Radar AESA “Murad 6000-A” Bakal Diguna Pesawat “KAAN” Masuki Fasa Rekabentuk Kritikal
Radar Active Electronically Scanned Array (AESA) Murad-600A yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN telah pun melepasi fasa rekabentuk awalan (preliminary design phase) dan akan memasuki fasa rekabentuk kritikal (critical design phase) tidak lama lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Radar Active Electronically Scanned Array (AESA) Murad-600A yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN telah pun melepasi fasa rekabentuk awalan (preliminary design phase) dan akan memasuki fasa rekabentuk kritikal (critical design phase) tidak lama lagi.
Radar moden AESA Murad 6000-A itu dibangunkan oleh gergasi pertahanan Turkiye, ASELSAN.
Menurut sumber Turkiye, SavunmasanayiST.com, radar AESA Murad 6000-A itu adalah lonjakan besar daripada segi prestasi dan kemampuan berbanding radar-radar konvensional yang dibangunkan sebelum ini.
Berbanding radar-radar konvensional yang menggunakan antenna tunggal untuk transmit dan menerima signal, radar AESA seperti Murad 6000-A menggunakan banyak modul untuk transmit dan menerima signal.
Radar AESA Murad 6000-A yang dibangunkan oleh ASELSAN memberikan beberapa kelebihan berbanding radar-radar tradisional termasuk kemampuan electronic beam steering yang membolehkannya mengesan dan menjejaki sasaran dengan lebih cepat, resolusi imej yang lebih tinggi dan lebih sukar untuk diganggu oleh electronic countermeasures.
Salah satu ciri utama radar AESA Murad 6000-A adalah kemampuannya untuk melaksanakan pelbagai tugasan secara serentak seperti pemantauan udara, menjejaki pelbagai sasaran dan menangani peperangan elektronik dalam masa yang sama.
Radar AESA canggih keluaran ASELSAN itu direkabentuk untuk menjadi modular, bermakna ia boleh dintergrasikan terhadap platform-platform yang lain daripada pesawat pejuang dan pesawat tanpa pemandu sehinggalah kepada kapal-kapal perang dan sistem pertahanan udara.
Mengenai spesifikasi teknikalnya, radar AESA Murad 6000-A memiliki operasi frekuensi tinggi yang menyumbang kepada kadar pengesanannya dan ketepatan.
Ia juga dilengkapi dengan algoritma pemprosesan signal yang meningkatkan lagi kemampuan untuk mengesan dan menjejaki sasaran halimunan, yang semakin kerap dikerahkan di medan peperangan.
Pada awal Mei lalu, “KAAN” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) telah berjaya melakukan penerbangannya yang kedua, beberapa bulan selepas penerbangan sulung bersejarahnya pada bulan Februari lalu.
Pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu melakukan penerbangan keduanya pada pagi Isnin dan berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.
Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.
“KAAN” menyertai pesawat-pesawat generasi kelima yang lain di pasaran pada ketika ini seperti F-22 “Raptor”, F-35 buatan Amerika Syarikat, J-20 “Mighty Dragon” dan J-31 buatan China dan Su-57 “Felon” buatan Russia.
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.
Ankara mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 kerana berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.
KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).
Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).
TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye. — DSA
Comments are closed.