera Pakistan.
“Terdapat laporan lain mengenai beberapa kerosakan tambahan… namun saya boleh sahkan bahawa sekurang-kurangnya dua pesawat telah berjaya dijatuhkan.”
Sementara itu Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar berkata, Angkatan Tentera Pakistan sedang memberikan tindak balas yang tegas dan menghancurkan, selaras sepenuhnya dengan kehendak serta sentimen rakyat.
JF-17
JF-17 “Thunder” Pakistan
“Negara ini akan memastikan setiap titisan darah para syuhada dibalas sepenuhnya terhadap musuh.”
Terdahulu, dalam satu kenyataan rasmi, India yang menamakan kempen ketenteraannya “Operasi Sindoor”,  menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan ke atas sembilan lokasi di Pakistan yang dikenal pasti sebagai “infrastruktur keganasan” yang didakwa menjadi pusat perancangan serangan terhadap India.
Sementara itu, Islamabad pula berkata bahawa enam lokasi di wilayah Pakistan telah menjadi sasaran serangan.
Menurut sumber pertahanan India kepada Reuters, pasukan bersenjata India telah menyerang ibu pejabat kumpulan militan Islamis Jaish-e-Mohammed (JeM) dan Lashkar-e-Taiba (LeT), dua organisasi yang telah dikaitkan dengan beberapa siri serangan ke atas wilayah India.
Dalam kenyataan lanjut, ia juga berkata: “India telah menunjukkan tahap kawalan diri yang tinggi dalam pemilihan sasaran dan cara serangan dilaksanakan.”
Saluran penyiaran India, CNN News-18, melaporkan bahawa serangan India telah mengorbankan 12 individu yang didakwa sebagai “pengganas” dan mencederakan sekurang-kurangnya 55 orang, memetik sumber daripada pihak berkuasa India.
Pakistan
J-10C Pakistan
Jika dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale India, maka ia adalah sessuatu yang serius kerana Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation daripada Perancis merupakan pesawat pejuang termoden milik Tentera Udara India.
Setakat Mei 2025, Tentera Udara India (IAF) mengoperasikan 36 buah pesawat pejuang Rafale yang telah diterima sepenuhnya daripada Perancis. Pesawat-pesawat ini ditempatkan di dua skuadron utama.
  • Skuadron No. 17 “Golden Arrows” di Pangkalan Udara Ambala, dan
  • Skuadron No. 101 “Falcons” di Pangkalan Udara Hasimara.
Kesemua 36 pesawat ini adalah varian darat, terdiri daripada versi Rafale EH (monopilot) dan Rafale DH (dua tempat duduk).
Pada April 2025, India telah menandatangani perjanjian bernilai $7.4 bilion dengan Perancis untuk memperoleh 26 buah pesawat Rafale M (varian kapal induk) bagi kegunaan Tentera Laut India.
Perjanjian ini merangkumi 22 pesawat monopilot dan 4 pesawat dua tempat duduk, dengan penghantaran dijadualkan bermula pada akhir 2029 dan selesai menjelang 2031.
Dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan pesawat Rafale yang akan dimiliki India meningkat kepada 62 unit.
 Terdapat juga laporan bahawa Tentera Udara India sedang mempertimbangkan untuk memperoleh 40 unit tambahan bagi menampung keperluan skuadron yang semakin berkurangan.
Selain Rafale,  Tentera Udara India (IAF) mengoperasikan lebih daripada 260 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI, menjadikannya tulang belakang kekuatan udara negara tersebut. Jumlah ini termasuk 272 unit yang telah ditempah, dengan 12 unit tambahan sedang dalam proses perolehan untuk menggantikan kerugian akibat kemalangan dan meningkatkan kesiapsiagaan tempur.
Setakat 2025, PAF mengoperasikan sekitar 450 buah pesawat pelbagai jenis, termasuk jet pejuang, pesawat latihan, pesawat sokongan dan sistem kawalan udara.
Antara komponen utama kekuatan tempur udara PAF ialah:
  • J-10C buatan China
  • F-16 Fighting Falcon – sekitar 75 buah pelbagai varian (A/B dan C/D), menjadi tulang belakang tempur berteknologi tinggi PAF sejak 1980-an.
  • JF-17 Thunder (Block I, II, dan III) – sekitar 150 unit aktif, dibangunkan bersama China dan Pakistan, berperanan sebagai tulang belakang kuasa udara moden PAF dengan kemampuan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) seperti PL-15.
  • Mirage III dan Mirage V – sekitar 80 unit masih dalam perkhidmatan untuk peranan serangan darat dan pengintipan.
  • F-7PG – pesawat MiG-21 versi China, masih digunakan dalam latihan dan misi sekunder.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.