Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perancis Pertaruh “Super Rafale” Kalahkan F-35 Amerika, Tawan Pasaran Antarabangsa

Dipanggil Rafale F5 atau “Super Rafale”, Perancis berharap varian terkini pesawat pejuang kebanggaannya itu dapat “menawan” pasaran pesawat pejuang antarabangsa yang kerap kali ia kecundang terutamanya di tangan pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin.

0 5,642

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula daripada tahun depan hingga 2030, Perancis akan mula membangunkan varian pesawat pejuang Rafale yang lebih canggih, di mana ia dan syarikat pembuat pesawat pejuang itu, Dassault Aviation berharap dapat “mengalahkan” pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat daripada segi jualan di peringkat global.

Dipanggil Rafale F5 atau “Super Rafale”, Perancis berharap varian terkini pesawat pejuang kebanggaannya itu dapat “menawan kembali” pasaran eksport yang kerap kali ia kecundang terutamanya di tangan pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin.

Syarikat Dassault Aviation sebenarnya tersentak apabila telah berkali-kali kalah dengan F-35 dalam persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang di beberapa negara Eropah termasuk jirannya, walaupun ia juga turut mengecapi kemenangan di Timur Tengah dan Asia seperti di Indonesia.

Tersentak dengan beberapa kekalahan di Eropah telah menyebabkan syarikat Perancis itu untuk berusaha membangunkan varian “Super Rafale” untuk mencabar F-35.    

Varian pesawat “Super Rafale” itu akan direkabentuk supaya ia boleh beroperasi secara berpasangan dengan beberapa dron loyal wingman dipanggil “nEUROn”, yang dikawal sendiri oleh juruterbang-juruterbang varian terkini pesawat pejuang itu.

rafale
Pesawat pejuang Rafale

 

Walau dikawal oleh juruterbang “Super Rafale” itu,namun “nEUROn” akan tetap mempunyai autonominya sendiri.

Pesawat itu juga akan dilengkapi dengan radar jamming dengan sistem pertahanan diri bagi membolehkan ia mewujudkan “belon pertahanan diri” bagi dirinya dan sistem lain yang bersama-sama dengannya dalam operasi itu.   

Radar-radar jamming yang bakal melengkapi “Super Rafale” itu akan membantu masalah yang membelenggu pesawat Rafale pada masa ini iaitu kekurangan di dalam operasi SEAD (Suppression of Enemy Air Defences).

“Super Rafale” juga akan direkabentuk bagi membolehkan ia membawa peluru berpandu baru hasil usahasama Perancis dan Britain dipanggil Future Cruise Missile (FCM) dan juga Future Anti-Ship Missile (FASM).

Ia tidak lagi akan menggunakan peluru berpandu kruis SCALP/Storm Shadow  dan AM39 Exocet.

Damocles

Varian terkini pesawat pejuang Rafala itu juga akan dilengkapi dengan pod sasaran (targeting pod) menggabungkan kemampuan dimiliki oleh “Talios” dan “Reco NG”.

Pod sasaran “Talios” digunakan oleh varian-varian Rafale F3R dan juga Rafale F4 manakala pod sasaran Reco NG pula digunakan oleh pesawat Mirage.

“Super Rafale” juga akan direkabentuk bagi membolehkan ia membawa peluru berpandu hypersonik nuklear “ASN4G” yang akan menggantikan peluru berpandu nuklear “air-sol moyenne portée” (ASMPA) sebagai kuasa deteren negara Perancis.

Menurut penganalisis pertahanan Perancis, pesawat “Super Rafale” itu yang bakal dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation bersama-sama aset lain akan melaksanakan misinya sebagai entiti bersepadu dipanggil “Club Rafale.”

Menurut laman web pertahanan Perancis “Meta Defense”, pesawat Super Rafale atau Rafale F5 akan dibangunkan ke suatu tahap yang tinggi.

 

Rafale
Future Cruise Missile (FCM)

 

“Ia (Super Rafale) akan menjadi Sistem Kombat Udara berdasarkan kepada sistem di dalam sistem dan bukan hanya sebuah pesawat pejuang, sebagaimana varian pesawat itu pada masa ini iaitu Rafale F4.”

Pada ketika ini Tentera Udara Perancis mengoperasikan varian pesawat pejuang Rafale F3R, sebelum bergerak ke varian Rafale F4 di dalam tempoh terdekat ini.

Program Perancangan Ketenteraan (Military Planning Program) Perancis mensasarkan supaya varian “Super Rafale” atau Rafale F5 itu dibangunkan bermula pada tahun depan hingga 2030.  — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...